Jauh di kawasan Laut Kaspia, kira-kira seratus kilometer dari ibu kota Azerbaijan iaitu Baku, terletak salah satu penempatan paling luar biasa di dunia. Ianya adalah sebuah bandar yang berfungsi penuh dengan populasi kira-kira 3000 orang penduduk yang tinggal di kawasan penempatan yang dibina daripada rangkaian pelantar minyak dan pulau buatan yang dihubungkan oleh jaringan jambatan sepanjang 300 km.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dikenali umum sebagai Neft Daslari, kawasan penempatan ini juga dikenali sebagai Oil Rocks dan terletak sepenuhnya di dalam tasik terbesar di dunia pada jarak luar biasa 55 km dari tepi tasik. Struktur yang dibina sejak era Kesatuan Soviet ini dikatakan sebagai "bandar minyak luar pesisir terbesar dan tertua di dunia.

Kawasan ini pada awalnya dinamakan sebagai Chernie Kamni ("Black Stones"), tetapi kemudian diganti namanya menjadi "Neft Daşları" ("Batu Minyak"), menggantikan kiasan warna hitam minyak dengan merujuk pada bahan itu sendiri. Nama Neft Daşları kekal digunakan sehingga kini.

bandar terapung

Azerbaijan sememangnya terkenal dengan sumber minyaknya yang kaya sejak zaman kuno. Terdapat bukti penggerudian minyak dan perdagangan petroleum yang sebenar seawal abad ke-3 dan ke-4. Kisah mengenai pengeluaran minyak dan gas asli di kawasan ini terdapat dalam naskah Arab dan Parsi lama, serta tulisan para pelayar terkenal seperti Marco Polo.

Orang Parsi menyebut kawasan ini sebagai "Tanah Api". Penggerudian moden bermula pada tahun 1870 setelah Russia menakluki wilayah ini. Menjelang Perang Dunia Pertama, telaga minyak dikawasan ini sudah menghasilkan 175 juta tong minyak mentah setahun atau 75 persen dari keseluruhan pengeluaran minyak negara itu.

Selepas perang, ketika mencari sumber minyak di Laut Kaspia, jurutera Kesatuan Soviet telah menjumpai minyak berkualiti tinggi pada kedalaman 1,100 meter di bawah dasar laut. Tidak lama selepas itu, platform minyak luar pesisir pertama di dunia dibina di tempat penemuan itu dan Neft Daslari dibina.

Sejarah pembinaan

sejarah neft daslar 882

Kajian geologi berskala besar pertama dilakukan pada tahun 1945-1948 di kawasan ini. Penempatan Neft Daşları dibina setelah minyak ditemui di sini pada 7 November 1949 pada kedalaman 1.100 meter (3.600 kaki) di bawah Laut Kaspia dan ia menjadi platform minyak luar pesisir pertama di dunia.

Menjelang tahun 1951, Neft Daşları siap untuk pengeluaran minyak, dilengkapi dengan semua infrastruktur yang diperlukan pada masa itu. Platform penggerudian didirikan, tangki minyak dipasang dan dermaga dengan tangki simpanan untuk kapal dibina. Minyak pertama dari Neft Daşları berjaya dikeluarkan ke dalam kapal tangki pada tahun yang sama. 

Tapak asas asal Neft Daslari terdiri daripada tujuh kapal karam termasuk kapal tangki minyak pertama di dunia. Pada tahun 1952, pembinaan jambatan yang sistematik menghubungkan pelantar-pelantar buatan dimulakan. Sebilangan kilang Soviet membina kren terutama untuk digunakan di Neft Daşları bersama dengan tongkang kren yang dapat membawa hingga 100 tan minyak.

Selama beberapa dekad, ianya berkembang menjadi sekitar 2000 platform penggerudian dalam lingkaran 30 kilometer, dihubungkan dengan jaringan jambatan sepanjang 300 kilometer.

Perkembangan dan penambahan insfrastruktur

bandar pelantar minyak 246

Pembinaan berskala besar dimulakan di penempatan ini pada tahun 1958 yang merangkumi asrama sembilan tingkat, hotel, tempat budaya, kilang roti dan bengkel. Bandar ini berkembang dengan begitu cepat pada dekad pertama operasi sehingga hotel sembilan tingkat dan kawasan penempatan lain dibina pada tahun 1958.

Dua dekad kemudian perkembangan lain (1976-1978) menyaksikan pembinaan asrama lima tingkat dan dua stesen pemampat minyak-gas turut dibina. Selain itu, kemudahan air minuman, dua saluran paip bawah air dan jejambat untuk lalu lintas kenderaan turut ditambah.

Akibat daripada pertambahan-pertambahan ini, kawasan penempatan ini berkembang menjadi sekitar 7 hektar pada tahun 1960-an dengan panjang jambatan besi yang menghubungkan pulau-pulau buatan manusia melebihi 200 kilometer secara keseluruhannya sebelum bertambah sehingga ke 300km. 

Diatas pelantar-pelantar ini, telah dibina insfrastruktur dan kemudahan tambahan seperti kilang minuman, padang bola sepak, perpustakaan, dobi, panggung wayang dengan 300 tempat duduk, kebun sayur-sayuran dan juga taman tanpa pohon yang tanahnya dibawa dari daratan.

Jumlah populasi disini berbeza dari semasa ke semasa. Setakat tahun 2008, platform ini mempunyai populasi gabungan sekitar 2,000 lelaki dan wanita yang bekerja secara shift dalam sektor luar pesisir selama seminggu. Semasa zaman kegemilangannya, kira-kira 5,000 pekerja tinggal di sini.

Kejatuhan Kesatuan Soviet

azerbajian neft daslar

Kejatuhan populariti Neft Daslari bermula dengan kejatuhan Kesatuan Soviet dan penemuan telaga baru di tempat lain. Akibatnya tenaga kerja dikurangkan dan banyak pelantar minyak ditinggalkan. Pengabaian dan kekurangan penyelenggaraan menyebabkan banyak daripadanya mereput dan runtuh ke laut.

Sebahagian besar kawasan yang lain sedang dalam proses runtuh. Dari 300 kilometer jalan raya yang dibina, hanya 45 kilometer yang masih dapat digunakan dan bahkan jalan raya tersebut mengalami kerosakan. Namun, bagi kerajaan kawasan ini masih dibanggakan dan kerahsiaannya masih dijaga rapi seperti ketika zaman Soviet dahulu.

Pada bulan November 2009, penempatan ini menyambut ulang tahun ke-60. Selama 60 tahun terakhir, telaga minyak Neft Daşları telah menghasilkan lebih dari 170 juta tan minyak dan 15 bilion m³ gas asli. Menurut anggaran ahli geologi masa kini, jumlah simpanan minyak yang masih boleh diperoleh disini dianggarkan sekitar 30 juta tan.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Atlas Obscura
  3. Bloomberg



Hakcipta iluminasi.com (2017)