Di Madrid, Sepanyol terdapat sebuah bangunan berkembar yang dikenali masyarakat tempatan sebagai "El Enchufe" yang bermaksud plug kerana bahagian atas bangunan ini terdapat sebuah binaan yang berbentuk seperti plug elektrik. Secara rasminya, bangunan ini diberi nama  “Torres de Colón”.

Walau bagaimanapun, ada sesetengah penduduk tempatan menganggapnya sebagai bangunan terburuk di Madrid. Dengan warna hijau pada bahagian atas dan warna tembaga di bahagian utama badannya seolah-olah nampak begitu buruk dan mencacatkan pemandangan di bandar ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, disebalik semua kritikan ini, bangunan ini menjadi bangunan ikonik di bandar ini sejak ia siap dibina pada tahun 1976. Walaupun hanya dilihat sebagai bangunan biasa, cara pembinaannya suatu ketika dahulu yang begitu unik menjadi perbualan orang ramai terutamanya golongan profesional seperti jurutera dan arkitek.

Tidak seperti proses pembinaan bangunan lain yang dibina daripada tapak di bahagian bawah, pembinaan bangunan Torres de Colón ini sebaliknya dimulakan daripada bahagian atas ke bawah. Ianya merupakan antara bangunan terawal yang dibina dengan menggunakan kaedah sebegini.

Penjimatan daripada segi masa dan kos

bangunan dibina daripada atas

Pada peringkat awal, dua buang tiang gergasi yang membentuk asas bangunan ini diletakkan di lokasi pembinaan. Kemudian, bahagian paling atas yang sudah siap dibina ditarik menggunakan kabel keluli agar tergantung di bahagian atas. Satu-persatu tingkat akan dibina di bawah kemudian di tarik ke atas.

Sementara itu, bahagian tapak yang mempunyai ketinggian 3 tingkat pula dibina bermula daripada bawah seperti biasa. Apabila keseluruhan struktur bangunan ini sudah siap, barulah bahagian puncak bangunan yang berbentuk plug itu ditambah.

Menurut pasukan jurutera yang membangunkan bangunan ini, teknik pembinaan yang bermula daripada atas ke bawah didakwa dapat menjimatkan masa dan tenaga. Dalam teknik pembinaan ini, setiap tingkat bangunan ini akan dibina di bawah. Setelah siap, satu kabel keluli akan digunakan untuk menarik bahagian binaan tersebut agar bersambung dengan bahagian atas yang sudah siap.

puncak bentuk plug

Dengan teknik ini para pekerja boleh bekerja daripada bawah dan segala bahan-bahan pembinaan tidak perlu diangkut ke atas. Hanya bahagian bangunan yang sudah siap sahaja akan ditarik ke atas. Daripada segi keselamatan juga, risiko keselamatan dapat dikurangkan kerana pekerja tidak perlu bekerja di tempat yang tinggi.

Walaupun teknik pembinaan daripada atas ke bawah ini dianggap unik dan pelik, terdapat beberapa bangunan yang terkemudiannya turut dibina dengan konsep sebegini. Antara bangunan lain di seluruh dunia yang dibina dengan konsep sebegini adalah Central Bank of Ireland, Dublin dan Standard Bank Centre di Johannesburg, Afrika Selatan.

Penciptaan teknologi "AMURAD" di Jepun

automatic uprising construction by advanced technique

Di Jepun, sebuah syarikat bernama Kajima telah mengguna pakai cara pembinaan bangunan daripada atas ke bawah ini. Malah, mereka turut memperkenalkan satu sistem dan teknologi yang dikenali sebagai "automatic uprising construction by advanced technique" atau singkatannya AMURAD.

Dengan teknologi AMURAD ini, setiap tingkat bangunan akan dibina satu persatu. Apabila satu tingkat sudah siap dibina, ianya akan ditarik ke atas menggunakan sistem  rangkaian jek hidraulik berkomputer. Setiap jek ini mampu menampung beban sehingga 600 tan dan untuk menaikkan setiap tingkat, mereka memerlukan 10 jek hidraulik.

Menurut syarikat ini, dengan membina bangunan menggunakan cara ini, mereka dapat mengurangkan waktu bekerja selama hampir 30% kerana para pekerja tidak lagi perlu ke atas dan boleh bekerja dari bawah. Selain itu, mereka juga dapat mengurangkan risiko kemalangan bekerja di tempat tinggi.

Walau bagaimanapun, proses membina bangunan yang bermula daripada atas ke bawah ini turut mempunyai kekurangannya. Menurut syarikat ini, cara pembinaan sebegini hanya sesuai untuk pembinaan bangunan yang tidak terlalu tinggi dan hanya sesuai untuk pembinaan bangunan yang mempunyai maksimum 15 tingkat kerana masalah beban.

Kredit:

  1. New Scientist
  2. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)