Bayangkan anda tiba ke sebuah pekan yang kecil, tetapi mendapati pekan tersebut tidak berpenghuni?

Blok-blok kedai semuanya ada, lengkap dengan bangunan tetapi anda langsung tidak bertemu seorang pun manusia di situ. Pasti aneh bukan situasi dan agak menyeramkan juga, sekiranya kita berada di kedudukan tersebut?

Jangan terlalu cepat gelabah! Pekan yang anda temui itu ada kemungkinannya sebuah pekan palsu, yang dibangunkan pihak-pihak tertentu untuk tujuan masing-masing.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkah anda dengar tentang pekan-pekan palsu ini yang setiap satunya mempunyai fungsi unik memerlukannya dibangunkan?

1. AstaZero

pekan bandar palsu

Terletak sejam perjalanan dari bandar terdekat iaitu Gothenburg, AstaZero merupakan sebuah pekan kecil yang dibangunkan kerajaan Sweden khas untuk mereka menguji sistem automasi kenderaan dalam situasi dunia nyata.

Dinamakan sebagai AstaZero atau 'Active Safety Test Area and Zero', pekan kecil itu dibuka pada tahun 2014 menawarkan teknologi terkini yang ada bagi menguji semua kemungkinan yang boleh berlaku - seandainya kenderaan dikawal kepintaran buatan dengan teknologi-teknologi terbaru sentiasa cuba diperkenalkan di situ.

asta zero pust ujian

Pekan kecil itu dibahagikan kepada beberapa zon berbeza, bergantung kepada simulasi yang ingin diuji seperti jalan pedalaman, jalan bandar, jalan lebuh raya, jalan berkelajuan tinggi.

AstraZero juga mempunyai litar dalaman terpanjang dunia sepanjang 700 meter yang mampu menghasilkan simulasi hujan, ribut salji dan kegelapan untuk memastikan sistem yang dibangunkan selamat 100%.

2. Paris Kedua

paris tiruan

Kini hanya tinggal dalam lipatan sejarah, kerajaan Perancis semasa perang dunia pertama membangunkan sebuah bandar mirip ibu negara Paris, dengan harapan tentera Jerman akan terkeliru semasa serangan.

Pada awalnya kerajaan Perancis merancang untuk membangunkan 'Paris Kedua' itu dalam 3 fasa kesemuanya, melibatkan beberapa mukim yang ada tetapi rancangan itu tidak diteruskan selepas perang tamat.

Dibina di bahagian utara Paris terletak kira-kira 40 kilometer daripada bandar sebenar, beberapa mercu tanda ikonik negara tersebut dibangunkan semula dengan sangat teliti, lengkap dengan sistem lampu, jalan keretapi palsu dan jalan raya.

Bangunan mirip apa yang ada di Paris dihasilkan semula dengan kayu, dicat agar menyerupai bangunan asal. Bagi menampakkan bandar tersebut hidup, lampu-lampu dipasang di serata pekan tersebut, mencerahkan bahagian bandar seolah-olah berpenghuni.

3. CITE

cite pekan bandar palsu

Usaha untuk membangunkan teknologi yang sesuai untuk diasimilasikan ke dalam masyarakat bandar, memerlukan perancangan yang teliti dan sebarang kesilapan boleh mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

Itulah sebabnya sebuah syarikat dari Amerika Syarikat bernama Pegasus Global memilih untuk membangunkan sebuah bandar yang mampu memuatkan populasi seramai 35,000 orang berdekatan sempadan negara itu dengan Mexico, untuk membolehkan mereka memperkenalkan dulu teknologi-teknologi ini ke 'bandar' tersebut.

Dinamakan sebagai CITE singkatan kepada Center for Innovation, Testing and Evaluation, projek berskala sebenar ini dibangunkan dengan belanja melebih RM4.2 bilion untuk dijalankan ujian melibatkan pertanian, bekalan air, bekalan tenaga serta ujian sekuriti bandar.

Mempunyai keluasan 38 km persegi, bandar CITE bukan saja akan dibuka bagi ujian golongan profesional, malahan turut sama akan menempatkan penyelidik dari golongan pelajar. Pembinaannya setakat ini masih berjalan.

Apabila siap, CITE akan mempunyai sistem jalanraya dan lebuhraya sendiri, beserta beberapa zon bandar mengikut jenis, kompleks beli belah, kawasan perumahan dan zon kawasan komersial - yang semuanya tiada penghuni.

4. Hogan's Alley

hogans alley bandar palsu latihan fbi

Pekan Hogan's Alley seluas 40 km persegi yang terletak di Quantico, Virginia, merupakan pusat latihan pihak Federals Bureaue Investigations (FBI), agensi risikan kerajaan Amerika Syarikat.

Dibuka pada tahun 1987, Hogan's Alley dibangunkan bagi menghasilkan semula replika sebuah bandar yang realistik lengkap dengan semua kemudahan yang biasanya ada di sebuah bandar, seperti bank, pejabat pos, kedai gunting rambut dan bermacam lagi.

Semasa pembinaannya, bagi memastikan ketulenan bandar tersebut pihak FBI telah bekerjasama dengan pakar-pakar kesan khas Hollywood yang banyak memberikan idea dalam rekabentuknya.

pekan

Sekiranya ada latihan akan dijalankan, petugas dan pegawai agensi tersebut akan hadir untuk memainkan peranan yang diberikan kepada mereka, seperti pegawai bank, perompak, orang biasa dan sudah tentulah pegawai FBI sendiri.

Satu-satunya premis yang benar-benar beroperasi di situ adalah sebuah restoran Subway, yang menghidangkan makanan segera kepada petugas selepas seharian penat bermain polis sentri.

Oleh kerana fungsinya, bandar ini tidak dibuka kepada orang awam.

5. Survival Town

apple 2 rumah survival town nevada

Untuk menguji kekuatan senjata mereka, tentera Amerika Syarikat gemar menggunakan lokasi yang dinamakan sebagai Nevada Test Site.

Tidak jauh daripada lokasi tersebut, mereka turut sama membangunkan sebuah bandar yang dikenali sebagai 'Survival Town', yang digunakan untuk menguji bermacam perkara berkait dengan letupan - semasa perlumbaan senjata atom berlaku.

Turut sama dikenali sebagai 'Doom Town', tentera Amerika Syarikat menjadikan pekan kecil ini tempat di mana mereka mengkaji kekuatan sesebuah struktur rumah yang tahan letupan, sebagai persediaan mereka sekiranya mereka diserang.

Rumah-rumah akan dibina dengan tujuan ujian, dibezakan mengikut rekaan, struktur serta bahan yang digunakan. Rumah-rumah yang dibina lebih awal majoritinya hancur teruk dalam letupan tetapi lama-kelamaan selepas penambah baikan dilakukan, hanya satu unit yang masih kekal berdiri sehingga kini.

survival town nevada

Apa yang agak menyeramkan berkenaan pekan kecil ini adalah bagaimana tentera Amerika Syarikat turut meletakkan patung-patung manusia yang digayakan seolah-olah mereka sedang hidup di situ siap berpakaian ala zaman tersebut - sebelum mereka diletupkan.

patung survival town nevada

Disebabkan oleh sisa radioaktif yang masih ada, kawasan ini hanya dibuka untuk lawatan tertentu beberapa kali setahun. Sebarang bentuk kamera dan perakam video tidak dibenarkan semasa lawatan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)