Dalam salah satu artikel kami, kami telah menceritakan tentang dua buah pulau bersebelahan yang terletak hanya 3.8 km di antara satu sama lain iaitu Pulau Diomede, yang bukan setakat diperintah dua buah kerajaan berbeza malahan mempunyai jarak waktu yang agak jauh jaraknya.

Hasil daripada artikel tersebut, salah seorang pembaca tegar Iluminasi ada menyebut tentang sebuah pulau bernama Pulau Sebatik, yang dikatakan mempunyai keunikan serupa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun kami mendapati Pulau Sebatik lebih unik kerana ia hanyalah sebuah pulau tetapi dikongsikan oleh dua buah negara berbeza.

Terima kasih kerana berkongsikan kepada kami tentang pulau ini dan kami tujukan artikel ini, khas untuk anda.

Bukti masyarakat kita serumpun

pulau sebatik pelangi

Terletak di bahagian Timur Kalimantan, Pulau Sebatik merupakan salah satu kawasan yang sehingga kini menjadi isu perbalahan antara kerajaan Malaysia dengan Indonesia.

Konflik berkenaan sempadan ini semuanya bermula pada tahun 2002, selepas Mahkamah Kehakiman Antarabangsa (ICJ) memutuskan untuk menganugerahkan Malaysia pemilikan dua buah pulau iaitu Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan; dengan undian 16 berbalas 1 berpihak kepada Malaysia.

Kes perbicaraan berkaitan pemilikan kedua buah pulau dimulakan pada tahun 1997, atas persetujuan kedua-dua buah negara yang melakukan tuntutan. Perbicaraan dimulakan pada 14 Mei 1998.

Kedua-dua pulau hanyalah besaiz kecil. Ligitan terletak 21 batu nautika dari Tanjung Tutop, tidak jauh dari Semporna. Sentiasa berada di atas paras air, Ligitan mempunyai tumbuhan-tumbuhan renek serta beberapa batang pokok tanpa didiami sesiapa (ketika itu).

sipadan island milik malaysia

Sipadan pula mempunyai keluasan 0.13 km persegi, terletak 42 batu nautika daripada Pulau Sebatik.

Pulau Sipadan terbentuk hasil pergerakan aktiviti gunung berapi, mempunyai kawasan hutan yang tebal serta kawasan terumbu yang indah.

Sekitar tahun 1980-an, Sipadan tidak dihuni sesiapa tetapi popularitinya sebagai kawasan pelancongan mengubah suasana itu.

Akibat daripada keputusan ICJ, garis sempadan antara kedua-dua negara secara rasmi diperbaharui - mengakibatkan garis sempadan baru mengekalkan garis sempadan cadangan asal Indonesia yang lalu betul-betul di atas Pulau Sebatik; membahagikan pulau itu kepada dua bahagian.

Puncanya, perjanjian di antara British dan Belanda satu masa dahulu mengakibatkan pembahagian pulau tersebut di antara kedua-dua pihak.

Selepas kemerdekaan Malaysia dan Indonesia, kedua-duanya terus dinamakan sebagai pemilik Pulau Sebatik menyebabkan pemilikan pulau itu berpecah dua.

Bahagian utaranya jatuh kepada Malaysia sementara selatannya pula jatuh ke dalam kawasan Indonesia. Akibat daripada keputusan ICJ itu, secara rasmi Pulau Sebatik terpaksa dipisahkan dua, membelah komuniti yang menetap di dalamnya sekian lama.

Reaksi orang Sebatik

pulau sebatik malaysia indonesia

Selepas tewas dalam perbicaraan tahun 2002, kita dan Indonesia terus bertelagah dalam isu garis sempadan perairan Ambalat pada tahun 2005 yang sehingga kini belum berkesudahan.

Hasil daripada konfrontasi kedua-dua negara, penduduk Pulau Sebatik mula menerima campur tangan dua kerajaan yang sedikit-sebanyak mengganggu gugat hidup mereka.

Propaganda geopolitik mula disebarkan bagi memastikan penduduk Pulau Sebatik yang sudah pun terbelah dua, terus dipecahkan lagi dengan isu-isu identiti nasional.

Sejarah menunjukkan penduduk Pulau Sebatik sebenarnya sejak awal lagi lebih banyak berhubung dengan kawasan di Malaysia, khasnya di pekan Tawau yang terletak tidak jauh dari mereka.

Kebergantungan mereka dengan Tawau bukan saja dalam segi ekonomi, malahan budaya juga dikatakan dikongsi bersama.

Namun apakan daya, disebabkan oleh ketetapan sempadan memerlukan penduduk sebuah pulau membawa dua ideologi identiti yang nyata berbeza, akhirnya yang jadi mangsa adalah penduduk di situ juga.

Satu pulau, dua negara

bangunan milik indonesia pulau sebatik

Kerajaan Malaysia dan kerajaan Indonesia mengambil pendekatan berbeza dalam memajukan Pulau Sebatik.

Indonesia lebih agresif, membangunkan dua buah pekan kecil iaitu Sei Nyamuk yang bertindak sebagai pusat komuniti dan Mantikas yang menjadi pusat nelayan.

Kerajaan Malaysia pula melalui program Mini Estet Sejahtera dikendalikan kerajaan negeri Sabah, memulakan program pembukaan 15 buah kampung baru bagi meningkatkan jumlah populasi.

Bagaimanapun, populasi Sebatik Indonesia nyata lebih tinggi dengan kehadiran lebih 80,000 penduduk tetap sementara Sebatik Malaysia pula hanya sekitar 25,000 orang.

Perbezaan ini dikatakan berpunca daripada lokasi Tawau sendiri yang terletak berdekatan, dirasakan lebih menarik untuk dijadikan tempat tinggal penduduk Sebatik bahagian Malaysia.

sebatik markas tentera

Aktiviti utama penduduk Sebatik tak kiralah di bahagian mana, adalah penanaman padi, koko, kelapa, kopi, lada hitam, kelapa sawit serta kumpulan komuniti kecil nelayan.

Walaupun berkongsi sempadan yang sama, semua penduduk biasanya menggunakan 3 kawasan di mana pergerakan rentas sempadan kerap berlaku, sama ada secara haram atau sah.

Tiga sempadan itu terletak di tiga buah kawasan berbeza, iaitu Liyang Bunyu, Sungai Pancang dan Haji Kuning.

3 kawasan, 3 cerita unik berbeza

pulau sebatik malaysia indonesia br134

Liyang Bunyu terkenal sebagai kawasan rentas sempadan yang mudah dilalui, walaupun tentera Indonesia ada menempatkan askar mereka di sana.

Laluan ini menjadi lokasi utama aktiviti keluar masuk pekerja ladang yang terletak di bahagian Malaysia, tanpa ada sekatan.

Bagaimanapun, disebabkan oleh kemudahan tersebut lokasi ini juga popular untuk berlakunya aktiviti penyeludupan.

Barang utama yang kerap diseludup adalah tong gas. Ini kerana harga tong gas di Malaysia jauh lebih rendah berbanding di Indonesia yang mampu mencecah 2 kali ganda, menyebabkan produk itu mendapat permintaan tinggi di bahagian Indonesia.

pulau sebatik sempadan

Sungai Pancang pula mempunyai beberapa buah keluarga yang telah pun menetap di situ berdekad-dekad lamanya.

Apa yang menarik untuk diceritakan, selepas penghakiman ICJ dicapai dan kedua-dua kerajaan tampak saling cabar-mencabar antara satu sama lain, bukan semua keluarga di Sungai Pancang menyedari mereka sudah pun menetap di 'negara luar' untuk beberapa tahun.

Keluarga-keluarga warga Indonesia ini menghadapi masalah besar selepas kerajaan Malaysia mula membangunkan kawasan yang mereka diami, menyebabkan ada penduduk yang terpaksa berpindah 'pulang ke negara asal', kerana kediaman mereka kini terletak dalam Malaysia.

Sehingga kini dipercayai masih ada penduduk Indonesia yang menetap di sekitar Sungai Pancang, yang sentiasa berdepan risiko dihalau keluar.

Rumah unik Mappangara

mappangara rumah unik dua negara

Bagi seorang penduduk bernama Mappangara dan pasangannya Hasidah yang tinggal di Haji Kuning, kekalutan yang berlaku dijadikan manfaat sepenuhnya pada mereka berdua.

Rumahnya menjadi salah satu daripada lima buah rumah yang unik, terletak betul-betul di atas garis sempadan Malaysia-Indonesia.

Rumah Mappangara terbahagi kepada dua; ruang tamunya terletak di Indonesia, sementara dapurnya pula terletak di Malaysia!

Mappangara dan isterinya pula orang Indonesia, jika anda nak tahu.

Berbeza dengan Sungai Pancang di mana kawalan sempadan lebih ketat dijalankan, penduduk Haji Kuning tidak berdepan masalah besar.

Setakat ini kedua-dua buah kerajaan hanya memejamkan sebelah mata tentang situasi unik penduduk di sini tanpa ada pengusiran dijalankan.

ruang tamu di indonesia tapi dapur di malaysia 1

Disebabkan keunikan ini, rumah-rumah di Haji Kuning kerap dikunjungi wartawan serta pelancong yang berminat untuk melihat lebih dekat situasi aneh yang dilalui mereka, disebabkan oleh kewujudan sistem garis sempadan antara negara.

Jika tiada aral melintang, kami akan cuba membincangkan tentang isu Pulau Sebatik daripada segi perundangan serta masalah yang dihadapi penduduk dan langkah yang cuba diperkenalkan bagi meringankan polemik ini.

Kita bertemu lagi dalam artikel akan datang.

Rujukan

Kisah Mappangara: Ruang Tamu di Indonesia, Dapur di Malaysia

CASE CONCERNING SOVEREIGNTY OVER PULAU LIGITAN AND PULAU SIPADAN (fail PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)