Kita tahu negara kita berkongsi sempadan dengan Thailand di bahagian utara sementara di bahagian selatan pula, Selat Tebrau memisahkan Singapura dengan Malaysia. Sementara Malaysia Timur pula bersempadan dengan Brunei dan Indonesia.

Banyak negara mempunyai sempadan yang bersambung di antara dua negara berbeza, sementara negara-negara kepulauan pula tidak perlu berkongsi sempadan negara mereka dengan negara lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa yang menarik, ada beberapa negara yang mempunyai kedudukan unik menyebabkan wujud situasi di mana tiga negara berkongsi satu sempadan dan yang lebih unik, empat negara berkongsi satu sempadan. Tahukah anda di negara mana perkara ini berlaku?

Tripoint - satu sempadan dikongsi 3 negara

three country cairn

Kawasan-kawasan yang layak digelarkan 'tripoint' memang agak mudah didapati. Pemerintah-pemerintah negara biasanya akan menetapkan garis sempadan yang dipersetujui, seterusnya memilih satu titik sebagai titik tengah kepada pembahagian sempadan itu.

Antara penanda sempadan yang unik adalah sempadan yang digelarkan sebagai Treriksroysa atau 'three country cairn', sebuah monumen yang dibina khas untuk menandakan garis sempadan di antara Sweden, Norway dan Finland.

Kerajaan Belanda, Belgium dan Jerman pula memilih sebuah kawasan bukit bernama Vaalserberg untuk menjadi titik pertemuan sempadan ketiga-tiga buah negara. Bagi menarik lebih ramai pelancong hadir, sebuah menara tinjau di bina untuk kita menyaksikan sendiri 3 negara serentak.

argentina brazil paraguay

Di benua Amerika Selatan pula, wujud sebuah kawasan pertemuan dua buah sungai bernama Iguassu dan Parana yang menjadi titik tengah sempadan negara Paraguay, Argentina dan Brazil - digelarkan 'Triple Frontier.' Di kawasan yang sama, dibina sebuah jambatan sepanjang 489 meter dinamakan Ponte da Fraternidade atau 'Jambatan persahabatan'; menghubungkan Brazil dan Paraguay, dirasmikan pada tahun 1985.

Selain itu, wujud beberapa 'tripoint' lain seperti Gunung Dolent yang menghubungkan Itali, Perancis dan Switzerland, titik 'schengen' yang menghubungkan Jerman, Perancis dan Luxembourg serta kawasan pergunungan Roraima yang menyatukan Venezuela, Brazil dan Guyana.

Quadripoint - empat negara, satu titik pertemuan

zambezi river borders of namibia zambia zimbabwe botswana

Ketika ini, hanya wujud satu lokasi di mana empat negara bertemu sempadannya dalam satu tempat yang sama - itupun diragui. Lokasinya pula di benua Afrika di mana negara Zambia, Zimbabwe, Botswana dan Namibia bertemu.

Ada pendapat berbeza mengatakan garis sempadan yang ada sebenarnya menempatkan dua 'tripoint' dalam jarak yang dekat, dengan beza jarak di antara 100 ke 150 meter menghalang lokasi ini menjadi satu-satunya 'quadripoint' rasmi dalam dunia. Ini berpunca daripada percanggahan garis sempadan Botswana dengan Zambia, dalam menentukan sempadan negara masing-masing.

bandar zuzungala

Selepas wujud perjanjian di antara kerajaan Botswana dan Zambia, persetujuan untuk membina sebuah jambatan menghubungkan kedua-dua negara pada tahun 2007 dilakukan. Jadi secara akademiknya garis sempadan 'quadripoint' yang selama ini wujud tidak lagi terpakai, digantikan dengan dua tripoint yang bersambung.

Bandar yang paling dekat dengan titik pertemuan keempat-empat negara ini adalah bandar Kazungula, sebuah bandar pelabuhan yang terletak dalam negara Zambia. Lokasi unik ini menjadi penghubung Sungai Chobe yang membahagikan Namibia dan Botswana serta bersambung dengan Sungai Zambezi, sungai sepanjang 2,574 km yang merentasi banyak negara Afrika.

Kutub Selatan titik sempadan 7 negara?

sempadan kutub selatan

Oleh kerana kedudukannya yang jauh di bahagian selatan bumi, banyak negara yang berdekatan turut sama cuba menjadikan Kutub Selatan sebagai sebahagian daripada wilayah mereka.

Ketika ini saja, Kutub Selatan mempunyai 7 sempadan negara tidak rasmi, dengan setiap negara telah pun membuka pusat kajian bagi memastikan 'wilayah mereka' tidak dicerobohi negara asing.

Sejak abad ke 15 lagi kerajaan Sepanyol mengisytiharkan Kutub Selatan sebagai wilayah di bawah pemerintahan mereka, di sokong oleh dua jajahan mereka ketika itu iaitu Argentina dan Chile. Bagaimanapun, selepas kedua-dua buah negara mendapat kemerdekaan daripada Sepanyol, Argentina dan Chile meneruskan tuntutan ke atas Kutub Selatan secara sendirian.

Negara Perancis mengisytiharkan hak mereka ke atas sebahagian Kutub Selatan, yang dibuat pada tahun 1840 selepas penjelajah Jules Dumont menemui kawasan tersebut dan memacakkan bendera Perancis di kawasan itu pada 21 Januari 1840. Beliau menamakannya Tanah Adelie sempena nama isterinya, Adele.

Selain itu Australia, New Zealand, Norway dam United Kingdom turut sama melakukan tuntutan hak ke atas kawasan Kutub Selatan, membahagikan kawasan tersebut kepada 7 sempadan tidak rasmi, dengan setiap negara mempunyai kawasan khas yang ditetapkan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)