the rig

Arab Saudi terkenal sebagai sebuah negara yang kaya raya hasil daripada pendapatan dari minyak dan gas. Dengan duit yang begitu banyak, maka tidak mustahil mereka mampu melaburkannya untuk menghasilkan projek-projek luar biasa atau unik.

Arab Saudi baru-baru ini telah mengumumkan hasratnya untuk melancarkan taman air seluas lebih 150,000 meter persegi yang digelar "The Rig", menurut kenyataan akhbar oleh Public Investment Fund (PIF) atau Dana Pelaburan Awam Arab Saudi negara itu pada 16 Oktober. Taman tema The Rig ini dijangka bakal dibuka menjelang tahun 2025.  

Seperti namanya, taman tema ini telah diilhamkan daripada reka bentuk pelantar minyak luar pesisir dan akan menampilkan beberapa tarikan pelancong, termasuk tiga hotel, restoran bertaraf dunia, helipad dan pelbagai aktiviti mencabar, termasuk sukan lasak.

Media Arab Saudi, The National melaporkan bahawa pegawai Saudi masih belum menjelaskan sama ada taman tema itu akan dibina dari awal, atau disesuaikan daripada pelantar minyak sedia ada.

Pelbagai tarikan dan kemudahan menarik

taman tema arab saudi

Dengan pembiayaan daripada Dana Pelaburan Awam Arab Saudi, The Rig akan menawarkan tiga hotel dengan 800 bilik, termasuk satu pilihan ultra-mewah dan 11 restoran, semuanya dihubungkan dengan jambatan di pelantar minyak tersebut.

Antara tarikan menarik lain yang akan ada adalah tunggangan roller coaster, gelongsor air, pengembaraan kapal selam dan lebih banyak sukan seperti menyelam dan lompat bungee. Dan untuk pelancong yang kaya, mereka boleh memilih untuk datang ke sini dengan helikopter dan marina superyacht.

Taman tema itu kelak akan terletak di "Teluk Arab" (Teluk Parsi) walau bagaimanapun lokasi khusus The Rig masih lagi tidak didedahkan kepada umum. Setelah siap kelak, taman tema ini boleh diakses dengan pelbagai pengangkutan seperti feri, kapal layar, pelayaran atau helikopter, menurut laman web taman itu.

Pihak pemaju mendakwa mereka akan "menyediakan pelbagai tawaran perhotelan, pengembaraan dan pengalaman sukan akuatik, tarikan pelancongan yang unik dan taman tema ini dijangka menarik pelancong dari seluruh dunia".

Destinasi baru ini kelak akan dipasarkan sebagai "destinasi pelancongan pertama di dunia yang diilhamkan oleh platform minyak luar pesisir." The Rig kelak boleh menjadi taman tema pertama yang benar-benar membantu mempromosikan penggerudian minyak dan akan menyertakan pengalaman praktikal tentang cara menggunakan jentera gerudi minyak.

Strategi pelancongan Arab Saudi

Siaran akhbar The National juga menambah bahawa taman tema The Rig adalah sebahagian daripada usaha Arab Saudi untuk menjadi "destinasi pelancongan global terkemuka" dalam masa beberapa tahun akan datang. 

Ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Wawasan 2030 negara untuk mencapai kepelbagaian ekonomi (berbanding pendapatan dari industri minyak dan gas), serta strategi PIF sendiri dari 2021 hingga 2025 untuk memacu inovasi dalam sektor pelancongan dan hiburan Arab Saudi.

Menurut pihak PIF juga, "The Rig' ialah projek dalam sektor pelancongan dan hiburan, salah satu sektor strategik utama PIF dan dijangka menjadi nilai tambah yang ketara kepada ekonomi tempatan. Taman itu juga akan mengikut "standard global terkemuka dan amalan terbaik" untuk memastikan perlindungan alam sekitar yang mampan di sekitar taman itu.

Persaingan dengan negara teluk lain

amaala 68

Projek ini merupakan tarikan pelancongan yang unik dan dijangka menarik pelancong dari seluruh dunia di samping popular dengan rakyat dan penduduk negara GCC (Gulf Cooperation Council) atau Majlis Kerjasama Teluk di rantau ini. 

Dengan beberapa destinasi yang turut bersaing seperti Dubai, Abu Dhabi dan Doha, pihak pemaju projekk ini berharap dapat menarik perhatian utama pelancong di negara berhampiran dan mereka meletakkan sasaran untuk memperoleh lebih sejuta pelawat setahun.

Riyadh juga mengumumkan sebelum ini bahawa mereka sedang membangunkan bandar baru dengan roller coaster terpantas di dunia pada 2023. Terdapat juga laluan penerbangan baru dari AS yang dilancarkan pada tahun baru yang akan menawarkan pilihan tanpa henti menjadikannya lebih mudah berbanding sebelum ini.

Selain The Rig, projek-projek lain yang dibangunkan oleh PIF termasuk Syarikat Pembangunan Laut Merah, Syarikat Pembangunan Alsoudah dan Syarikat Cruise Saudi. Syarikat Pembangunan Laut Merah sedang membangunkan "Amaala", sebuah projek mega untuk pelancongan mewah di Arab Saudi. 

Untuk info lanjut mengenai The Rig, anda boleh layari laman web rasmi mereka di The Rig

Kredit:

  1. FORBES
  2. Mothership


Hakcipta iluminasi.com (2017)