Keperluan untuk mengubah muka bumi bagi tujuan pertanian menjadi salah satu keperluan utama yang telah berlaku, zaman berzaman sejak bermulanya tamadun manusia.

Apatah lagi apabila keperluan memastikan bekalan makanan mencukupi untuk menampung permintaan masyarakat, memerlukan penggunaan tanah yang dibentuk sendiri oleh tangan manusia agar sesuai dengan keperluan tani yang ada.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Perubahan bentuk muka bumi yang telah dilakukan oleh generasi-generasi sebelum kita meninggalkan kesan besar kepada corak hidup kita, mempengaruhi dan mampu mengubah bagaimana kita hidup selepas mereka.

khasnya bagi penduduk Tasik Loosdrecht di Belanda, yang kini mendapat faedah istimewa hasil kerja tangan nenek moyang mereka.

Tasik Loosdrecht - pulau peribadi orang hartawan

loosdrecht lakes kediaman orang kaya

Tasik Loosdrecht atau Loosdrecht Plassen dalam bahasa tempatan, merupakan sebuah kawasan tasik besar yang dihubungkan dengan beberapa tasik lain terletak di dalam kawasan perbandaran Wijderemen, di kawasan utara Belanda.

Wijdremen terkenal sebagai sebuah kawasan yang mempunyai jalinan tasik antaranya Tasik Spiegelplas dan Tasik Ankeveensee, namun di tasik yang dinamakan sebagai Tasik Loosdrecht merupakan tarikan utama kawasan tersebut - terkenal sebagai kawasan peranginan utama di situ.

Mempunyai jumlah populasi yang agak rendah hanya sekitar 8,600 keseluruhannya, Tasik Loosdrecht seringkali meriah dengan kedatangan pelancong luar khasnya peminat-peminat sukan air.

Bagi golongan pelancong yang berkemampuan dan berpoket tebal, mereka seringkali mensasarkan untuk memiliki salah satu kediaman perumahan unik yang dibina di Tasik Loosdrecht - yang membolehkan mereka memiliki bukan saja rumah, malahan pulau sendiri.

Sejarah Tasik Loosdrecht

sejarah tasik loosdcrecht

Tasik Loosdrecht terletak dalam sebuah perkampungan berstatus desa kecil dinamakan Muyeveld, yang mempunyai hanya 80 orang penduduk.

Mempunyai keluasan sebesar 26.7 km persegi, tasik tersebut mempunyai sejarah menarik yang mencorak serta mengubah masa depannya. Pada abad ke 16, Tasik Loosdrecht merupakan sebuah kawasan berpaya yang dikenalpasti tidak sesuai untuk pertanian.

Berikutan ketiadaan sumber alam lain, penduduk setempat mula menjalankan ekskavasi bagi mengorek dan mengeluarkan tanah gambut yang ada, untuk dikeringkan bagi dijadikan bahan jualan serta bahan bakar penduduk setempat.

Aktiviti ekskavasi yang dilakukan menyebabkan permukaan tanah di situ mula bertukar rendah, mengakibatkan air mula memenuhi bahagian-bahagian yang telah mendap.

Bagi memudahkan proses pengangkutan gambut yang telah dikorek, masyarakat setempat mula membina sistem laluan yang membolehkan baj atau perahu mengangkut tanah gambut ke lokasi di mana bahan tersebut akan dikeringkan.

Proses menggali dan menghasilkan laluan ini mula membentuk dan merubah bentuk muka bumi di kawasan paya tersebut, menghasilkan Tasik Loosdrecht yang dapat kita saksikan hari ini.

Sehingga kini perubahan itu diselaraskan dalam sistem perbandaran Belanda, membentuk apa yang diistilahkan sebagai 'polder' atau kawasan tanah yang lebih tinggi berbanding paras air dan 'plassen' iaitu kawasan tasik yang terbentuk.

Aktiviti penggalian tanah gambut dihentikan sepenuhnya pada tahun 1850 dan Tasik Loosdrecht kekal seperti keadaannya, mula dijadikan kawasan pelancongan.

Kawasan unik memerlukan penjagaan yang rapi

loosdrecht lakes unik

Disebabkan oleh kepentingannya sebagai kawasan pelancongan, pelbagai usaha untuk memelihara Tasik Loosdrecht telah giat dijalankan oleh majlis perbandaran tempatan, khasnya pihak yang menyelenggara saliran air kerana akan berlaku perubahan paras air di kawasan tersebut mengikut kitaran musim.

Usaha pemeliharaan ini perlu dijalankan secara berkala kerana Tasik Loosdrecht sendiri tidak mempunyai kedalaman yang mencukupi, hanya mempunyai kedalaman purata setinggi 2 meter di keseluruhan permukaannya.

Bagi mengekalkan kewujudan pulau-pulau kecil yang telah dibina kediaman di atasnya, projek tambakan menggunakan pasir dijalankan bagi mengukuhkan strukturnya.

Disebabkan oleh kewujudan banyak pulau-pulau kecil ini, setiap satunya pula mempunyai cara penjagaan yang berbeza serta rumit, bergantung kepada keluasannya serta isu utama yang membelenggu pemuliharaan tasik tersebut.

Masalah pemilikan tanah yang tiada jalan keluar

tasik loosdrecht belanda

Satu masalah besar berkenaan Tasik Loosdrecht adalah status pemilikannya.

Disebabkan kawasan asalnya adalah sebuah kawasan paya yang digali, pemilik-pemilik kawasan paya tersebut sehingga kini menerusi pewaris mereka masih memegang hak milik kawasan mereka di tasik tersebut.

Majlis pentadbiran Tasik Loosdrecht dan majlis daerah Wijdemeren berkongsi lebih separuh hak milikan Tasik Loosdrecht. Selebihnya pula dipegang 200 ke 300 pemilik individu.

Di kalangan pemilik individu itu pula, kadar pemilikan mereka juga sudah pastilah berbeza-beza, yang paling sedikit dikatakan hanya memiliki beberapa meter saja keluasan tasik tersebut atas nama mereka.

Atas sebab itulah proses gerak kerja kerajaan tempatan di situ berjalan agak perlahan, kerana sebarang keperluan untuk menambah baik atau mengubah Tasik Loosdrecht; pasti akan menimbulkan kontroversi dan berdepan kekangan mereka yang mahu tasik itu tidak diganggu serta dikekalkan.

Rujukan

Flexible Water Levels in the Loosdrecht Lakes – Good Practice or a Waste of Time? (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)