Kredit foto: orangmuda.tv 

Masih ingat akan keberkesanan watak Maria yang dipikul pelakon Nabila Huda dalam filem Munafik? Watak tersebut berjaya mengangkat nama Nabila sekaligus membuka mata ramai akan bakat yang dimilikinya selepas lama berkecimpung dalam industri hiburan tanahair. 

Ramai peminat seakan bersorak tatkala pengarah Syamsul Yusof mengumumkan filem seram yang mencatatkan kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman Malaysia ini bakal menemui penonton semula dalam versi sekuel. 

Namun, terkini pelakon Nabila Huda pula tampil membuat pendedahan mengejutkan di mana beliau tidak akan muncul dalam kesinambungan filem tersebut. 

Akui Nabila, beliau telahpun menolak tawaran tersebut kerana terikat dengan komitmen drama bersiri 100 episod yang bakal memulakan penggambaran awal April ini. 

Memang Syamsul ada tawarkan kepada saya, tapi tak boleh nak buat. Pada masa sama, saya terikat dengan jadual kerja lain. Lagipun penerbit drama bersiri itu sudah mendapatkan tarikh saya sejak tahun lalu lagi.

Penggambaran drama itu dijadual berlangsung awal April ini sehingga Januari 2018. Jadi, saya menganggap tak ada rezeki nak berlakon dan bekerjasama dengan mereka lagi. Saya difahamkan Maya bakal terbabit dalam filem itu, tapi saya tak pasti sejauh mana kebenarannya. 

Sumber: Harian Metro 

Nama Maya Karin antara yang disebut-sebut bakal terlibat dalam produksi Munafik 2, namun Nabila sendiri tidak pasti akan kesahihan ura-ura tersebut. Jika benar dakwaan tersebut, kehadiran Maya pasti dapat mengubat kekecewaan peminat dengan berundurnya Nabila daripada filem sekuel tersebut. Apatah lagi Maya Karin memang sudah sinonim dengan beberapa filem seram tempatan. 

Sumber berita: hmetro.com.my & Beautifulnara 




Hakcipta iluminasi.com (2017)