suami mithali

Kehidupan berumah tangga merupakan satu fasa yang membawa perubahan besar kepada hidup seorang lelaki.

Transisi hidup daripada bujang kepada menjadi seorang suami seterusnya seorang ayah memerlukan pengorbanan yang teramat besar bagi mereka, apatah lagi bagi lelaki yang hidupnya penuh 24 jam sehari dengan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan.

Tak semena-mena selepas berkahwin, semua rutin sebelum itu perlu diubah. Bagi kaum wanita, memahami lelaki bukanlah satu tugas mudah lagilah bila anda peminat drama dan filem, yang selalu menampilkan watak suami di luar realiti.

Nak kenal suami sendiri macam mana? Berikut adalah lima tabiat harian suami yang membuktikan dia suami mithali tak mungkin dipaparkan dalam filem atau drama TV.

1. Lepas kerja dia terus balik rumah

isteri sambut suami pulang kerja

Adakah suami anda setiap hari selepas dia tamat waktu kerja, dia akan terus meluru pulang ke rumah secepat mungkin untuk kembeli melihat wajah anda? Jika ya, tahniahlah!

Selepas satu tahun ke dua tahun usia perkahwinan (ada yang lebih cepat), seorang lelaki akan mula mendambakan kembali kebebasan yang telah hilang dalam hidupnya. Ini akan menyebabkan ada lelaki yang meronta-ronta jiwanya.

Dia akan menjadikan waktu lepas kerja sebagai 'waktu rehat' daripada perihal rumahtangga - kerana itu saja waktu yang ada untuk dirinya. Beri perhatian kepada suami anda jika dia semakin kerap pulang lewat dan 'merehatkan' dirinya di luar selepas kerja.

Ada yang lebih malang, sesetengah lelaki akan menggunakan alasan 'overtime' tetapi sebaliknya sedang bermain snuker di kedai, nak elak balik ke rumah terlalu cepat. Macam mana nak buat cerita krisis rumahtangga kalau suami terus balik rumah on-time setiap hari?

2. Dia makan dan dia basuh pinggan secara rutin

suami basuh pinggan makan

Pernahkah anda lihat watak drama di mana seorang suami basuh pinggan sebagai rutin, bukan sebab nak tolong isterinya yang penat hari itu? Mana ada.

Kebanyakan drama dan filem gemar meletakkan tanggungjawab basuh pinggan kepada si isteri, sehinggakan banyak babak menjadikan perbuatan suami membasuh pinggan adalah 'hadiah istimewa' buat isteri - pada hari itu.

Apa yang lebih melucukan, si isteri pula boleh tersenyum bangga memandang suami dan berkata "terima kasih bang kerana cucikan pinggan hari ini." Si suami pula tersengih-sengih seolah apa dia buat tu bagus sangatlah padahal hari-hari isteri dia basuh pinggan, langsung tak dipedulikan isteri dia.

Basuh pinggan sekali dua memanglah mampu tersenyum tetapi hanya orang yang benar-benar sabar, mampu basuh pinggan hari-hari. Yang selalu kena bisik kat hati banyak bersabar, isterilah.

3. Dia lipat baju

suami tolong lipat baju

Sama seperti kes basuh pinggan, melipat baju pun satu tabiat yang membezakan antara suami OK dan suami KO. Mana ada filem dan drama yang nak menayangkan hero filem perlu lipat baju setiap hari.

Semua baju dan seluar sudah tersedia untuk dipakai ke mesyuarat bagi membincangkan hal ehwal perniagaan berjuta-juta lagi, siap kemas dan bergosok lagi. Siapa yang siapkan? Misteri betul (hint - watak isteri)

Tetapi bagi pasangan yang sedar diri - mereka harus sedar bukan senang nak melipat baju ni, apatah lagi apabila perkara itu perlu dilakukan setiap hari tanpa henti. Tak senang!

Itu kita baru cerita pasal lipat baju. Belum masuk bab basuh baju. Sidai baju. Gosok baju. Apa saja yang berkaitan dengan pakaian ni kenapalah sering digambarkan tanggungjawabnya jatuh pada wanita semata-mata?

4. Dia masak lauk-pauk secara harian

kemahiran memasak suami

Cuba anda sebutkan nama Chef tempatan wanita? Susah kan, berbanding nak sebut nama Chef lelaki dua tiga orang?

Pernahkah anda terfikir kenapa Chef kita yang popular dan ada rancangan sendiri ramai lelaki, tetapi dalam drama yang ditunjukkan memasak setiap hari adalah wanita? Kenapa wujud perbezaan itu entahlah, tetapi itu jelas menunjukkan dari segi kemahiran memasak - potensi untuk lelaki dan perempuan itu sebenarnya seimbang.

Namun kita sering dimomokkan dengan propaganda 'air tangan ibu' sehinggakan kemahiran memasak ini diabaikan, bagi pihak lelaki.

Sehinggakan ada isteri dah rasa bertuah habis lah seandainya suami dia dapat goreng telur atau buat nasi goreng ringkas-ringkas, tak hangit.

Masyarakat kita pun satu hal - ramai sangat yang akan memberikan reaksi terkejut apabila ada lelaki pandai memasak di dapur. Sebab itulah lelaki ramai malas nak jadikan masakan sebagai rutin harian.

Boleh 'impress' orang lain kalau kita memasak sekali-sekala saja, bila ada tetamu datang.

5. Dia sanggup buang 'waktu bujang' dia

geng takut bini pertabi

Hendak tak hendak, tak dapat dinafikan bukan semua lelaki akan mampu menerima perubahan hidup yang berlaku selepas berkahwin.

Bagi mereka yang sebelum itu seronok ke sana ke mari, bebanan tanggungjawab yang hadir daripada kehadiran isteri apatah lagi cahaya mata selepas itu, mampu menjadi sesuatu yang sukar untuk di adaptasi - menyebabkan dia mula renggang dengan rumah tangganya sendiri.

Perkara ini memang berlaku dan sangat tidak enak untuk disaksikan, apatah lagi apabila sang suami mula mengabaikan tuntutan yang telah difardhukan kepada dirinya - hanya kerana keinginan mahu kembali seperti dulu.

Tak ada situasi lebih hodoh melainkan melihat gelagat seorang lelaki yang dah bergelar suami, yang berusaha sungguh-sungguh nak ikut cara orang bujang.

Menjadi seorang suami dan lelaki yang baik, memang membosankan bunyinya. Hari-hari mengadap isteri dan anak, lebih sibuk dengan aktiviti yang rutin dan kurang perkara-perkara menarik yang 'instaworthy' (meminjam istilah generasi milenial) yang boleh dikongsikan.

Bagaimanapun pengorbanan yang perlu dilakukan itu akan memberikan pulangan kepada anda, dalam jangka masa panjang bukan saja dalam kehidupan kini tetapi dalam kehidupan selepas kematian.

Drama dan filem sukar sekali untuk memaparkan watak seorang lelaki biasa, kerana skrip memerlukan jalan cerita yang luar biasa untuk menarik minat penonton.

Tetapi dalam realiti kehidupan, ada kalanya apa yang rutin dan biasa itulah yang akan membawa kepada kebahagiaan. Kami doakan anda ketemu calon lelaki yang biasa, bukan mirip watak drama dan mampu membimbing anda di dunia dan di akhirat sana.



Hakcipta iluminasi.com (2017)