petugas pembersihan hospital covid 19

Empat minggu lalu, Joseph McKay baru menamatkan pengambaran sebagai salah seorang pelakon pembantu atau dalam bahasa kita, 'pak pacak' sebuah siri TV yang bakal ditayangkan.

Tidak lama selepas itu, McKay menerima satu lagi tawaran dari agensi pekerjaan yang dia daftarkan - tawaran menjadi pekerja pembersihan hospital wabak ekoran Covid-19 yang melanda London. Dalam surat tawaran agensi itu, sudah diperjelaskan tentang risiko serta bahaya tugas yang menantinya.

kisah seram tukang cuci hospital

Pada awalnya, McKay tidak merasakan perkara itu berat apatah lagi dia rimas dibebankan dengan perintah kurungan rumah yang memaksanya duduk diam. Jadi peluang bekerja itu dirasakan sebagai satu jalan keluar yang perlu dia ambil.

Bagaimanapun, pengalaman yang bakal ditempuhinya merupakan pengajaran yang akan membuka mata beliau,k realiti sebenar apa yang terjadi akibat jangkitan Covid-19.

Ini adalah kisah beliau.

Memulakan tugas sebagai pencuci

joseph mckay london hospital

Aku bersetuju untuk mengambil tawaran agensi itu dan diberikan jadual kerja 3 petang hingga 10 malam setiap hari. Tugas aku mudah, sama ada mengosongkan tong sampah yang ada mengikut jadual yang ditetapkan atau membersihkan bilik dan katil yang telah dikosongkan, disebabkan kematian pesakit Covid-19.

Pada mulanya, aku akui aku bersemangat. Aku mampu menyumbang kembali kepada masyarakat!

Namun kali pertama aku mendengar doktor memberitahu kepada pesakit kemungkinan tidak ada apa-apa lagi yang boleh dibuat bagi membantu dirinya untuk sembuh, aku yang pada ketika itu sedang menggantikan tirai di katil sebelah mula merasai perasaan bergolak.

Realiti tentang apa yang aku sedang hadapi yang sebelum ini yang hanya dilaporkan dalam kaca TV setiap hari, mula mengubah aku.

Apatah lagi bila stor pencuci terletak berdekatan dengan bilik mayat. Sangat kerap aku ke stor bagi mendapatkan peralatan dan berselisih petugas ulang-alik menolak katil kastor beroda tanpa henti membawa tubuh tidak bernyawa.

Membersihkan tirai si mati

petugas pembersihan wad covid 19

Sesuatu yang tidak ramai ceritakan yang aku saksikan sendiri, adalah situasi sebenar pesakit Covid-19 yang sudah tua.

Kumpulan pesakit Covid-19 berusia tua yang aku lihat ramai di antara sebenarnya tidak pun menyedari apa yang sedang mereka alami, disebabkan oleh penyakit dementia yang ada.

Terangkanlah kepada mereka berapa kali pun risiko jangkitan Covid-19, tak semuanya akan ingat apa yang telah diterangkan kepada mereka.

Ada yang tak tahu kenapa mereka di hospital serta tidak faham kenapa mereka masih tidak dibenarkan keluar. Pernah seorang warga tua cuba melarikan diri kerana sudah tidak tahan ditahan, tanpa dia tahu kenapa dia perlu ditahan.

Antara situasi yang paling menyayat hati adalah apabila aku perlu menukarkan tirai untuk pesakit yang telah meninggal dunia, tetapi pesakit itu masih lagi terbaring kaku di atas katil. Jika anda kata pada aku itu situasi yang akan perlu aku lalui 6 bulan dahulu - aku pun takkan percaya.

Semakin lama sudah jadi kebiasaan untuk aku masuk membersihkan katil hari ini dalam wad yang menempatkan 6 pesakit serentak, sebelum keesokannya 2 atau 3  pesakit telah menghembuskan nafas terakhir.

Biasanya individu terakhir yang akan menyaksikan sendiri perkara itu terjadi, adalah kumpulan jururawat. Ada seorang jururawat yang aku kenali mengakui, bulan itu saja dia sudah menemani lebih 20 orang pesakit semasa mereka kembali menemui pencipta.

Surat yang tidak dapat dihantarkan

pesakit menulis surat

Ada satu insiden yang aku lalui apabila aku membersihkan katil seorang pesakit yang baru saja meninggal dunia.

Pesakit itu sudah dimaklumkan tentang keadaannya jadi dia memilih untuk menulis sepucuk surat kepada keluarganya. Surat itu aku temui terselit dalam sebuah buku, terletak dalam rak di sebelah katil tempat dia meninggal.

Aku buka surat itu dan membacanya, namun malangnya surat itu tidak dapat aku sampaikan isinya kepada individu yang sepatutnya menerimanya. Arahan hospital jelas untuk semua petugas termasuklah kami, perlu menghantar semua jenis barangan milik si mati semasa dia di rawat yang ditinggalkan ke pusat pembakaran.

Ini bagi memastikan jangkitan tidak lagi berlaku.

Sedih sebenarnya apabila memikirkan ada waris atau ahli keluarga di luar sana, bukan saja tidak dapat mengebumikan ibu atau ayah mereka seperti biasa - tetapi turut sama tidak mengetahui pesanan terakhir yang ingin diceritakan buat mereka.

Jika selama ini salah satu kebimbangan kita adalah mati bersendirian tanpa ditemani ahli keluarga terdekat, pandemik Covid-19 menjadikan situasi itu satu realiti yang sukar sekali untuk dihadam.

Melihat masyarakat daripada perspektif berbeza

peraturan penjarakkan diri tidak dipatuhi london

Setiap kali habis tugasan aku, aku akan pulang dan cuba berhenti memikirkan apa yang telah aku lihat. Aku hindari media sosial, khasnya melibatkan individu yang masih memandang ringan wabak ini seperti satu jenaka.

Minggu lepas, kami mula diarahkan untuk membersihkan sepenuhnya beberapa wad yang sebelum ini menempatkan pesakit Covid-19 - untuk ditukarkan kembali menjadi wad biasa seperti asal.

Aku mmengambil perkara itu sebagai satu perkembangan sihat; menandakan kadar jangkitan sudah mula terkawal berbanding hari pertama aku bertugas di hospital itu.

Pada ketika ini, aku mula ditugaskan sebagai pencuci di wad bersalin dan buat kali pertama sepanjang aku bertugas, aku mula rasa ada kegembiraan. Sudah beberapa minggu menghadap kematian, dapat mendengar tangisan bayi yang baru lahir memberikan aku harapan baru.

Percayalah, ancaman serta risiko jangkitan Covid-19 bukanlah satu perkara yang boleh dianggap ringan. 

Jika perlu bermurung, berkurunglah dalam rumah. Seandainya perlu menjarakkan diri, amalkanlah sebaik mungkin. Buat langkah-langkah keselamatan sebaik mungkin dan jangan amal sikap sambil lewa.

Aku bertuah dapat melihat dengan mata sendiri tekanan yang dihadapi petugas kesihatan di hospital setiap hari.

Sekiranya anda dapat melihat apa yang aku saksikan, percayalah; anda tak mahu menambah beban mereka yang terlibat sebagai petugas barisan hadapan.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel 'Working as a hospital cleaner during coronavirus, I’ve had to burn letters meant for loved ones' tulisan Joseph McKay yang diterbitkan oleh Metro UK pada 3 Mei 2020.



Hakcipta iluminasi.com (2017)