saringan ujian wabak penyakit berjangkit

Sedarkah anda, baru masuk tahun ke 20 kita berada dalam abad ke 21, tamadun manusia sebenarnya telah pun melalui lima wabak besar di seluruh dunia?

Kelima-lima wabak ini malangnya mempunyai punca yang berbeza dengan setiap satunya encatatkan kadar korban yang jelas sukar dijangka angkanya. Apa yang lebih menakutkan, majoriti wabak penyakit yang ada - layak dikatakan mampu menjangkiti kesemua benua.

Berikut adalah lima wabak yang telah pun berlaku dalam abad ke 21, yang amat memberikan kesan pada kita - kerana kita adalah generasi yang sedang hidup di zamannya.

1. SARS (2003)

wabak penyakit sars lebih menakutkan

Sebelum wabak jangkitan Covid-19, wabak SARS yang berlaku lebih awal pada tahun 2003 menjadi pendahulu kepada tingginya risiko jangkitan virus corona pada manusia.

Jangkitan yang dilaporkan bermula sekitar awal bulan April tahun 2003, dipercayai berpunca daripada seorang doktor bernama Dr. Liu Jianlun (pautan pdf); ketika itu berusia 64 tahun.

Selepas bermalam di Hong Kong, jangkitan daripada doktor malang yang sakit tetapi tetap cuba hadir ke majlis perkahwinan di negara itu - berpindah kepada 16 orang tetamu lain di hotel di mana dia menginap. 16 orang itu yang tidak mengetahui mereka dijangkti, memulakan jangkitan ke benua-benua berbeza.

Bimbang dengan tahap kesihatannya, Dr. Liu membatalkan niatnya menghadiri majlis dan segera ke hospital. Dr. Liu percaya dirinya dijangkiti pesakitnya di Guangdong di mana dia berkhidmat, di mana simptomnya sama dengan pesakit yang pernah dirawat akibat masalah pernafasan.

Berdasarkan pengalamannya, Dr. Liu meminta dirinya diisolasi segera di Hong Kong. Jangkitan yang bermula di hotel itu merebak, hanya mula perlahan sekitar bulan Julai 2003 - mencatatkan 8456 kes di seluruh dunia dengan 809 kematian.

Negara kita mencatatkan 5 kes dengan 2 kematian sebelum wabak berakhir.

2. H1N1 pandemik influenza (2009)

wabak wabak berbahaya sebelum covid 19

Turut diistilahkan sebagai influenza babi di negara kita, wabak yang dipercayai bermula pada bulan Januari tahun 2009 merupakan gelombang keempat wabak serupa pernah berlaku sebelum itu; kali pertama direkodkan pada tahun 1918 sebagai 'Spanish Flu', 1957 atau 'Asian Flu' dan wabak tahun 1968 yang dikenali sebagai 'Hong Kong flu.'

Oleh kerana tiga wabak sebelum mencatatkan jumlah kematian yang terlalu tinggi iaitu 50 juta ketika zaman 'Spanish Flu' serta lebih 2.3 juta untuk dua wabak selepasnya, amat dikhuatiri kadar jangkitan sama tahun 2009 akan menyaingi 'adik-beradiknya' sebelum itu.

Kajian yang dijalankan menunjukkan perpindahan virus kepada manusia telah pun bermula pada pertengahan tahun 2008 dengan haiwan khinzir menjadi punca jangkitan - dipercayai daripada sebuah daerah di Mexico bernama La Gloria. Babi yang diternak disitu kemudiannya dieksport ke Amerika Syarikat, menyemarakkan lagi jangkitan.

Selepas Mexico dan Amerika Syarikat gagal mengekang wabak ini, WHO mengisytiharkan H1N1 sebagai sebuah pandemik pada bulan Jun 2009.

Apa yang unik tentang virus H1N1 adalah kadar jangkitannya sangat tinggi di orang muda, remaja dan kanak-kanak - golongan tua dikatakan sudah mempunyai antibodi melawan jangkitan hasil jangkitan-jangkitan sebelum itu.

Laporan awal menyebut kadar kematian keseluruhan dianggarkan sekitar 18,500 orang pada mulanya. Bagaimanapun, kajian lebih mendalam pada tahun 2012 mendapati angka itu tersasar jauh.

Angka kematian sebenar sepatutnya berada pada kadar 284,500 orang dalam tempoh satu tahun wabak berjalan - daripada Ogos 2009 sehinggalah Ogos 2010.

Negara kita mencatatkan lebih 12,500 kes dengan 92 kematian keseluruhannya.

3. Sindrom akut pernafasan Timur Tengah MERS (2012)

wabak penyakit mars

Mempunyai kadar peratusan kematian yang cukup menggerunkan, sindrom Akut Pernafasan Timur Tengah atau MERS-CoV didapati bermula pada bulan September 2012 - melibatkan seorang warga Qatar yang berkunjung ke Arab Saudi.

Selepas pulang dari Arab Saudi, lelaki itu dimasukkan ke unit rawatan rapi di Doha pada 7 September akibat masalah pernafasan.

Berdepan dengan kes jangkitan yang belum pernah ditemui sebelum itu, lelaki berusia 49 tahun itu diterbangkan ke Britain bagi membolehkan pengambilan sampel untuk kajian dilakukan. Pengesahan pakar penyelidikan perubatan menjelaskan jangkitan yang dihadapi lelaki itu berpunca daripada virus corona jenis baru (virus novel).

Kajian lebih lanjut berjaya mengenalpasti perpindahan pertama virus novel corona itu berpunca dari Jordan, sekitar bulan April 2012 sebelum merebak ke Arab Saudi yang menjadi lokasi tercetusnya jangkitan ke serata benua - dengan Arab Saudi, Korea Selatan dan Emiriyah Arab Bersatu menjadi 3 negara paling tinggi jumlah kes dan kadar kematian.

Jangkitan merebak ke 25 buah negara, dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 2506 dengan kadar kematian 862 orang.

Apa yang menggerunkan tentang jangkitan MERS-CoV ini jika dibandingkan dengan jangkitan virus corona seperti SARS 2003, kadar risiko kematiannya sangat tinggi - berada pada tahap 30 ke 40% daripada jumlah pesakit.

Malaysia hanya mencatatkan satu kes. Malangnya, kes itu turut sama menyebabkan kematian individu yang dijangkiti.

4. Wabak ebola (2014-2016)

pesakit ebola di afrika kuarantin dalam sangkar

Tidak diisytiharkan sebagai sebuah pandemik, sebaliknya dikategorikan sebagai sebuah epidemik - wabak ebola yang melanda bermula pada tahun 2014 sehinggalah kali terakhir jangkitan berlaku pada tahun 2016; merupakan jangkitan ebola terbesar pernah terjadi setakat ini.

Epidemik ini juga merupakan jangkitan ebola pertama berjaya merentasi sempadan negara, bermula dengan jangkitan seorang bayi berumur 18 bulan di Guinea. Bayi itu dipercayai dijangkiti virus daripada kelawar pada bulan Disember tahun 2013 - sebelum merebak menjangkiti penduduknya kampungnya kemudian berkembang ke ibu negara Guinea, Conakry.

Selepas kematian 29 orang individu daripada 49 kes - WHO mengisytiharkan penularan wabak sedang melanda beberapa negara Afrika, dengan Guinea serta jirannya, Liberia dan Sierra Leone turut sama mencatatkan peningkatan kes ebola serupa.

Akibat kegagalan mengawal keadaan serta berlakunya pertambahan kes di kawasan bandar - jangkitan mula keluar merentas benua dengan kes-kes baru dikesan di Mali, Nigeria, Senegal, Sepanyol, United Kingdom, Itali dan Amerika Syarikat.

Selepas pelbagai usaha dilakukan bagi menangani jangkitan, Liberia diisytihar bebas ebola pada bulan Mei 2015, Liberia pada Jun 2016 dan Guinea yang menjadi tapak permulaan jangkitan ini - hanya diisytiharkan bebas ebola pada bulan Jun tahun 2016.

Secara keseluruhannya, dalam tempoh lebih 2 tahun setengah wabak ini berlaku - seramai 11,325 orang meninggal dunia daripada 28,600 kes dicatatkan.

Ebola merupakan wabak paling tinggi kadar kematiannya, dengan sesetengah tempat menghampiri peratusan 50% kadar kematian berlaku. Majoriti pesakit yang meninggal dunia akan mengalami demam panas berpanjangan yang akhirnya menyebabkan pendarahan pada bahagian luar dan dalaman tubuh.

5. Wabak Covid-19 (2019-kini)

pasukan kesihatan berpakaian hazmat

Setakat ini, wabak Covid-19 yang melanda sudah pun mencatatkan angka kematian melebihi wabak SARS 2003, wabak MERS dan wabak ebola kecuali H1N1.

Apa yang lebih menakutkan, penyelidik perubatan percaya fasa jangkitan wabak Covid-19 yang sedang melanda dipercayai belum benar-benar tiba ke puncaknya lagi, termasuklah negara kita setakat artikel ini ditulis.

WabakJumlah kesJumlah kematianPeratusan kematian
SARS-CoV-1845680911%
H1N16,724,149284,5001-4%
MERS-CoV2,50686230-40%
Ebola28,60011,32550%
SARS-CoV-2 (Covid-19)1,500,000++88,500++1-5%
Kami akan mengemaskini artikel ini semula selepas pandemik Covid-19 berjaya ditangani, agar mudah kita membuat perbandingan antara kelima-lima wabak yang telah melanda kita.

Agak menggerunkan memikirkan kita masih ada baki 80 tahun dalam abad ke 21.

Entah apa pula jenis wabak yang boleh berlaku dan bagaimanakah pula kesannya kelak? Doakan umur kita semua panjang. Doakan agar kita dapat terus berkongsi informasi menarik.



Hakcipta iluminasi.com (2017)