Dalam musim pandemik, masyarakat kita berhadapan dengan kadar kematian yang tinggi.

Angka kematian semakin hari semakin meningkat serta penemuan varian baru virus yang semakin berbahaya berlaku di luar kawalan kita.

Jika anda salah seorang yang ahli keluarganya telah terkorban akibat pandemik, takziah kami ucapkan.

Tahukah anda apakah kelebihan yang dimiliki mereka yang terkorban akibat pandemik? Mereka ini sahih tergolong dalam golongan mati syahid akhirat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Benarkah pandangan ini? Benar.

Meninggal dunia akibat Covid-19 dianggap syahid?

urusan pengebumian syahid covid

Menurut rujukan laman web Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat banyak dalil yang membuktikan bahawa seseorang yang mati disebabkan wabak layak dikira sebagai mati syahid.

Hadis paling jelas menyebut perkara ini adalah hadis yang berbunyi “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun (wabak), mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati dtimpa runtuhan dan mati syahid di jalan Allah.” Riwayat al-Bukhari (2829) dan Muslim (1914).

Selain hadis tersebut, sebuah hadis berbeza turut sama mengulangi pendapat serupa: “Sesiapa yang dibunuh di jalan Allah ialah orang yang syahid, sesiapa yang mati kerana taun juga ialah orang yang syahid dan sesiapa yang mati kerana penyakit perut juga ialah orang yang syahid.” Riwayat Muslim (1915).

Terdapat sebuah hadis lebih ringkas menyebut tentang status wabak berbunyi “Wabak taun itu adalah (penyebab) mati syahid bagi setiap Muslim.” Riwayat al-Bukhari (2830) dan Muslim (1916) yang memperjelaskan kelebihan dimiliki individu yang meninggal dunia akibat wabak.

Walaupun terdapat hadis-hadis sahih yang jelas memperkukuhkan pandangan ini, kita perlu juga membincangkan satu isu;

Adakah wabak atau taun yang dimaksudkan dalam hadis-hadis tersebut, sama dengan pandemik yang kita hadapi?

Adakah pandemik itu sama dengan wabak atau taun dalam hadis?

petugas kesihatan urus jenazah covid 19

Oleh kerana pada zaman Rasulullah saw. pengkhususan istilah penyakit masih bersifat am, jadi nama kepada penyakit yang mampu menjangkiti masyarakat juga lebih bersifat terbuka serta kurang terperinci.

Frasa 'taun' pada zaman sekarang digunakan bagi merujuk kepada penyakit kolera, disebabkan oleh kehadiran bakteria pencemar ke dalam makanan atau minuman. Bakteria ini menyebabkan seseorang mengalami masalah keracunan sehingga muntah-muntah, cirit-birit dan demam berpanjangan.

Istilah 'taun' adalah istilah pinjaman dari bahasa Arab 'tho'un' yang membawa makna 'wabak' jadi penyakit taun yang disebutkan dalam hadis terdahulu, merujuk kepada jangkitan penyakit yang meliputi masyarakat umum sehingga mengakibatkan kematian dalam skala luar biasa.

Walaupun dalam zaman sekarang kita merujuk taun sebagai satu jenis penyakit sahaja, realitinya dari aspek pemahaman bahasa Arab, 'taun' bersifat am serta merangkumi apa saja jenis penyakit yang membawa kematian besar-besaran termasuklah tahap pandemik, endemik atau epidemik sekalipun.

Perbezaan syahid akhirat dan syahid dunia

pekerja perubatan urus jenazah pusara

Bagi mereka yang meninggal dunia akibat pandemik yang berlangsung, Mufti Wilayah menyebut mereka ini layak dikatakan syahid akhirat.

Pendapat ini turut dipegang Timbalan Pengerusi Majlis Ulama' Indonesia, Akhmad Khudori yang menyebut status jenazah sebagai 'syahid ukhrawi.'

Terdapat dua jenis mati syahid yang boleh diterima seseorang Muslim; syahid dunia dan syahid akhirat.

Individu yang syahid dunia dikhaskan kepada mereka yang terbunuh dalam peperangan melawan orang-orang kafir bagi menegakkan Islam, yang berjuang dengan ikhlas serta tidak takut berhadapan dengan musuh.

Individu dalam kategori ini jenazahnya tidak perlu dimandikan dan disolatkan, dosanya diampunkan serta dijanjikan syurga.

Bagi kumpulan individu syahid akhirat atau syahid ukhrawi yang meninggal dunia disebabkan pandemik, jenazah mereka masih lagi perlu disempurnakan seperti biasa tetapi mereka mendapat keistimewaan dikurniakan ganjaran pahala mati syahid.

Terus berdoa minta kebaikan

tatacara pengebumian jenazah covid

Berdasarkan kepada perbincangan yang telah dilakukan ulama-ulama' terdahulu, jelas sekali status individu Muslim yang meninggal dunia akibat pandemik adalah syahid akhirat.

Walaupun realitinya tiada siapa tahu status sebenar kedudukan seseorang di sisi Allah swt., hadis-hadis yang telah ditinggalkan boleh membantu kita sekurang-kurangnya mendapat gambaran tentang status kesyahidan individu yang terkorban.

Sekiranya anda salah seorang yang tidak bernasib baik kehilangan ahli keluarga akibat pandemik, teruskanlah berdoa agar Allahyarham/Allahyarhamah mendapat ganjaran syahid serta ditempatkan di sisi orang beriman.

Sekali lagi kami ucapkan takziah kepada mereka yang terkesan.

Kami harap artikel ini memperjelaskan bahawa apa yang berlaku dalam buruknya sekalipun, ada kebaikan yang cukup sukar untuk digambarkan.

Rujukan

Laman web Mufti Wilayah




Hakcipta iluminasi.com (2017)