Pendapat popular mengaitkan pasar besar Hua Nan di Wuhan, China sebagai punca virus SARS-CoV-2, telah mula disanggah oleh kajian-kajian yang berjaya dilakukan.

Kajian terhadap sampel-sampel virus menemui petunjuk bahawa jangkitan sebenarnya telah berlaku lebih awal dari yang disangka, melibatkan seorang individu yang tidak diketahui identitinya; dipercayai hadir ke Wuhan sebelum Wuhan menjadi pusat penyebaran wabak berbahaya ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kefahaman kita berkenaan pandemik Covid-19 malangnya membuka lebih banyak persoalan kepada persoalan : 'siapa sebenarnya individu pertama dijangkiti wabak tersebut?'

Pencarian pesakit indeks atau 'patient zero'

siapa patient zero covid 19

Kemajuan bidang  analisis genetik membolehkan penyelidik zaman moden mengkaji susur galur penyebaran virus, berdasarkan kepada sampel virus yang diperolehi. Dalam bidang perubatan, pesakit pertama yang dijangkiti diistilahkan sebagai pesakit indeks.

Bagaimanapun, istilah yang lebih popular digunakan masyarakat dunia adalah 'patient zero', menggambarkan kedudukannya sebagai 'titik mula' jangkitan yang berlaku.

Usaha untuk mencari pesakit indeks dalam kes Covid-19 sudah dimulakan selepas berlakunya jangkitan pneumonia besar-besaran, seawal bulan Disember tahun 2019 di China.

Kes-kes yang dapat dikenalpasti berpunca dari sebuah pasar basah di Wuhan, akhirnya menjadi lokasi utama pihak penyelidik menjalankan kajian bagi menjejaki pesakit indeks Covid-19. Pencarian peringkat awal itu bagaimanapun gagal menemui sebarang petunjuk yang membolehkan proses menemui individu punca wabak Itu.

Selepas kajian lebih mendalam dilakukan terhadap susur galur genetik virus SARS-CoV-2 dijalankan, terdapat bukti kukuh menunjukkan virus itu sebenarnya datang dari luar Wuhan, dengan beberapa daerah lain di China dilaporkan berpotensi menjadi punca asal virus tersebut.

Dua kes virus SARS-CoV-2 paling 'tua' setakat ini

patient zero covid 19

Berdasarkan perbandingan 93 sampel virus SARS-CoV-2 yang diperolehi meliputi 12 negara dan empat benua, virus daripada dua kumpulan sampel dari Shenzhen di China dan satu lagi kes dari Washington State, Amerika Syarikat merupakan sampel virus paling lama wujud.

Dua sampel paling lama ini diambil daripada pesakit pertama yang disahkan dijangkiti di wilayah Guangdong, Shenzhen dan kes jangkitan pertama yang ditemui di Amerika Syarikat.

Kedua-dua pesakit dilapor melawat Wuhan sekitar anggaran penghujung bulan Disember sehingga pertengahan Januari 2020, tetapi tidak menjejaki pasar Wuhan yang dikatakan lokasi punca utama jangkitan.

Kajian genetik ke atas virus yang dijalankan turut mengesahkan virus itu sebenarnya sudah tersebar lebih awal, bermula pada penghujung November sebelum hadir di Wuhan.

Suasana kotor dan basah di pasar basah Hua Nan yang terletak di Wuhan bertindak sebagai pemangkin atau penggalak kepada penyebarannya.

Virus yang menyebabkan pandemik ketika ini pula adalah jalinan virus SARS-CoV-2 yang datang dari jalinan (strain) berbeza, berbanding dengan dua sampel virus SARS-CoV-2 yang ditemui pada dua pesakit di atas.

Penyelidik berpendapat seandainya dapat ditemui sampel paling tua awal wujud di kalangan pesakit di Wuhan, kemungkinan untuk menemui 'patient zero' yang dicari-cari boleh menjadi kenyataan.

Malangnya, sehingga kini penemuan itu tidak berlaku.

Siapakah 'patient zero' Covid-19?

patient zero covid 19 coronavirus

Soalan utama artikel ini belum dapat dijawab sehingga kini.

Apa yang kita tahu setakat ini, rekod di China mencatatkan seorang lelaki tua berusia 70 tahun yang tinggal agak jauh dari pasar basah Wuhan merupakan individu pertama disahkan mengidap Covid-19.

Lelaki itu yang turut mengalami  penyakit alzheimer, dibawa ke hospital dalam keadaan tenat selepas beberapa hari berada dalam keadaan gering pada 1 Disember 2019.

Menurut siasatan pihak berkuasa China - disebabkan oleh keadaannya yang uzur, dia hanya tinggal di rumah serta tidak keluar ke mana-mana memberikan petunjuk dia bukanlah 'pesakit indeks' yang dicari.

Lelaki tua itu walaupun keadaannya uzur semasa dimasukkan ke hospital, tidak menampakkan sebarang simptom seperti demam panas atau masalah pernafasan yang menjadi petunjuk utama jangkitan Covid-19. Ahli keluarga beliau yang terdekat juga negatif sebarang bentuk jangkitan.

Sepuluh hari selepas warga emas itu dimasukkan ke hospital, 3 lagi kes jangkitan serupa ditemui. Dua daripada pesakit direkodkan tidak pernah menjejaki pasar basah Hua Nan.

Ketika inilah penyebaran virus mula berlaku secara besar-besaran. Penyebaran wabak di China berlaku dalam dua gelombang; pertama pada 8 Disember 2019 dan yang kedua pada 6 Januari 2020.

Lebih mengelirukan, bukan semua strain virus menunjukkan petunjuk virus itu datang dari Wuhan.

Terdapat bukti genetik menampakkan petanda ada individu yang datang dari luar Wuhan, hadir ke pasar basah itu lalu menyebabkan jangkitan pada persekitaran atau individu lain.

Jadi siapakah manusia pertama pertama virus SARS-CoV-2 penyebab Covid-19, dijangkiti oleh virus tersebut yang dipercayai datang daripada haiwan kelawar?

Kita belum tahu. Usaha pencarian ini masih cuba diteruskan penyelidik di China.

Satu fakta yang menarik untuk diperkatakan; kedudukan Shenzhen di mana virus paling lama wujud ditemui dengan Wuhan yang menjadi lokasi utama penyebaran virus adalah sekitar 1000 km. Anda bayangkanlah sendiri berapa besar skop jarak yang perlu diteliti dalam usaha mengenalpasti pergerakan virus bagi mencari patient zero Covid-19.

Pada Januari 2021, wakil Badan Kesihatan Sedunia, Maria Van Kerkhove mengisytiharkan kemungkinan 'patient zero' atau pesakit indeks Covid-19 ditemui adalah sangat sukar - jadi misteri ini akan terus kekal misteri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)