Oleh pada 14 Apr 2020 kategori

Menghadapi kematian orang yang tersayang merupakan satu pengalaman yang akan meninggalkan kesan mendalam pada kita.

Kesan mental menguruskan sendiri jenazah merupakan salah satu pengalaman yang menakutkan untuk dirasai sendiri, tetapi sangat berharga untuk seseorang individu di kemudian hari. Malangnya - bagi ahli keluarga mangsa jangkitan Covid-19, mereka terpaksa menerima hakikat tidak dapat merasai pengalaman ini sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Waris mangsa jangkitan Covid-19 terpaksa menaruh kepercayaan 100% kepada pihak pasukan perubatan untuk menyempurnakan pengebumian atau pembakaran mayat, dengan ahli keluarga jarang dapat melihat wajah si mati untuk kali terakhir.

Berikut adalah kompilasi kisah-kisah pengebumian yang menyayat hati kami, terpaksa dilakukan disebabkan oleh risiko jangkitan virus yang tampak masih terus melawan.

Wanita di Sepanyol menulis surat terakhir kepada ayahnya

paderi menyempurnakan majlis pengebumian

Bagi Encarni Calvache, pengalaman melalui wabak Covid-19 merupakan satu pengalaman ngeri yang tidak mungkin dapat dia lupakan. Ini kerana di antara enam orang ahli keluarganya, 3 daripadanya dijangkiti; ibu, ayah dan kakaknya.

Setiap hari Encarni akan ke hospital menghantar makanan tetapi langsung tidak dibenarkan menemui ketiga-tiga ahli keluarganya. Dia hanya dimaklumkan tentang perkembangan tahap kesihatan mereka sebelum pulang.

Selepas diberitahu keadaan ayahnya yang sudah sangat kritikal dan sukar untuk pulih, Encarni menulis sepucuk surat terakhir kepada ayahnya. Surat itu mujurlah sempat dibacakan oleh jururawat yang bertugas, sebelum ayahnya meninggal dunia.

Pada Encarni, perasaan yang dirasakan sangat sukar untuk dihadapi. Dia tidak dapat menatap ayahnya buat kali terakhir dan terpaksa hadir ke hospital tanpa dapat menjenguk ibu dan kakaknya.

Kerajaan Sepanyol setakat ini masih membenarkan pengebumian dilakukan melalui pusara atau pembakaran, bergantung kepada pilihan keluarga si mati. Hanya lima orang ahli keluarga dibenarkan menghadiri upacara yang dijalankan dalam majlis yang berlangsung tak sampai lima minit - di bawah kendalian seorang paderi bagi penganut agama Kristian.

Masyarakat Muslim Sri Lanka dibakar mayatnya

sri lanka bakar semua mayat pesakit covid 19

Bagi komuniti Muslim yang tinggal di Sri Lanka, pihak waris terpaksa berhadapan dengan situasi di mana upacara pengebumian yang dijalankan dilakukan bertentangan dengan kehendak agama Islam, atas undang-undang kerajaan Sri Lanka sendiri.

Seorang lelaki berusia 46 tahun bernama Fayaz Joonus terpaksa menerima hakikat bahawa peraturan kerajaan Sri Lanka tidak membenarkan jenzah arwah bapanya, yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada usia 73 tahun disemadikan mengikut upcara Islam, mengakibatkan ayahnya dibakar menjadi abu di pusat krematorium negara itu.

Berikutan prosedur kesihatan yang ketat, jenazah juga tidak sempat disolatkan sebelum dihantar ke pusat krematorium dengan iringan pihak polis. Jenazah ayah beliau merupakan kes kedua kematian pesakit Covid-19 beragama Islam di negara itu.

Akibat daripada tindakan kerajaan Sri Lanka yang tidak membenarkan sebarang prosedur berbeza khas mengikut tuntutan agama pesakit, pelbagai kritikan sudah mula kedengaran melibatkan pelbagai pihak. Namun kerajaan Sri Lanka bertegas mereka hanya mengikut saranan prosedur standard yang dikeluarkan WHO sendiri.

Bagaimana masyarakat China menghadapi kematian orang tersayang?

china wuhan urusan jenazah covid 19

Berikutan pertambahan kes yang mendadak, urusan kematian di China khasnya di Wuhan terpaksa dijalankan dalam kadar yang sangat pantas.

Sebarang bentuk kematian akan diuruskan di hospital sepenuhnya. Seandainya pesakit meninggal pada hari itu, pada hari itu jugalah jenazah akan dipersiapkan untuk dibakar tanpa sebarang bentuk majlis atau upacara dibenarkan.

Pihak keluarga akan dimaklumkan tentang kematian serta akan diberitahu di mana mereka boleh mengambil abu mayat jenazah yang telah selesai menjalani pembakaran.

Bagi mengelakkan jangkitan, hanya seorang wakil keluarga dibenarkan hadir bagi mengambil abu mayat yang telah dipersiapkan, hadir dengan menaiki kenderaan khas yang disediakan agensi kerajaan terbabit yang menjemput mereka di rumah.

Barisan-barisan panjang wakil-wakil keluarga yang hadir bagi tujuan pengambilan adalah satu pemandangan biasa di kawasan-kawasan yang dijangkiti teruk, menunggu giliran untuk mendapatkan abu mayat si mati agar majlis yang lebih sempurna dapat dilakukan selepas kawalan selesai.

Itali cuba menguruskan mayat dengan terhormat

pengebumian di itali depan gereja

Bagi negara Itali yang teruk terjejas akibat Covid-19 - sebarang bentuk majlis pengebumian melibatkan ahli keluarga beramai-ramai adalah tidak dibenarkan sama sekali, sama seperti kebanyakan negara lain.

Rayuan pihak keluarga sekurang-kurangnya melihat jenazah untuk kali terakhir terpaksa ditolak, disebabkan kebimbangan tentang berlakunya jangkitan. Situasi ini menyebabkan banyak pihak waris mengalami trauma terpaksa berhadapan dengan situasi yang sangat sukar untuk diterima.

Bagi masyarakat Kristian, menghiaskan jenazah dengan pakaian dan perhiasan yang baik merupakan salah satu tradisi yang mereka amalkan.

Waris kepada si mati dibenarkan untuk membekalkan pakaian yang akan menjadi pakaian terakhir jenazah, namun hanya akan diletakkan di atas plastik yang membaluti tubuh, tanpa boleh dipakaikan dengan sempurna.

Selepas diletakkan dalam keranda, petugas yang menguruskan jenazah akan mengambil gambar keranda yang telah siap diuruskan untuk makluman pihak waris.

Berbeza dengan negara lain dalam senarai ini, pihak keluarga masih lagi dibenarkan memilih sama mahu melakukan pembakaran mayat atau mengebumikannya di pusara. Dilaporkan 50 ke 60% waris pesakit di Itali memilih untuk melakukan proses pembakaran.

Sebarang bentuk ritual atau majlis tidak dibenarkan sepanjang proses pengurusan jenazah berlaku.


Begitulah bagaimana masyarakat luar memilih untuk menguruskan kes-kes kematian mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19. Bagi negara yang terjejas teruk, tindakan yang mereka ambil mungkin pada orang luar kelihatan kejam - tetapi terpaksa dilakukan demi memastikan rantaian jangkitan terhenti.

Kes kematian pesakit Covid-19 di Malaysia sekurang-kurangnya masih lagi mampu disempurnakan mengikut tuntutan agama masing-masing, walaupun tanpa kehadiran ramai waris yang sudah pastilah tidak mahu melepaskan peluang untuk memberikan penghormatan terakhir.

Takziah kami ucapkan pada mana-mana pembaca Iluminasi yang terkesan. Sama-sama kita doakan mereka yang terkorban.




Hakcipta iluminasi.com (2017)