Tempoh kawalan pergerakan memang sesuatu yang agak sukar untuk ditempuhi bukan - apatah lagi kalau anda berseorangan?

Bagi mereka yang dah berumah tangga, syukurlah. Anda ada seorang peneman di kala sunyi - selain daripada televisyen, telefon pintar dan rangkaian internet.

Ramai juga berseloroh bahawa tempoh cuti sepanjang kawalan pergerakan ini, merupakan waktu yang baik untuk pasangan melakukan aktiviti seksual dengan kekerapan tinggi dalam usaha menimang cahaya mata.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jadi rasanya belum terlewat untuk kami jelaskan kepada anda satu persoalan walaupun tempoh kawalan dah masuk minggu ketiga; bolehkah virus penyebab Covid-19 berpindah melalui hubungan seksual suami isteri?

Bolehkah perpindahan virus berlaku?

virus merebak melalui hubungan seks kelamin

Adakah anda risau untuk menjalinkan hubungan seks dengan pasangan anda semasa berlakunya wabak? Jangan risau.

'Corona virus disease-2019' atau Covid-19 bukan merupakan sebuah penyakit yang mampu berjangkit melalui hubungan kelamin. Jadi hubungan seks tidak akan memindahkan virus penyebab Covid-19 walaupun pasangan anda dijangkiti.

Bagaimanapun, anda perlu fahami risikonya.

Seperti yang kami sudah utarakan dalam artikel kami sebelum ini, wabak Covid-19 yang melanda mampu menyebabkan individu yang sebenarnya dijangkiti langsung tidak menampakkan sebarang tanda jangkitan.

Bagaimanapun, peratusan ini berlaku amatlah rendah.

Apa yang membimbangkan dalam melakukan hubungan seksual semasa musim wabak, adalah keperluan dua insan bercinta merapatkan tubuh mereka. Adalah mustahil untuk mana-mana pasangan mampu melakukan hubungan seks dari jarak jauh. Hahaha!

Jika hubungan kelamin tidak menyebarkan virus, sentuhan tubuh suami isteri yang salah seorangnya dijangkiti - pasti akan menyebabkan jangkitan.

Cara jangkitan boleh berlaku semasa hubungan

virus covid 19 jangkitan hubungan suami isteri

Baik, kita dah jelas bagaimana wabak Covid-19 tidak boleh berpindah melalui hubungan kelamin. Lega? Tunggu dulu.

Apa yang mampu memindahkan virus Covid-19 bukanlah hubungan kelamin tetapi sebaliknya tindakan-tindakan yang dilakukan semasa hubungan seks, yang mampu menyebarkan wabak.

Tindakan yang pertama adalah ciuman atau sebarang bentuk sentuhan muka dengan muka. Ini kerana kita sudah tahu Covid-19 mampu merebak melalui titisan air yang berpindah dari individu dijangkiti kepada individu sihat.

Ciuman mampu menyebabkan pertukaran air liur berlaku, membolehkan jangkitan berpindah sekiranya ada. Kesan batuk atau bersin juga mampu menjadi agen pemindahan virus yang efektif.

Sekiranya anda dan pasangan ada 'hobi aneh' yang tak mahu kami jelaskan - anda perlu tahu, bahagian lubang dubur juga mampu memindahkan virus sekiranya ciuman dilakukan di situ; hasil daripada najis yang dijangkiti virus.

Bagaimana melindungi diri dan pasangan?

seks suami isteri ketika musim covid wabak koronavirus

Apa boleh kita buat untuk melindungi diri dan pasangan kita?

Yang paling penting - lakukan seks dengan pasangan anda sahaja. Sekiranya dia perlu keluar membeli barangan keperluan, pastikan dia mandi dan membasuh badan terlebih dahulu selepas pulang kalau keinginan hadir.

Jangan lakukan seks dengan pasangan yang tidak sihat walau seteruk mana pun nafsu anda merintih kesepian. Perhatikan tanda-tanda seperti demam panas, batuk, sakit tekak dan sesak nafas sebagai petunjuk. Besar kemungkinan itu bukanlah jangkitan Covid-19, tetapi lebih baik kita tak ambil risiko kan?

Apa yang penting - sekiranya anda sendiri merasa tidak sihat; elakkan daripada mahu menjalankan sebarang aktiviti mesra suami isteri. Amalkan penjarakkan selamat di antara anda dan pasangan.

Kami pasti dalam keadaan wabak ini, pasangan anda pasti faham kenapa anda mengambil tindakan sebegitu. Tak usahlah sampai bermasam muka pula ya!

Perlukah anda berhati-hati dengan pasangan anda?

images

Satu sifat virus yang kita ketahui daripada keluarga SARS-CoV ataupun MERS-CoV yang menjadi penyebab jangkitan akut pernafasan Timur Tengah, adalah bagaimana jangkitannya akan lebih kuat pada individu lelaki berbanding individu wanita. (pautan PDF)

Individu wanita dilaporkan mempunyai sistem pertahanan yang lebih baik melawan jangkitan virus corona, disebabkan oleh kehadiran reseptor-reseptor estrogen dalam badan mereka yang lebih banyak - berbeza dengan lelaki yang mengandungi kadar estrogen lebih rendah.

Perbezaan kadar estrogen ini banyak membantu melindungi paru-paru wanita dalam serangan virus corona, mampu 'menekan' aktiviti virus agar menjadi perlahan.

Kenapa perlu kami ceritakan tentang perkara di atas?

Buat masa sekarang, walaupun majoriti kajian menyifatkan virus corona penyebab Covid-19 bukanlah virus yang mampu berpindah melalui hubungan kelamin - pendapat ini dibuat berdasarkan kepada kajian lampau melibatkan virus corona lain.

Belum ada lagi kajian dibuat terhadap sampel virus SARS-CoV-2 bagi menjelaskan perihal perpindahan virus ini melalui hubungan seksual.

Jadi kami nasihatkan kepada kaum suami - berhati-hatilah dengan isteri anda.

Dia mungkin kelihatan sihat kerana badannya terbukti lebih kuat mampu melawan virus corona tetapi sekiranya dia dah dijangkiti, satu ciuman dari isteri sudah cukup untuk anda dijangkiti juga.

Yang akan sakit lebih teruk, anda lah - siapa lagi?

Kami bergurau saja ya. Amalkan pendekatan selamat. Ambillah suhu badan sebelum bersama. Cuci tangan. Gosok gigi. Kurangkan ciuman.

Rujukan

Sex and CoronavirusDisease 2019 (COVID-19) Pautan PDF




Hakcipta iluminasi.com (2017)