Sebut tentang satu jenama terkenal, pasti mudah untuk kita mengaitkan jenama itu dengan produk yang menjadi identiti utamanya. 

Walaupun begitu di sebalik banyak syarikat-syarikat berstatus antarabangsa yang menghasilkan produk kegunaan kita, mereka sebenarnya adalah konglomerat dunia yang turut terlibat dalam penghasilan bermacam jenis produk lain - termasuklah senjata.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda penglibatan-penglibatan jenama ini? Berikut adalah lima jenama yang tak disangka-sangka, sebenarnya merupakan pengeluar senjata dan kelengkapan tentera dunia.

1. Ford

kereta kebal jenis ford

Ford di seluruh dunia terkenal sebagai syarikat pertama yang melancarkan jualan kereta secara komersial.

Dalam divisyen syarikat gergasi ini, wujud satu divisyen khas dinamakan Ford Aerospace, dibangunkan untuk tujuan pembinaan kelengkapan penerbangan dan pertahanan yang beroperasi di Newportt Beach, California pada tahun 1956.

Dibangunkan berasaskan kepada teknologi milik sebuah syarikat bernama Aeronutronic, Ford Aerospace mengeluarkan sejenis peluru berpandu yang dinamakan AIM-9 Sidewinder, digunakan dalam angkatan udara Amerika Syarikat pada tahun 1964.

Selain itu Ford Aerospace juga bertanggungjawab membangunkan beberapa projek kendiri seperti peluru anti kereta kebal Shillelagh, pod pensasar berasaskan laser Pave Knife dan beberapa lagi projek bersama tentera, selain turut terlibat dengan syarikat-syarikat lain dalam pembangunan di bawah kendalian kerajaan.

2. Mistubishi

jet pejuang mitsubishi

Dikenali sebagai pengeluar kereta penumpang dengan harga berpatutan, pasti tidak ramai menyangka Mitsubishi menerusi divisyen Mitsubishi Heavy Industries, Ltd. (MHI) adalah pengeluar jet pejuang kan?

Bermula sebagai sebuah syarikat membina kapal pada tahun 1891, MHI akhirnya berkembang menjadi syarikat swasta terbesar di Jepun terlibat dalam pelbagai industri seperti perkapalan, jentera berat, kereta api dan pastilah aeronautik, penerbangan serta pertahanan.

MHI memasarkan pesawat pejuang yang menjadi antara kelengkapan rasmi pasukan pertahanan Jepun, selain daripada mengeluarkan kereta perisai dan kereta kebal sendiri. Legasi perkapalan MHI diteruskan dengan pengeluaran kapal perang serta kelengkapan peluru berpandu pelbagai jenis.

Lebih unik, MHI turut sama mempunyai keupayaan menghasilkan peranti satelit dan juga kapal angkasa untuk tujuan pelancaran satelit sendiri.

3. Samsung

kereta kebal samsung

Samsung cukup mirip dengan jenama telefon pintar dan barangan elektronik, tetapi dalam sejarah syarikat ini - mereka juga pernah berkecimpung dalam penghasilan senjata. 

Samsung Precision Co. Ltd. ditubuhkan sebagai salah satu divisyen di bawah konglomerat Samsung, yang dimulakan untuk membangunkan peralatan makmal. Tawaran kerjasama dengan syarikat General Electric dari Amerika Syarikat memulakan penglibatan Samsung dalam bidang pembuatan enjin jet.

Dari sinilah Samsung menimba pengalaman, melangkah lebih jauh menghasilkan helikopter model Bell 427 bersama firma Bell Helicopter, disamping menghasilkan enjin dan komponen enjin jet untuk kegunaan syarikat penerbangan lain di bawah nama baru Samsung Aerospace Industries.

Pada tahun 1989 ekoran ancaman Korea Utara yang menaiktaraf kelengkapan pertahanan mereka, Samsung Aerospace Industries bersama Agensi Pertahanan Korea Selatan mula membangunkan kereta kebal K9 Thunder, yang menjadi produk mereka paling berjaya dalam industri pertahanan.

4. Kawasaki

1 kawasaki xc 3

Kawasaki merupakan antara jenama yang harus diberikan kredit memberikan nafas kedua kepada kebangkitan populariti motorsikal besar di negara kita.

Sebuah syarikat yang memang bermula sebagai sebuah syarikat pembina pesawat, Kawasaki Heavy Industries Aerospace Company (KHIAC) kini merupakan divisyen kepada Kawasaki, bertanggungjawab membina produk aeronautik, angkasa, enjin pesawat serta peluru berpandu.

Selepas tamat era pendudukan Amerika Syarikat yang menghalang syarikat seperti Kawasaki beroperasi, KHIAC mula menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat Jepun lain bagi merancakkan kembali industri mereka yang terhenti.

Bermula dekad 1970-an, KHIAC mula bergiat lebih aktif dalam pembangunan kenderaan ketenteraan bersama Kementerian Pertahanan Jepun, membangunkan model jet pengangkut besar Kawasaki C-1 yang digunakan sehingga tahun 2016.

Model ini kemudiannya digantikan dengan model tambah baik Kawasaki C-2 yang masih dalam perkhidmatan, khas untuk kegunaan pasukan pertahanan Jepun.

5. Daikin

daikin type 06 rifle grenade 22fffae4 1fbc 47bb 811a 29b54ba93a4 resize 750

Sebut Daikin, terus teringat pendingin hawa. Ini kerana Daikin merupakan pemegang hakcipta paten teknologi penyejukan berasaskan cecair penyejuk yang banyak digunakan dalam kediaman dan bangunan.

Daikin bermula sebagai sebuah syarikat pembekal hos radiator penyejuk kapal terbang, sebelum mula menjadikan teknologi penyejukan sebagai bidang utama.

Mereka membangunkan sistem penyejuk 'mifujirator' yang digunakan oleh tentera laut Jepun untuk kegunaan kelengkapan mereka sebelum mula mengeluarkan pendingin hawa komersial pertama pada tahun 1951.

Divisyen yang bertanggungjawab dalam penciptaan senjata Daikin, adalah Defense Systems Division. Divisyen ini biasanya terlibat dalam proses akhir pembuatan senjata-senjata ringan seperti senapang dan grenad, yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat Jepun lain.

Antara produk pertahanan keluaran Daikin yang popular di kalangan angkatan ketenteraan Jepun, adalah grenad Type 06 dan senapang Type 89.

Kami yakin selepas ini anda tidak lagi mampu melihat pendingin hawa jenama Daikin tanpa terfikir tentang letupan. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)