Jenama Jepun berada di mana-mana saja, cukup popular di kalangan masyarakat kita. Sering menjadi sebutan - malangnya tidak ramai yang tahu apa makna sebenar di sebalik jenama popular ini.

Ada banyak kisah menarik berkenaan bagaimana nama-nama ini terhasil. Ada yang mendapat ilham secara spontan. Ada yang mengambil inspirasi dari bahasa berbeza. Ada juga yang mencedok pengaruh agama dalam menamakan syarikat mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 10 jenama Jepun yang popular di Malaysia dan makna di sebalik jenama-jenama itu.

1. Sejarah nama Shokubutsu

shokubutsu sabun mandian

Mesti ramai suka sabun mandian 'Shokubutsu' kan? Selepas pengenalannya, jenama ini terus menjadi antara pilihan pengguna di negara kita.

Apa makna 'Shokubutsu'? 'Shokubutsu' atau nama penuh jenamanya 'Shokubutsu Monogatari' mempunyai makna 'kisah tumbuhan', di mana 'shokubutsu' membawa makna 'tumbuhan' dan 'monogatari' membawa makna kisah.

Nama itu digunakan kerana Shokubutsu merupakan jenama sabun mandian pertama di Jepun, yang dibuat dengan menggunakan 100% bahan organik tumbuhan.

2. Sejarah jenama Kao

produk kao syarikat jepun

Sebuah syarikat yang sudah lama bertapak di Malaysia, Kao merupakan sebuah syarikat yang mengeluarkan banyak produk untuk kegunaan tempatan. Jenama Kao pernah menjadi fenomena di Malaysia di mana, rata-rata orang sering mengungkapkan ungkapan berikut.

Kao, lembu!

Nama 'Kao' yang digunakan mempunyai makna 'wajah'. Oleh sebab itulah sebagai sebuah syarikat, Kao menggunakan logo bulan yang mempunyai wajah padanya sebagai simbol syarikat mereka.

3. Asal-usul jenama Casio

casio produk jam tangan

Penulis sejak kecil memang percaya produk Casio ni. Jam tangannya tangan. Permainan video mudah alihnya juga menjadi rebutan kanak-kanak Malaysia satu masa dulu. Dah besar, cari Casio G-Shock pula.

'Casio' bukanlah satu istilah asal Jepun, tetapi sebenarnya adalah nama kepada keluarga pengasas syarikat ini yang diubahsuai agar lebih komersial iaitu 'Kashio.'

Empat adik beradik keluarga Kashio iaitu Tadao, Toshio, Kazuo dan Yukio menubuhkan Casio Computer pada tahun 1957, selepas kejayaan mereka membangunkan kalkulator eletrik pertama dunia.

Tak boleh bayangkan juga kalau mereka kekal guna nama asal keluarga mereka. 'Kashio G-Shock'. Lucu bunyinya.

4. Asal-usul jenama Canon

canon syarikat percetakan

Gergasi kamera dan mesin percetakan ini pada awalnya mengeluarkan nama ini bagi melabelkan prototaip kamera 35mm bernama Kwanon keluaran mereka pada tahun 1934.

Nama ini diambil daripada nama lain salah seorang Dewi terkenal ajaran Buddha, iaitu Guanyin yang lebih dikenali dalam masyarakat Jepun sebagai Kannon. Ejaan nama Kannon diubah dan diringkaskan bagi memudahkan ejaan dan sebutannya, ditulis sebagai Canon ketika didaftarkan pada tahun 1969.

5. Asal-usul dan maksud jenama Shoei

helmet shoei 03

Nama jenama topi keledar terkenal ini tidak mempunyai sebarang makna, sebaliknya hanyalah gabungan dua istilah berbeza.

Ketika Shoei ditubuhkan, dinasti Showa sedang memerintah Jepun sekitar tahun 1959. Jadi mereka mengambil suku kata 'Sho' dan digabungkan dengan nama pengasas mereka Eitaro Kamata atau 'Ei'; yang menghasilkan nama 'Shoei.'

Ramai penunggang motorsikal Malaysia beli topi keledar jenama lain tapi tetap nak juga tampal pelekat jenama 'Shoei' pada topi mereka.

6. Maksud jenama Mizuno

kasut jenama mizuno

Nama produk sukan terkenal Mizuno menjadi antara buruan mereka yang gemar berlari dan bermain badminton. Dari bahasanya, 'mizuno' membawa makna 'lapangan yang berair.'

Selain menjadi label jenama sukan, juga terdapat sebuah tempat yang dinamakan dengan nama sama di Jepun. Bagaimanapun, jenama ini namanya diambil sempena nama keluarga pengasas syarikatnya iaitu adik beradik Rihachi dan Rizo Mizuno.

Pada awalnya mereka memulakan Mizuno Brothers Ltd. di Osaka, Jepun - memfokuskan barangan runcit dan penjualan peralatan besbol sebelum mula menghasilkan sendiri barangan sukan pada tahun 1907.

7. Asal-usul jenama Uniqlo

uniqlo jenama terkenal jepun

Nama Uniqlo yang kini terkenal sebagai gergasi produk tekstil di Asia, sebenarnya sudah lama bermula sejak tahun 1949. Dibuka dengan nama Ogori Shoji oleh ayahnya menjual pakaian lelaki, anaknya Tadashi Yanai akhirnya mewarisi perniagaan ayahnya.

Yanai memperkembangkan perniagaan ayahnya, membuka sebuah cawangan baru di Hiroshima dengan nama 'Unique Clothing Warehouse.' Yanai cuba mendaftarkan nama perniagaannya sebagai Uni-Clo namun kesilapan semasa pendaftaran menukarkan nama syarikatnya kepada 'UniQlo.'

Kini Yanai adalah individu terkaya di Jepun. Hah! Power tak power?

8. Sejarah nama Tamiya

tamiya pengeluar kit model jepun

Percaya tak jika kami katakan syarikat kit model permainan Tamiya sebenarnya bermula pada tahun 1946 sebagai sebuah syarikat pemproses kayu kayan oleh seorang ahli perniagaan bernama Tamiya Shoji?

Lebihan kayu yang disimpan, akhirnya dijadikan model-model oleh tukang kayu di sana. Selepas penutupan kilang memproses kayu itu pada tahun 1953, Tamiya mula menggunakan kemahiran pekerjanya dalam menghasilkan model, membangunkan model berasaskan kayu.

Mereka akhirnya memilih untuk menjadikan plastik sebagai asas kit model mereka pada tahun 1960, mengeluarkan model kapal perang Jepun Yamato sebagai model pertama.

9. Asal-usul jenama Yonex

yonex raket berkualiti jepun

Yonex bermula sebagai sebuah syarikat pertukangan kayu dengan nama Yoneyama Company, diambil sempena nama Minoru Yoneyama - pengasas mereka.

Mereka memfokuskan kepada penghasilan peralatan memancing sebelum mula diminta menghasilkan raket kayu sebagai kontraktor pengeluar rasmi, tetapi menggunakan jenama pihak lain iaitu Sanbata.

Selepas Sanbata bankrap, Yoneyama meneruskan cabang baru itu dengan penubuhan Yoneyama Sports. Co. Ltd mengeluarkan produk sukan sebagai perniagaan utama.

10. Sejarah nama Studio Ghibli

karya animasi studio ghibli

Pasti ramai peminat hasil karya animasi Studio Ghibli kan? Pernahkah anda terfikir kenapa nama 'Ghibli' itu agak janggal dan tidak berbunyi seperti Jepun?

Ini kerana istilah 'ghibli' itu diambil daripada istilah Arab 'jiibli' yang membawa makna angin panas padang pasir. Nama itu dipilih pengasas studio animasi ini iaitu Hayao Miyazaki, yang mahu pengaruh Studio Ghibli berkembang sama seperti angin di kawasan gurun.




Hakcipta iluminasi.com (2017)