Angkasa menyimpan 1001 rahsia yang besar dan tidak mampu difahami oleh manusia. Kemahiran dan pengetahuan manusia dalam menerokai ruang tidak terbatas ini cukup mencabar, dibatasi pula dengan tahap keupayaan manusia sendiri dalam pelbagai aspek.
Keupayaan untuk bernafas di ruang angkasa juga merupakan sesuatu yang tidak mampu kita lakukan, ekoran kewujudan ruangan vakum tanpa oksigen yang membataskan fungsi tubuh badan kita.
BESARKAN TEKS A- A+
Tahukah anda mengapa dari segi saintifiknya mengapa kita gagal bernafas di angkasa? Bagaimana pula jawapan anda, sekiranya anda diajukan soalan "apa bau angkasa?"
Berapa lama kita mampu bertahan di angkasa tanpa sut?
Untuk menjawab persoalan itu, boleh. Kita boleh hidup di ruangan angkasa sekejap sahaja sekiranya kita tidak memakai baju angkasa.
Baju angkasa yang dipakai sebenarnya memainkan beberapa peranan yang cukup besar dan peranan yang paling penting, adalah untuk mencipta ruang bertekanan yang mampu menampung oksigen pada angkasawan.
Selain itu, baju angkasa juga diperlukan bagi melindungi tubuh badan angkasawan daripada sianaran ultra lembayung (ultraviolet) dan juga suhu tinggi. Sekiranya fungsi pengawal tekanan dalam sut angkasa gagal berfungsi, tubuh manusia akan mengalami keadaan yang digelarkan sebagai 'ebullism.' Ketiadaan tekanan dalam udara akan menyebabkan cecair yang terkandung dalam badan seperti darah akan menurun ke bawah paras suhu optimum badan.
Di bumi, kita mampu menahan nafas sehingga beberapa minit (bagi sesetengah orang) tanpa mengalami kesan pengsan, tetapi dalam ruangan vakum, menahan nafas hanya akan mempercepatkan proses penurunan kadar oksigen dalam darah. Sekiranya terdapat udara di dalam paru-paru angkasawan tanpa sut angkasa, tekanan akan menyebabkan oksigen dalam badan mengembang lalu memecahkan paru-paru sehinggalah mematikan fungsi otak dan jantung.
Boleh mati kerana darah mendidih
Jim LeBlanc merupakan salah seorang peserta ujian NASA dalam mencuba sut angkasa semasa peringkat rekaannya.
Dalam salah satu siri ujian, Jim terjatuh sehingga menyebabkan salur yang mengawal tekanan sut angkasa Jim tercabut ketika Jim berada dalam ruangan vakum, yang dibina secara tiruan. Berada dalam keadaan vakum, Jim mula merasakan air liur dalam mulutnya seakan-akan menggelegak sebelum dia pitam dan diselamatkan tidak lama selepas itu.
Apa yang berlaku - seseorang yang dalam keadaan vakum di mana tidak ada sebarang tekanan udara, udara yang berada di dalam badan secara automatik akan mula keluar dari tubuh. Udara-udara ini sekiranya berada dalam cecair dalam badan, akan mula berbuih menandakan proses pengeluarannya sedang berlaku.
Kenapa Jim merasa air liur dalam mulutnya mula menggelegak? Cecair mempunyai tahap didih yang lebih rendah dalam keadaan kurang tekanan. Apa yang dirasai oleh Jim adalah tindak balas cecair dan udara yang terdapat dalam badan ketika dalam vakum. Boleh rujuk video di atas untuk melihat sendiri kesan cecair yang berada dalam ruang vakum.
Dianggarkan secara purata, manusia dapat bertahan hanya selama 15 saat dalam ruangan vakum. Itu adalah tempoh waktu yang diperlukan untuk darah tanpa oksigen mula masuk ke dalam otak yang seterusnya akan menyebabkan kerosakan organ berlaku.
Bagaimana bau angkasa?
Tidak ada manusia pernah merasai sendiri bagaimana bau angkasa menggunakan hidungnya, jadi kita sendiri tidak tahu secara fakta bau sebenar angkasa.
Bagaimanapun, setiap kali angkasawan perlu melakukan perjalanan angkasa atau 'spcaewalk', partikel-partikel halus akan melekat pada sut angkasa yang akan menyebabkan sut dan peralatan mereka mempunyai bau tersendiri. Pihak NASA sendiri melakukan penyelidikan khas untuk mencipta semula bau yang terhasil daripada angkasa, bagi membantu sesi latihan yang dijalankan di sana.
Bulan dikatakan mempunyai bau yang sangat mirip dengan bau belerang. Ruang angkasa pula?
Bagi angkasawan yang sudah selesai melakukan perjalanan angkasa dan kembali semula ke dalam pengunci udara International Space Station, mereka dikatakan mempunyai bau yang seakan-akan bau daging hangus.
Don Pettit, salah seorang angkasawan menjelaskan bau yang melekat pada mereka sama seperti bau yang terhasil ketika proses memateri besi dilakukan. Dalam erti kata lain, bau besi terbakar.
Selain itu, melalui misi prob angkasa Rosetta yang berjaya mendarat di permukaan komet untuk penyelidikan pula mendapati, komet 67P/Churyumov–Gerasimenko mempunyai bau yang agak kurang menyenangkan.
Bau komet itu sama seperti bau telur busuk bercampur dengan bau kencing kucing.