Oleh pada 16 Oct 2019 kategori

Banyak filem yang sering dikaitkan dengan sumpahan tertentu seperti nasib malang, kematian dan sebagainya. Namun, filem seram The Omen (1976) dianggap sebagai filem dengan sumpahan paling dahsyat sepanjang zaman.

Filem ini menceritakan bagaimana seorang lelaki mengambil anak angkat tanpa mengetahui bahawa budak itu adalah kelahiran semula antichrist (dajjal). Namun, apakah yang berlaku di sebalik filem ini sehingga penerbit mendakwa bahawa Syaitan telah menghukum mereka kerana menghasilkan filem ini? Berikut adalah beberapa misteri sumpahan filem ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Kemalangan maut sama dengan babak filem

Setelah membantu mencipta kesan khas untuk filem The Omen, pereka John Richardson kemudian bekerja untuk filem A Bridge Too Far yang membuat pengambaran di Belanda.

the omen 1976 166

Pada suatu malam, Richardson sedang memandu keretanya di sebuah jalan sunyi bersama isterinya dan seorang lagi pengukir arca kesan istimewa, Liz Moore. Kenderaan yang mereka naiki telah bertembung secara berdepan dengan kenderaan lain. Malangnya, Liz Moore telah meninggal dunia dan kepalanya terputus apabila salah satu tayar hadapan menembusi lantai dan menghentamnya.

Richardson terkejut kerana kejadian itu adalah satu kebetulan yang mirip salah satu babak dalam The Omen. Menurut Richardson lagi, sejurus sebelum berlaku kemalangan dia terlihat papan tanda arah ke bandar Ommen (bandar di Belanda) sejauh 66.6 km di hadapan. (sumber)

2. Pelatih haiwan dibaham harimau

Dalam satu babak seram The Omen, Lee Remick yang memainkan watak ibu Damien (anak angkat/antichrist) sangat ketakutan apabila melakonkan babak sekumpulan babun menyerang kereta yang dinaiki mereka.

babak diserang babun 764

Pengarah filem itu, Richard Donner kemudian meletakkan seekor babun di dalam kereta itu supaya haiwan itu lebih marah dan mereka dapat merakam reaksi haiwan itu. Seorang pelatih haiwan telah ditugaskan menjaga babun-babun itu daripada menyerang kru atau pelakon.

Malangnya, pelatih haiwan itu terbunuh sehari selepas pengambaran babak babun itu. Seekor harimau telah menerkam pelatih itu dan dia mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala. (sumber)

3. Pesawat disambar petir dalam tiga kejadian berbeza

Pada Oktober 1975, pesawat yang dinaiki pelakon Gregory Peck (watak bapa Damien) dari London ke tapak penggambaran telah dipanah petir. Salah satu enjin telah terbakar dan hampir menyebabkan pesawat itu terhempas di Lautan Atlantik.

gregory peck dalam the omen 1976 807

Gregory Peck

Beberapa minggu kemudian, pesawat yang dinaiki penerbit Mace Neufeld ke tapak penggambaran pula dipanah petir ketika melintasi Lautan Atlantik. Dua kejadian sama yang menimpa pelakon dan penerbit itu dilihat sebagai kebetulan yang menakutkan.

Apabila kejadian yang sama menimpa penulis skrip filem itu, David Seltzer, ia mula dilihat sebagai satu sumpahan. Kejadian panahan petir itu tidak terhenti di situ. Seorang lagi penerbit, Harvey Bernard, sangat hampir dipanah petir ketika melakukan pengambaran di Rome. (sumber)

4. Sekumpulan anjing terlatih hilang kawalan

Salah satu babak mencemaskan dalam The Omen adalah apabila Gregory Peck cuba untuk melarikan diri dari tanah perkuburan ketika diserang sekumpulan anjing ganas.

gregory peck diserang anjing 817

Beberapa anjing terlatih baka Rottweiler yang digunakan dalam filem itu diarahkan untuk menyerang stuntman yang menggantikan Peck. Walaupun telah dilengkapi dengan perlindungan yang sesuai, secara tiba-tiba sekumpulan anjing itu menyerang stuntman dengan ganasnya.

Anjing-anjing itu tidak mengendahkan arahan jurulatih mereka dan terus menyerang stuntman sehingga menyebabkan kecederaan. Mujur, pengganti pelakon itu selamat. (sumber)

5. Hampir dibom dalam dua kejadian berasingan

Selepas terselamat dari disambar petir, penerbit Mace Neufeld terlibat lagi dalam beberapa kejadian pelik. Semasa menginap di hotel Hilton di London, dia dan isterinya hampir mati apabila Tentera Republikan Ireland (IRA) meletupkan bangunan itu. Mujur pasangan itu tiada ketika kejadian.

mace neufeld 621

Mace Neufeld

Beberapa hari kemudian, Neufeld bersama penerbit lain dan pelakon filem The Omen menuju untuk makan di sebuah restoran. Mereka bernasib baik apabila bangunan restoran itu diletupkan IRA sebelum mereka tiba.

Ramai yang menyangka ia adalah sumpahan tetapi pada waktu itu juga banyak serangan letupan yang dilakukan IRA di London. Mungkin penerbit itu terselamat adalah satu keajaiban. (sumber)

6. Pesawat yang disewa untuk penggambaran terhempas

Untuk mendapatkan beberapa rakaman dari udara, kru filem The Omen telah menyewa sebuah pesawat ringan. Pada saat-saat akhir, syarikat pesawat itu mengubah rancangan dan menyewa pesawat itu kepada sekumpulan orang lain.

damien the omen 313

Menurut cerita, pesawat itu telah disewa oleh ahli perniagaan Cina yang memberikan tawaran lebih baik. Kru filem itu diarahkan untuk menunggu sehingga pesawat itu selesai digunakan pada sebelah petangnya.

Rupa-rupanya, ia adalah kejadian yang sangat bertuah. Pesawat yang dinaiki ahli perniagaan Cina itu telah berlanggar dengan kawanan burung sebelum terhempas dan bertembung dengan kereta. Beberapa orang didakwa kehilangan nyawa dalam kemalangan itu. (sumber)

7. Seorang pelakon lagak ngeri hampir mati ditolak dari bangunan

Apabila stuntman Alf Joint selesai penggambaran The Omen, dia bekerja pula untuk filem A Bridge Too Far. Untuk satu babak, dia sepatutnya terjun dari sebuah bangunan dan mendarat di atas beg udara seperti yang biasa dilakukannya dalam filem-filem lain.

a bridge too far

Kali ini, dia terjun dengan gaya pelik dan mendarat di atas tanah. Joint mengalami kecederaan teruk dan dikejarkan ke hospital. Apabila sedar, Joint mengatakan bahawa dia "ditolak" ketika sedang bersedia untuk babak itu. (sumber)

8. Lokasi penggambaran ditakuti penduduk tempatan dan menjadi tapak jenayah

Salah satu lokasi penggambaran The Omen adalah Katedral Guildford. Selepas filem itu ditayangkan, para paderi memberitahu sukar untuk mengajak penduduk tempatan datang ke gereja itu. Ketakutan itu berlangsung selama lebih 30 tahun kemudian.

katedral guildford

Pada 2008, seorang lelaki bersenjata berlegar-legar di kawasan gereja itu dan polis telah dimaklumkan mengenai perkara itu. Lelaki itu enggan memberikan kerjasama dan ditembak mati di tangga gereja itu, tempat sama di mana salah satu babak dirakamkan di situ. (sumber)

9. Pencipta The Omen beri amaran filem itu akan disumpah

Apabila seorang eksekutif pengiklanan, Robert "Bob" Munger, menganggap sebuah filem mengenai Antichrist adalah idea yang baik, dia membentangkan cadangan itu kepada sebuah syarikat perfileman.

pelakon utama the omen

Memandangkan filem seram Rosemary's Baby dan The Exorcist menjadi kejayaan besar, penerbit Harvey Bernhard bersetuju dengan cadangan itu dan mahu membiayainya. Tidak lama selepas itu, Munger berubah fikiran dan menjadi seorang yang kuat agama. Dia memberi amaran kepada semua bahawa filem yang bakal dihasilkan itu akan menerima sumpahan.

Walau bagaimanapun, Bernhard tetap meneruskan rancangannya itu. Apabila kejadian-kejadian aneh mula berlaku, dia memakai salib di lokasi penggambaran sebagai langkah berjaga-jaga. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)