Oleh pada 10 Dec 2019 kategori

Pada tahun 1969, Tippi Hedren bersama Noel Marshall (kemudian menjadi suaminya) bekerja bersama dalam penghasilan dokumentari di Afrika mengenai sekumpulan singa belaan yang dilepaskan ke habitat semula jadinya.

Apabila pulang ke Amerika, mereka mendapat ilham untuk menghasilkan filem mengenai singa dan Noel mula menulis skrip. Ketika itu mereka tidak mengetahui sama sekali bahawa filem yang akan dihasilkan itu akan menjadi filem paling bahaya dalam sejarah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penggambara filem yang diberi judul "Roar" itu bermula seawal tahun 1974. Filem itu dibintangi oleh Tippi Hedren dan kandungnya yang merupakan pelakon Hollywood terkenal era 90-an iaitu Melanie Griffith. Dua orang anak kandung Noel hasil perkahwinan terdahulu iaitu John dan Jerry Marshall juga berlakon dalam filem ini.

Filem itu berkisarkan tentang sebuah keluarga yang diserang oleh haiwan liar di rumah mereka. Tippi dan Noel mula mendapatkan bantuan daripada jurulatih haiwan tetapi tidak ada yang mampu membekalkan mereka sebanyak 30-40 ekor singa seperti yang tertulis dalam skrip.

Mereka akhirnya mula membela seekor anak singa yang dinamakan Neil di kediaman mereka. Disebabkan sering menerima aduan daripada jiran-jiran, pasangan itu akhirnya membeli sebuah ladang di pinggir Los Angeles untuk menempatkan haiwan peliharaan mereka. Ladang itu juga menjadi tempat pengambaran filem Roar.

melanie griffith bersama seekor harimau

Melanie Griffith bermain dengan seekor harimau

Mereka kemudian mula menyewa puluhan singa lain termasuk beberapa ekor gajah Afrika supaya ladang itu kelihatan seperti sebuah zoo mini. Semasa penggambaran dijalankan, dianggarkan terdapat sekitar 150 haiwan liar terdiri daripada singa, harimau, harimau bintang dan harimau kumbang.

Filem yang sepatutnya siap dalam masa sembilan bulan mengikut perancangan itu akhirnya memakan masa sehingga lima tahun lamanya. Dalam tempoh itu juga, kecederaan menjadi sebahagian daripada rutin harian kru filem dan pelakon.

Pengarah sinematik filem itu, Jan de Bont, pernah dicakar di kepalanya oleh seekor singa sehingga memerlukan 220 jahitan. Tippi sebagai pelakon utama juga mengalami patah kaki serta kecederaan di kepala apabila dia dilemparkan seekor gajah ketika sedang menunggangnya.

Tippi juga pernah digigit singa di bahagian leher dan babak itu dipamerkan dalam filem. Anaknya iaitu Melanie Griffith juga cedera di muka sehingga memerlukan sebanyak 50 jahitan. Pada satu ketika, kecederaan yang dialami Malenie hampir menyebabkan dia kehilangan sebelah matanya.

noel marshall bersama puluhan singa dan harimau

Noel Marshall bersama puluhan singa dan harimau

Noel Marshall juga diserang beberapa kali. Dalam satu kejadian, dia telah dicakar oleh seekor harimau bintang. Noel juga mengalami gangren (kematian tisu secara meluas akibat terputusnya bekalan darah, biasanya diikuti dengan serangan bakteria) sehingga memerlukan beberapa tahun untuk pulih.

Pembantu pengarah Doron Kauper juga digigit di bahagian kerongkong dan mengalami beberapa kecederaan lain di bahagian kepala, dada dan kaki. Ramai lagi kru filem dan pelakon yang mengalami kecederaan serius sepanjang pengambaran dilakukan.

Pernah satu ketika, banjir melanda ladang itu dan memusnahkan set pengambaran serta membunuh tiga ekor singa. Aktiviti pengambaran terhenti buat satu tempoh yang agak lama. Selepas itu, pengambaran dilanjutkan lagi untuk masa beberapa tahun sehingga siap.

Tippi Hedren memberitahu bahawa semua orang bertekad untuk menghabiskan filem itu dan yakin bahawa filem itu akan berjaya. Namun, filem itu akhirnya terbukti satu kerugian besar.

melanie griffith

Melanie Griffith bersama bekas suaminya, Antonio Banderas, dan ibunya Tippi Hedren

Ia menelan belanja yang besar dan mengambil masa yang lama tetapi tidak mendapat sambutan apabila ditayangkan pada tahun 1981.

Dianggarkan bahawa sekitar 70 orang yang terlibat dalam penghasilan filem Roar ini cedera akibat diserang binatang buas. Ada beberapa babak serangan dalam filem ini merupakan kejadian benar.

Sebahagian luka dan darah juga adalah asli. Ini menyebabkan filem Roar dianggap sebagai filem paling berbahaya sepanjang zaman.

Pelakon utamanya Tippi Hedren membantah jumlah kecederaan yang dilaporkan itu tidak begitu tepat. Dia percaya bahawa kemalangan yang berlaku adalah antara 70 hingga 100 atau mingkin lebih.

Menurut Tippi lagi, peraturan pengambaran filem dahulu tidaklah seketat seperti sekarang. Sekiranya dua orang atau lebih mengalami kecederaan pada penggambaran filem hari ini, ianya boleh dibatalkan badan perfileman.

Pelakon ikonik itu juga meluahkan rasa penyesalannya apabila dia membela seekor singa di rumah dan bermain bersama anak-anaknya. Tippi mendakwa perbuatannya itu adalah bodoh dan dia tidak sepatutnya mengambil risiko seperti itu.

Dalam satu temubual pada 2015, Tippi memberitahu bahawa singa-singa itu sangat pantas. Apabila mereka sudah menetapkan untuk menyerang anda, tiada apa yang dapat menghentikannya melainkan jika ditembak di kepala.

Rujukan:

1. Filem Paling Bahaya Pernah Dihasilkan

2. Filem yang menyebabkan lebih daripada 70 kecederaan serius

3. Penggambaran filem yang hampir mengorbankan nyawa kru dan pelakon




Hakcipta iluminasi.com (2017)