Kacau-bilau yang berlaku disebabkan oleh tindakan penunjuk perasaan dan perusuh, ekoran kematian individu kulit hitam George Floyd sudah menular sehingga ke beberapa negara Eropah.
Apa yang menghairankan penulis, banyak pihak mengakui perjuangan kumpulan 'Black Lives Matter' (BLM) ini dikatakan lebih banyak berpaksi kepada isu penindasan etnik kulit hitam di Amerika Syarikat - akibat daripada tindakan pihak polis yang dikatakan bertindak mengikut warna kulit mangsa.
BESARKAN TEKS A- A+
Tetapi hari demi hari, berita berkenaan rusuhan dan kemusnahan yang dilakukan penyokong BLM di negara-negara bukan Amerika Syarikat menimbulkan 1001 persoalan - apa matlamat mereka ini sebenarnya?
Kenapa polis London diserang?
Pada 7 Jun 2020, media United Kingdom melaporkan tentang insiden penyokong-penyokong BLM yang terpaksa berhadapan dengan kumpulan penyokong gerakan kanan, walaupun perarakan kedua-dua kumpulan diadakan secara berasingan.
Ekoran daripada pertembungan tersebut, polis terpaksa campur tangan akibat keadaan yang menjadi luar kawalan - walaupun sejak mula lagi kerajaan Britain telah pun mengumumkan larangan untuk sebarang bentuk perhimpunan diadakan.
Suasana mula panas selepas kumpulan sayap kanan Britain bertindak membentuk barisan bagi menghalang pergerakan kumpulan BLM yang dikhabarkan mahu meruntuhkan beberapa monumen yang telah dibina.
Disebabkan oleh insiden pertembungan itu, polis London yang terpaksa menjadi orang tengah telah menjadi mangsa selepas diserang oleh kedua-dua pihak, pada mulanya dengan botol yang dibaling.
Selepas keadaan menjadi huru-hara, anggota polis yang terlibat terpaksa berhadapan dengan situasi mencemaskan apabila mereka mula diserang secara terbuka oleh penunjuk perasaan, mengakibatkan enam orang anggota polis cedera.
Warga Perancis timbulkan semula isu lama
Dalam insiden 13 Jun 2020, kumpulan 15,000 orang penunjuk perasaan menyokong agenda BLM di Paris, Perancis bertindak melanggar arahan tiada perhimpunan dibenarkan - dengan menaikkan semula insiden tahun 2016.
Peristiwa kematian Adama Traore dalam tahanan polis yang berlaku empat tahun dahulu menjadi agenda utama mereka. Hasil siasatan kes tersebut gagal mengenalpasti punca kematian dengan jelas dan tiada dakwaan dapat dilakukan.
Ekoran daripada tunjuk perasaan itu, arahan agar bersurai dikeluarkan namun tidak dihiraukan mereka yang hadir. Apatah lagi Perancis ketika ini masih lagi dalam pelaksanaan kawalan pergerakan - di mana perhimpunan melebihi 10 orang dilarang buat sementara.
Sejarah polis Perancis dan layanan keras mereka terhadap kumpulan minoriti memang terkenal di serata dunia. Kami sendiri pernah menulis tentang taktik dan kaedah mereka, dalam menjalankan perintah kurungan akibat Covid-19.
Akibat daripada arahan yang dilanggar dengan tetap mengadakan perhimpunan, polis Perancis terpaksa menggunakan gas pemedih mata. Tindakan itu mendapat reaksi keras peserta perhimpunan, yang mula melontar batu ke arah petugas.
Disebabkan itu, polis terpaksa menyerbu dengan taktik agresif bagi menyuraikan peserta serta melakukan tangkapan.
Warga Belgium penyokong BLM pula mencuri
Salah satu aksi paling dikesali apabila melihat penyokong-penyokong BLM di Amerika Syarikat - adalah bagaimana ramainya individu yang mengambil kesempatan atas rusuhan, untuk melakukan aktiviti mencuri.
Penyakit ini telahpun berjangkit di Brussels, Belgium selepas beberapa kumpulan kecil penunjuk perasaan BLM - bertindak memecah masuk dan merompak beberapa premis perniagaan selepas selesai acara mereka.
Apa yang merisaukan, pihak penganjur iaitu Belgian Network for Black Lives sendiri gagal mengenalpasti individu yang terlibat sama ada benar-benar aktivis yang menyokong perjuangan mereka atau hanya kumpulan remaja nakal yang bijak mengambil kesempatan.
Disebabkan keadaan yang lebih mirip apa yang berlaku di Amerika Syarikat, polis Belgium terpaksa menggunakan cara keras bagi menyuraikan perusuh yang bukan saja merosakkan perniagaan orang tempatan malahan melakukan vandalisme secara terbuka.
Seramai 150 orang perusuh ditahan dalam kejadian tersebut. Selain merompak atau memecahkan premis perniagaan, perusuh juga dilaporkan cuba memulakan kebakaran dengan membakar tong sampah yang ada.
Kenapa semua ini berlaku?
Kami membaca semua komen yang anda berikan dalam ruangan komen kami. Kami tahu ramai di luar sana yang bersetuju dengan apa yang berlaku di Amerika Syarikat, patut berlaku disebabkan oleh isu-isu rasisme yang dikatakan berleluasa.
Bagaimanapun, banyak pihak mempertahankan rusuhan yang berlaku di Amerika Syarikat sebagai satu tindak balas ke atas kekejaman yang didakwa dilakukan polis Amerika Syarikat.
Jadi isu itu bukankah sepatutnya dilihat sebagai satu isu domestik, yang lebih bersifat tempatan di negara tersebut?
Penulis ingin menimbulkan persoalan - apa pula kaitannya penunjuk perasaan yang membantah insiden kematian George Floyd dengan negara-negara Eropah lain?
Adakah mereka ini layak dikatakan cuba mengambil kesempatan, turut sama meluncur sentimen pro-kulit hitam yang ada?
Jika isu George Floyd adalah isu masyarakat mereka bangkit melawan kekejaman polis Amerika Syarikat - apa kaitannya pula dengan negara lain seperti Belgium, Perancis dan United Kingdom yang kami senaraikan di atas?
Kami belum menyenaraikan lagi negara-negara lain di mana situasi serupa sudah mula melanda, seperti Sweden, Sepanyol, Afrika Selatan, Brazil dan yang aneh, Jepun - yang turut sama mula perlu berhadapan dengan gelombang penyokong 'Black Lives Matter' di negara mereka.
Adakah anda bersetuju seandainya perjuangan ini diangkat secara global atau sepatutnya dikekalkan hanya melibatkan Amerika Syarikat semata-mata?