jeneral ambrose burnside

Pernah tak anda tertanya, kenapa kita gelarkan bahagian rambut di tepi telinga kita digelarkan 'sideburn'?

Gelaran 'sideburn' tu kita gunakan dah macam sesuatu amalan biasa kan? Kalau ke kedai gunting, tukang gunting akan tanya "sideburn cukur ka boss?" Sekiranya ada rakan kita cantik 'sideburn' nya, kita puji "fuh lawa sideburn!"

Kerap kita sebut tentang sideburn, tapi kenapa 'sideburn' digelarkan 'sideburn'? Jom kita tengok.

Pemilik asal nama 'sideburn'

burnside

Jeneral Ambrose Burnsides adalah seorang jeneral perang dan ahli politik yang lahir pada 23 Mei 1824. Berketurunan Scotland, moyangnya hadir ke Carolina Utara sekitar pertengahan abad ke 18 dan Ambrose merupakan generasi ke empat yang tinggal di situ.

Pendidikannya terhenti selepas kematian ibunya pada tahun 1841, memaksa dia mencari sumber pendapatan. Ambrose bekerja sebagai pembantu kepada seorang tukang jahit dan berkat ketekunannya, dia akhirnya ditawarkan untuk menjadi rakan kongsi perniagaan tersebut.

Pada tahun 1843, Ambrose dipanggil masuk ke US Military Academy, menamatkan pendidikannya pada tahun 1847 serta berpangkat Leftenan kedua. Selepas itu dia bertugas di beberapa daerah lain, sebelum mula menjadi salah seorang pemimpin tentera dalam perang saudara yang tercetus pada tahun 1861.

Trend 'Burnside' mula popular

jeneral dan pengawal

Walaupun memegang pangkat jeneral serta terlibat dalam beberapa pertempuran, kejayaan seolah-olah mencemburui Ambrose semasa zaman perang saudara.

Kegagalannya dalam peperangan Antietam serta Fredericksburg sedikit sebanyak mencalarkan reputasinya sebagai seorang jeneral perang, dalam situasi perang sebenar. Selepas tamat perang saudara, Ambrose kembali berkhidmat sebagai gabenor dan senator di Pulau Rhodes.

Bagaimanapun, imej yang dibawanya mula menjadi sebutan orang ramai. Gaya potongan jambang Ambrose yang unik menjadi ikutan. Gaya unik yang menyambung bahagian jambang sepenuhnya tanpa ada janggut di dagu mula terkenal dengan gelaran 'Burnside whiskers' bagi membezakannya dengan satu lagi fesyen zaman tersebut yang digelarkan 'side whiskers.'

Satu kejadian rompakan melibatkan bank dilaporkan dalam akhbar The Evening Telegraph pada 15 Mei 1866 menyebut salah seorang perompak mempunyai 'Burnside Whisker' semakin mempopularkan gelaran itu pada orang ramai.

'Burnside' menjadi 'sideburn'

ambrose burnside

Penggunaan istilah 'burnside' semakin lama semakin popular bagi melabelkan bahagian jambang pendek yang ada di tepi telinga kita itu. Bagaimanapun, oleh kerana masyarakat zaman tersebut sudah biasa menggunakan terma 'side whisker' sebelum itu, mereka merasakan lebih selesa agar istilah baru itu menggunakan format serupa.

Jadi 'Burnside' bertukar menjadi 'sideburn' supaya lebih kena dengan mulut masyarakat mereka ketika itu, bagi melambangkan bulu yang tumbuh di bahagian tepi muka dan hadapan telinga. Rekod terawal penggunaan istilah 'sideburn' digunakan wujud dalam satu penerbitan pada 11 Februari 1875 dan secara rasminya istilah 'sideburn' pun lekat sehingga kini.

Ambrose meninggal dunia pada tahun 1881 ketika berusia 57 tahun, meninggalkan masyarakat Amerika Syarikat dengan bermacam jenis sumbangan dan pada seluruh dunia istilah 'sideburn' yang kerap kita guna.


tags : , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)