Pada mulanya, usaha untuk mendapatkan taraf kewarganegraan British bagi Elena Remigi hanyalah satu formaliti mudah. Lahir di Milan, Elena sudah tinggal di UK selama lebih sedekad. Dia memiliki rumah, kenderaan sendiri dan juga status penduduk tetap, yang memerlukan beliau melalui proses panjang membuktikan kelayakan beliau.

Walau bagaimanapun, segala-galanya berubah selepas rakyat Britain memilih untuk United Kingdom keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) pada Jun 2016. Rancangan Elena mengalami gangguan yang sangat ketara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebelum BREXIT, perjalanan warga Eropah merentasi benua mereka sangat mudah. Tidak ada keperluan untuk mereka melalui proses imigresen untuk masuk ke negara jiran. Berpindah dari Milan ke London bagi Elena, adalah satu proses yang langsung tidak mencabar prosedurnya. Yang lebih sukar adalah proses logistik perpindahan itu sahaja.

BREXIT mengubah segala-galanya

theresa may brexit

BREXIT menyulitkan proses permohonan kewarganegaraan Elena yang tetap mengambil keputusan untuk cuba menjadi rakyat UK secara rasmi, namun proses yang pada mulanya dianggap senang kini menjadi sangat sukar tiba-tiba - yang paling sukar adalah membuktikan dia sudah duduk di London selama ini.

Elena menyertai hampir lima juta orang yang hidup merantau di sekitar Eropah, dengan majoriti antara mereka memilih untuk tinggal dalam negara United Kingdom tetapi kini tidak pasti ke mana hala tuju masa depan mereka. Samalah situasinya seperti beberapa kumpulan rakyat Britain yang menjadikan negara Eropah lain rumah mereka.

Hasil perbincangan di antara wakil UK dengan wakil EU telahpun menghasilkan draf perjanjian pemisahan (PDF) serta status hak dan kerakyatan mereka yang bakal terlibat dalam pengasingan ini, dengan tarikh akhirnya pada penghujung 2020 untuk UK keluar sepenuhnya daripada EU. Apa yang merisaukan, sehingga kini belum ada jalan keluar yang menyenangkan orang ramai diwar-warkan sehinggakan terlalu ramai yang tertanya apa akan berlaku pada mereka.

Ketidak tentuan masa depan warga UK dan Eropah

sepanduk membabtah undian brexit

Elena tidak dapat duduk diam selepas mendapati permohonan kewarganegaraannya berdepan risiko ditolak. Dalam penerbitan bertajuk 'In Limbo' yang menghimpunkan testimoni 100 orang warga EU yang tinggal di UK, Elena mula mendapat gambaran sebenar kesukaran yang bakal dihadapinya.

Seorang warga Denmark gagal mendapat status PR selepas hidup 18 tahun di UK, satu pasangan Itali di Oxford memilih untuk meninggalkan UK selepas masyarakat setempat yang asalnya jiran mereka mula bertindak menghalau mereka supaya pulang ke Itali secepat mungkin selepas keputusan BREXIT diumumkan.

Seorang wanita UK pula terdesak cuba mendapatkan status penduduk tetap di Jerman berikutan perkahwinannya dengan seorang lelaki Perancis kini menghadapi kesukaran untuk mereka dapat kekal bersama.

Beberapa individu UK yang mengusahakan perniagaan merentasi negara di Eropah juga bakal berdepan kesukaran serta kehilangan pelanggan-pelanggan tetap, kerana BREXIT bakal menyebabkan mereka tidak lagi boleh berniaga secara bebas.

Walaupun warga Eropah masih diberikan peluang untuk duduk di UK atau sebaliknya selepas BREXIT disempurnakan, proses untuk keluar masuk itu pasti akan melalui pelbagai jenis kerenah birokrasi yang panjang. Apa yang lebih menakutkan bagi Elena; permohonan-permohonan itu boleh ditolak.

BREXODUS

ramai mahu referendum krdua brexit

Jabatan Statistik Negara United Kingdom melaporkan pada awal tahun 2018, berlakunya penurunan ketara pada jumlah individu Eropah yang masuk ke negara-negara United Kingdom, dengan jumlah ketika ini adalah terendah dalam tempoh lima tahun. Jumlah pekerja negara EU yang mendaftar untuk bekerja di UK juga berkurangan secara ketara disebabkan ramai individu memilih untuk mengambil langkah selamat walaupun sudah mempunyai hidup yang selesa di UK.

Bagi Maike Bohn, seorang wanita pengasas kepada NGO the3million yang menjaga kebajikan pekerja Jerman di UK dan mempunyai 37,000 ribu orang ahli, hampir separuh daripadanya memilih untuk meninggalkan UK.

Maike sendiri seakan-akan mahu mengambil langkah serupa walaupun dia sudah tinggal di UK selama 30 tahun dengan anak-anaknya sedang belajar dalam sistem persekolahan Britain. Maike ketika ini sedang berusaha mencari kerja di Berlin seandainya apa yang berlaku memerlukan dia berpindah.

Masa depan yang menjadi tanda tanya

kartun memaparkan brexit dan kedannya

Selain pihak berkuasa di London dan Brussels yang masih lagi cuba mencari formula terbaik untuk memudahkan kelancaran pemisahan UK daripada EU, Mahkamah Keadilan Eropah juga sedang membicarakan tuntutan lima orang warganegara Britain yang duduk di Belanda dan mahu mengekalkan hak mereka sebagai warganegara Kesatuan Eropah, selepas BREXIT selesai.

Seandainya mahkamah memutuskan bahawa status kewarganegaraan EU bagi warga Britain sedia ada tidak boleh dimansuhkan, ini akan memberikan implikasi yang cukup besar pada orang Britain lain serta menyukarkan lagi transisi BREXIT, yang jelas sekali sangat mencabar dalam melaksanakannya.

Selagi perjanjian BREXIT tidak termeterai, individu seperti Elena Remigi dan Maike Bohn akan terus terkapai-kapai, menunggu apakah langkah seterusnya yang baik untuk mereka dan kehidupan mereka sedia ada.


Artikel ini adalah terjemahan kepada artikel asal 'The Millions Left Marooned by Brexit' terbitan The Atlantic.




Hakcipta iluminasi.com (2017)