Oleh pada 25 Sep 2019 kategori

Trend individu hartawan menjadikan kelab-kelab bola sepak ternama dunia sebagai milik mereka satu masa dulu, hanya berdaya dilakukan oleh individu ternama Eropah sahaja.

Berikutan perkembangan ekonomi di seluruh dunia khasnya kawasan Asia Tenggara membolehkan ramai individu berduit, mula berani mengintai-ngintai mahu menjadikan kelab bola sepak Eropah sebagai salah satu aset mereka. Hartawan dari Asia Tenggara kebiasaannya menggunakan peluang itu untuk membentuk jalinan kerjasama antara kelab yang mereka miliki dengan negara asal mereka - seterusnya membantu membangunkan lagi kualiti bola sepak tempatan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima hartawan Asia Tenggara yang berjaya menempatkan diri sebagai pemilik kelab-kelab ternam di Eropah, yang kami rasakan anda perlu ketahui kisahnya.

1. Vincent Tan (Malaysia)

vincent tan cardiff city

Kita mulakan senarai ini dengan individu hartawan antara yang paling terkenal dalam masyarakat kita - Tan Sri Vincent Tan. Beliau merupakan antara individu yang berjaya membina empayar perniagaan gergasi, bermula dengan usaha berani dan berisiko membawa masuk francais McDonalds ke Malaysia.

Beliau mula dikenali ramai dalam arena bola sepak setelah membeli kelab Cardiff City dari Wales, yang bermain dalam liga Perdana Inggeris pada tahun 2010. Bagaimanapun, ekoran daripada tindakannya menukar warna rasmi pasukan yang secara tradisinya bergelar 'Bluebirds' daripada biru ke merah, menyebabkan hubungan beliau dengan penyokong agak tegang. Pada tahun 2015, atas desakan peminat - warna rasmi kelab itu kembali kepada warna tradisi mereka.

Selain Cardiff City, Vincent juga merupakan pemilik kepada kelab FK Sarajevo sejak tahun 2013. Tindakan ini membolehkan FK Sarajevo di Bosnia mewujudkan hubungan secara rasmi dengan Cardiff City, mengadakan program latihan dan pertukaran kemahiran serta pengetahuan. Hasilnya, FK Sarajevo kembali berjaya melayakkan diri dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah. Bagaimanapun, setakat ini kelab tersebut gagal melayakkan diri ke dalam liga tersebut mahupun Liga Europa.

2. Peter Lim (Singapura)

peter lim valencia

Anak seorang penjual ikan yang meminati kelab Manchester United, Peter Lim merupakan seorang hartawan dari Singapura yang menyimpan impian untuk memiliki sendiri sebuah kelab bola sepak Eropah. Impian beliau tercapai setelah bidaannya pada tahun 2014 membolehkan dia menjadi pemegang saham terbesar kelab Sepanyol, Valencia CF yang pada ketika itu dibebani masalah hutang.

Ekoran daripada suntikan kewangan daripada pemilik baru, Valencia berjaya melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah pada tahun berikutnya. Bagaimanapun, berikutan usaha untuk mendapatkan kembali pelaburan yang dilakukan dalam membayar hutang serta syarat UEFA dalam menyeimbangkan akaun kelab, memaksa Valencia terus menjual pemain-pemain bintang mereka setiap tahun.

Peter Lim sering dikritik kerana kerap masuk campur dalam urusan pentadbiran kelab milik beliau, meletakkan individu seperti Chan Lay Hoon sebagai presiden kelab tersebut yang akhirnya dilihat tidak berhasil. Pada ketika artikel ini ditulis, Peter sedang berdepan tunjuk perasaan penyokong Valencia membantah pemecatan bekas jurulatih mereka yang telah pun menunjukkan prestasi yang baik.

3. Vichai Srivaddhanaprabha (Thailand)

claudio ranieri vichai srivaddhanaprabha leicester juara liga

Nama sebenar Vichai Srivaddhanaprabha adalah Vichai Raksriaksor, tetapi namanya ditukar selepas Raja Thailand menganugerahkan nama itu kepada beliau pada tahun 2012, membawa makna 'cahaya yang membawa kegemilangan.' Latar belakang beliau adalah sangat sederhana - memulakan karier perniagaan di Hong Kong sebelum kembali ke Thailand bagi membuka sebuah kedai kraf yang menghasilkan produk-produk kraf pertama tempatan yang berjaya dijual di lapangan terbang antarabangsa di negara tersebut.

Kejayaan itu membolehkan beliau menubuhkan empayar perniagaan yang dinamakan King Power Group, mungkin sebagai penghormatan pada Raja Thailand - mula melebarkan perniagaan kepada pengurusan teater, restoran, hotel dan penerbangan. Pada tahun 2010, King Power Group mengambil alih kelab Leicester City yang ketika itu baru melayakkan diri ke dalam divisyen dua England, melakukan banyak pelaburan yang bijak sehingga membolehkan Leicester City kembali ke Liga Perdana Inggeris pada tahun 2014.

Pada musim 2015-2016, kelab tersebut mencatatkan sejarah memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Dihormati penyokong dan pegawai pasukan atas sumbangannya, malangnya Vichai terkorban dalam nahas kemalangan - selepas helikopter beliau yang baru berlepas dari stadium terbabas dan meletup pad a27 Oktober 2018.

4. Tony Fernandes (Malaysia)

tony fernandes qpr england air asia

Antara individu hartawan paling terkenal di Malaysia, Tony Fernandes lebih dikenali sebagai pengasas kepada sistem penerbangan tambang murah Air Asia yang membolehkan semua orang terbang. Bagaimanapun, bagi peminat bola sepak England, beliau adalah pemilik bersama kepada kelab Queens Park Rangers atau QPR yang mempunyai nasib turun naik selepas dibeli Tony.

Pada tahun 2011, Tony Fernandes berjaya membeli 66% kepentingan saham dalam kelab tersebut, membolehkan dia menjadi pemilik berkuasa majoriti dalam segala urusan pentadbiran kelab itu. Pada 2018, Tony bertindak meletak jawatan sebegai pengerusi kelab tersebut sebelum menyerahkannya kepada seorang individu lain. Tune Group menjadi pemegang saham terbesar kelab tersebut, dengan kadar 55% dan Tony bertindak sebagai pemilik bersama.

Beberapa rancangan untuk membina sebuah stadium baru bagi menggantikan stadium QPR sedia ada, berdepan sekatan selepas pihak perbandaran London menyekat rancangan mereka - atas dakwaan kumpulan pemilik QPR cuba mendapatkan tanah premium pada harga lebih rendah daripada harga pasaran.

5. Erick Thohir (Indonesia)

erick thohir indonesia jutawan inter milan

Hartawan paling muda dalam senarai ini, Erick Thohir menjana harta menerusi karier beliau sebagai seorang ahli perniagaan media, mewarisi kepintaran ayahnya dalam bidang perniagaan. Beliau menamatkan pengajian pada tahun 1993 sebelum menyertai konglomerat keluarganya TNT Group - membantu membuka PT Mahakam Media mensasarkan perniagaan pelbagai bentuk media seperti surat khabar, televisyen, radio dan pengiklanan.

Pada tahun 2013, Erick dilaporkan sedang dalam perbincangan bagi membeli 70% pegangan dalam kelab Inter Milan dan tawarannya itu diterima, membolehkan Erick menjadi pemilik utama kelab gergasi Itali itu. Pada tahun 2016, Erick bertindak melepaskan sedikit pegangannya kepada syarikat elektronik dari China, bernama Suning dengan baki 30% terus dipegang.

Awal tahun 2019, Thohir dilaporkan menjual pegangan sahamnya kepada sebuah firma kewangan dari Hong Kong bagi membolehkan dia menumpukan perhatian kepada pelaburan baru beliau sebagai salah seorang pemilik kelab divisyen tiga England, Oxford United. Selepas rakan karibnya Anindya Bakrie turut sama disenaraikan ke dalam senarai pemegang saham kelab tersebut - jelas sekali mereka berdua mempunyai rancangan besar mahu menjadikan kelab berusia 125 tahun itu sebagai rakan kerjasama bola sepak Indonesia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)