Bagi peminat sukan bola sepak khasnya liga Eropah, salah satu kejohanan paling unik yang menjadi identiti bola sepak mereka adalah Liga Juara-Juara Eropah atau 'Champions League.'

Dalam setiap perlawanan melibatkan kejohanan peringkat tersebut, yang dianggap kejohanan berstatus elit kerana hanya melibatkan pasukan-pasukan terbaik dari kesemua liga yang dianjurkan di benua Eropah - ada satu lagu tema yang akan dimainkan sebelum sepak mula dilakukan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Lagu tema ini yang selalu digunakan dalam iklan dan promosi kejohanan tersebut menjadi antara lagu yang ramai rakyat Malaysia tak faham, tetapi tetap diminati kerana aura lagu tersebut yang tersendiri. Ini sejarah lagu tersebut.

Permulaan penganjuran kejohanan Liga Juara-Juara Eropah

toni britten pencipta lagu

Gabungan persatuan bola sepak Eropah (UEFA) pada tahun 1991 berhajat mahu menambah baik kejohanan format liga yang telah mereka gunapakai sejak tahun 1955, bagi memperbanyakkan jumlah perlawanan serta membolehkan lebih banyak kelab beraksi.

Bagi membolehkan perubahan ini dilakukan dengan berjaya, UEFA mahu menjenamakan semula identiti kejohanan itu dengan perubahan diperkenalkan ke atas nama liga itu sendiri.

Nama 'European Champion's Club Cup' yang digunakan bagi mewakili pertandingan bersifat kalah mati diolah semula kepada 'UEFA Champions League,' berikutan format round robin yang diperkenalkan.

Penjenamaan ini tidak terhenti di situ sahaja. Untuk membina identiti baru kejohanan UEFA Champions League, satu lagu tema khas menjadi salah satu keutamaan penjemaan pertandingan itu jadi UEFA melantik seorang komposer Britain bernama Tony Britten (gambar atas) bagi menghasilkan karya tersebut.

Syarat UEFA, karya tersebut perlulah dihasilkan berdasarkan inspirasi daripada karya-karya komposer legenda abad ke 18, George Frideric Handel.

Britten mengambil ilham daripada sebuah karya lama

george frideric handel

Hasil daripada permintaan UEFA, Britten mula menelaah semula semua hasil karya yang terbaik dan mendapati terdapat sebuah lagu yang paling sesuai untuk diadaptasi.

Sebuah karya lama Handel yang terhasil pada tahun 1727 berjudul 'Zadok the Priest' dirasakan beliau sesuai untuk diolah agar kena dengan garis panduan yang diperkenalkan UEFA.

Lagu tersebut merupakan salah sebuah karya ciptaan Handel yang paling terkenal, cukup dikenali sebagai salah sebuah lagu patriotik rakyat Britain selain menjadi lagu rasmi acara koronasi mana-mana kerabat di-Raja Britain yang naik memegang takhta.

Matlamat utama Britten yang diletakkan dalam pengolahan dan penghasilan semula lagu untuk UEFA Champions League ini, adalah untuk menghasilkan tema yang menggambarkan keindahan sukan bola sepak serta darjat kejohanan tersebut yang perlu diangkat prestijnya.

Inspirasi melodi dan irama daripada 'Zadok the Priest' kuat kedengaran dalam lagu yang dihasilkan, menjadi tunjang utama lagu tersebut. Bagi liriknya pula, Britten memilih untuk menggunakan lirik gabungan tiga bahasa utama Eropah iaitu Inggeris, Perancis dan Jerman.

koir rakaman lagu tema uefa

Penghasilan melodinya dibuat menggunakan kemahiran London Royal Philharmonic Ochestra, sementara nyanyian koirnya pula dinyanyikan oleh kumpulan koir Academy of St. Martin in the Fields.

Versi penuh lagu tersebut yang dirakamkan mempunyai durasi sepanjang 3 minit keseluruhannya, mula digunakan dalam semua perlawanan UEFA Champions League dimainkan semasa kedua-dua pasukan turun ke padang.

Montaj awal dan akhir perlawanan turut sama memainkan lagu tersebut dalam versi lebih pendek, yang sehingga kini menjadi identiti ikonik kejohanan berprestij tersebut.

Apa sebenarnya yang dinyanyikan?

nota muzik lagu tema champions league uefa

Sudah berpuluh tahun lamanya kejohanan UEFA Champions League dianjurkan. Pasti ramai di antara kita di Malaysia ini yang cuba-cuba untuk turut sama menyanyikan lagu tersebut - walau sebenarnya sepatah apa pun kita tak tahu maknanya.

Apatah lagi lagu tersebut yang dinyanyikan dalam bentuk koir, mempunyai kaedah sebutan yang agak sukar difahami telinga. Lirik rasminya adalah :

Ce sont les meilleures équipes
Es sind die allerbesten Mannschaften
The main event
Die Meister
Die Besten
Les grandes équipes
The champions
Une grande réunion
Eine grosse sportliche Veranstaltung
The main event
Die Meister
Die Besten
Les grandes équipes
The champions
Ils sont les meilleurs
Sie sind die Besten
These are the champions
Die Meister
Die Besten
Les grandes équipes
The champions

Siapa antara anda pernah cuba menyanyikan lagu ini?

nyanyi lagu tema champions league

Sesuatu yang unik berkenaan lagu tema kejohanan ini adalah dalam versi rasminya, lagu ini sebenarnya tidak mempunyai tajuk tetap - tetapi sering dirujuk sebagai 'lagu tema Champions League' bagi memudahkan rujukan orang ramai.

Selain itu, UEFA juga menegaskan bahawa lagu tema kejohanan itu tidak boleh didagangkan atau pun dimuat turut daripada mana-mana laman web untuk koleksi peribadi orang awam.

Dalam acara-acara besar seperti pertandingan perlawanan akhir yang berlangsung sebagai penutup tirai kejohanan, UEFA gemar menjemput penyanyi-penyanyi opera terkenal seperti Andrea Bocelli untuk mempersembahkannya.

Bocelli setakat ini memegang rekod melakukan 3 penampilan menyanyikan lagu tri-bahasa ini pada perlawanan akhir musim 2009 di Rom, Itali, 2016 di Milan, Itali dan 2017 di Cardiff, Wales.

Penulis juga kadangkala cuba menyanyikan lagu ini dalam bilik air, tetapi liriknya pula diolah berdasarkan apa yang penulis dengar. Hanya selepas merujuk lirik asalnya, jelaslah apa yang penulis nyanyikan selama ini sangat-sangat-sangat-sangat jauh tersasar berbanding lirik sebenarnya.

Rujukan

UEFA Champions League anthem: lyrics, background, facts




Hakcipta iluminasi.com (2017)