Lebih dua dekad dahulu, liga perdana Inggeris menyaksikan penguasaan pasukan Manchester United, walaupun sekali-sekala cuba diacah oleh dua kelab kerdil dari London.

Beberapa tahun kebelakangan ini pula, kelab Manchester City mencuri tumpuan berjaya menjadi pasukan utama yang cuba dipintas kelab lain di England, selain berjaya menggantikan United sebagai kelab nombor satu di Manchester dalam pertandingan tempatan dan juga Eropah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda sejarah bagaimana perseteruan dua kelab ini bermula? 

Jiwa bola sepak Greater Manchester

old trafford penyokong bantah glazer

Greater Manchester merupakan sebuah daerah yang mempunyai akar umbi bola sepak cukup kukuh, diperkuatkan dengan 7 kelab berstatus profesional iaitu kedua-dua gergasi Manchester, Rochdale, Wigan Athletic, Bolton Wanderers, Oldham Athletic dan Salford City.

Selain itu, terdapat beratus lagi kelab bertaraf semi-profesional dan amatur yang bertanding dalam kesemua 12 divisyen di England, termasuklah liga-liga peringkat mukim seperti Liga Manchester dan Liga West Lancashire, yang duduk dalam hirarki terakhir liga bola sepak England.

Selain itu, Greater Manchester juga menempatkan kelab terbesar yang dimiliki sendiri sepenuhnya oleh kumpulan peminat iaitu FC United of Manchester, kelab yang baru ditubuhkan ekoran krisis selepas Manchester United dibeli oleh kumpulan ahli perniagaan Amerika Syarikat sekitar tahun 2005.

Hubungan antara kelab-kelab besar di Manchester dengan kelab-kelab bawahan terus disemai, mengekalkan tradisi mereka.

Generasi pemain terbaik pasukan Manchester United satu masa dahulu iaitu David Beckham, Nicky Butt, Ryan Giggs, adik-beradik kembar Neville dan Paul Scholes bersama-sama ahli perniagaan Singapura, Peter Lim menjadi pemilik kepada kelab Salford City.

Hasil usaha mereka, Salford City kini sudah naik ke divisyen ke 4 dalam hirarki liga di England serta berjaya memenangi piala pertama mereka dalam kejohanan English Football League pada musim 2019-2020.

Sejarah awal Manchester City

manchester city pasukan 1890

Perseteruan antara dua kelab utama di Manchester iaitu United dan City, mempunyai sejarah panjang.

Manchester City bermula sebagai sebuah kelab bola sepak yang diasaskan oleh ahli-ahli Gereja St. Mark, disebabkan oleh masalah yang dihadapi komuniti mereka ketika itu yang sering berdepan masalah pergaduhan sesama sendiri serta ketagihan arak.

Idea untuk menubuhkan kelab sukan dimulakan pada tahun 1875 oleh dua orang warden merangkap ahli gereja, yang mahu mencipta ruang aktiviti kepada anak-anak muda untuk mengerah tenaga mereka ke arah yang lebih baik.

Penubuhan kelab kriket pada tahun 1875 disusuli oleh sebuah kelab bola sepak yang dinamakan St. Mark West Gorton pada tahun 1880. Kelab ini menyertai beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan gereja lain, sebelum menyertai liga England secara rasmi ketika itu hanya dalam format dua divisyen.

St. Mark West Corton menukar namanya kelab Ardwick Association Football Clubb berjaya memenangi liga divisyen dua, melayakkan mereka menyertai liga divisyen satu pada tahun 1890 sebelum menukar nama kepada Manchester City pada tahun 1894.

Bagaimana Manchester United dimulakan?

manchester united 1908

Sekiranya Manchester City bermula sebagai sebuah pasukan gereja, Manchester United dimulakan sebagai Newton Health LYR Football Club, sebuah kelab yang ditubuhkan pekerja depot pengurusan keretapi Syarikat Lancashire dan Yorkshire (LYR).

Oleh kerana itu semua perlawanan awal Newton Health hanya melibatkan persaingan di antara mereka dengan kelab-kelab bola sepak lain yang ditubuhkan oleh pekerja-pekerja depot atau syarikat-syarikat keretapi lain.

Newton Health menjadi antara kelab terawal yang menyertai pembukaan format liga Football League. Mereka bermula dalam divisyen satu pada musim 1892-1893 ekoran status mereka sebagai pengasas, sebelum tersingkir ke divisyen dua, dua musim berikutnya.

Selepas berdepan skandal kewangan pada tahun 1902, Newton Health FC ditukarkan namanya kepada 'Manchester United' bagi melambangkan permulaan baru kelab itu.

Mereka berjaya mendapatkan sokongan dana empat orang ahli perniagaan tempatan bagi menyelesaikan masalah hutang yang dibebani, akibat salah guna kuasa pengurusan kelab.

Persaingan sihat sesama ahli komuniti

gereja st mark manchester

Perlawanan pertama melibatkan kedua-dua kelab besar ini berlaku pada 12 November 1881. Dalam perlawanan julung kali diadakan, Newton Health LYR FC berjaya menjinakkan St. Mark West Gorton 3 gol tanpa balas.

Namun pada ketika itu tiada perseteruan benar-benar terbungkam. 

Hanya selepas reputasi kedua-dua kelab mula meningkat dan Ardwick City (nama baru St. Mark West Gorton) mula dikenali sebagai antara kelab elit disegani era tersebut, barulah permusuhan sihat kedua-duanya mula digembar-gemburkan.

Kedua-duanya mendominasi kejohanan tempatan Piala Manchester yang dianjurkan untuk beberapa tahun sesama mereka, sebelum dua kelab itu memilih untuk menyertai liga divisyen yang baru dibuka.

Di sinilah perseteruan mereka mula kelihatan lebih jelas namun semangat datang dari komuniti yang sama masih utuh.

Pada tahun 1906, Manchester City terpaksa akur dengan keputusan mahkamah selepas 17 orang pemain mereka didapati bersalah menerima rasuah.

Kesemua pemain digantung seumur hidup daripada menyertai Manchester City, memaksa kesemua pemain mencari kelab baru.

Ketika itulah pengurusan Manchester United cepat-cepat menghubungi 4 orang pemain tonggak utama City iaitu bintang Wales ketika itu Billy Meredith, penyerang dari Scotland bernama Sandy Turnbull, Herbert Burgess yang ketika itu dianggap pemain bek kiri terbaik liga di England dan penjaring terbanyak Manchester City bernama Jimmy Bannister.

Keempat-empat pemain ini menjadi asas utama kepada permulaan kejayaan kelab Manchester United, menjadi tonggak utama pasukan pertama layak dianggap terbaik dari segi kesebelasan dalam permulaan sejarah kelab gergasi tu.

Dalam musim pertama selepas penyertaan mereka, Manchester United memenangi 13 daripada 14 perlawanan, menjaringkan 48 gol dalam 14 perlawanan!

Sandy Thurnbull muncul penjaring terbanyak dengan 25 gol dalam musim tersebut dan United memenangi liga dengan sangat selesa, berkelebihan 8 mata.

Walau bagaimanapun, semangat asal-usul komuniti membuatkan amalan peminat bola sepak di Greater Manchester hadir tak kiralah untuk menyokong City dan United sebagai satu kebiasaan.

Situasi muafakat itu mula berubah selepas tamatnya perang dunia kedua.

Permulaan akar perseteruan yang dalam

denis law man utd city

Nasib United dan City naik turun dalam tempoh beberapa puluh tahun, selepas beberapa kali kedua-dua kelab tersingkir ke divisyen berbeza menyebabkan kedua-duanya jarang lagi bertemu.

United akhirnya muncul sebagai kuasa bola sepak Eropah pada dekad 50-an, sebelum insiden kapal terbang terhempas pada tahun 1958 membunuh ramai pemain utama mereka memaksa pembangunan semula kelab dilakukan.

Sentimen permusuhan antara keduanya mula benar-benar berakar umbi dalam satu perlawanan musim 1962/1963, ketika kedua-dua kelab bergelut dengan relegasi.

Hanya dipisahkan 1 mata, pemain legenda United yang juga bekas pemain City, Denis Law dijatuhkan dalam kotak penalti memaksa pengadil memberikan penalti kepada United, ketika skor 1-0 memihak kepada City.

Penyerang Manchester United, Albert Quixall menjaringkan penalti tersebut seterusnya mengikat kedudukan 1-1.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat, mengakibatkan Manchester United terselamat untuk kekal dalam liga divisyen satu sementara Manchester City pula tersingkir ke divisyen dua.

Mengambil iktibar daripada apa yang berlaku, Manchester City kembali mengukuhkan kelab mereka dengan melakukan pertukaran pengurusan pada tahun 1965, dengan matlamat untuk kembali ke divisyen satu; mereka memenangi liga divisyen dua musim tersebut.

Pada musim 1967-1968, Manchester City berjaya memenangi kejuaraan liga pada hari terakhir perlawanan merampas kejuaraan liga daripada juara bertahan Manchester United dengan perbezaan dua mata.

Walaupun dalam musim tersebut Manchester United bergelar kelab Inggeris pertama memenangi kejuaraan Piala Eropah, luka dinafikan untuk bergelar juara berganda oleh jiran sendiri merupakan satu tamparan hebat yang sukar diterima Manchester United.

Apatah lagi beberapa musim sebelum itu, Manchester City masih bermain dalam divisyen bawah.

Kini era Manchester United mengungguli takhta sudah berakhir, selepas persaraan pengurus legenda mereka Sir Alex Ferguson.

Manchester City pula tampak punya visi besar untuk memastikan mereka jauh meninggalkan jiran dan seteru utama mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)