Bulan Ramadan adalah bulan ke sembilan dalam kalendar Islam. Bulan ini adalah waktu di mana keseluruhan umat Islam yang cukup syarat, diwajibkan berpuasa menahan diri daripada makan dan minum serta mengelakkan perkara yang membatalkan puasa.
Ibadah ini sekiranya dilihat daripada perspektif orang bukan Muslim di Malaysia, pasti akan kelihatan sebagai satu ujian yang cukup menyeksa. Bagaimanapun, sebagai seorang Muslim yang dah menjalani berpuluh tahun ibadah puasa, penulis dapat katakan seksa berpuasa hanya seketika - mungkin sehari, dua atau tiga hari pertama.
BESARKAN TEKS A- A+
Lama-kelamaan bila badan dah mula stabil, puasa dah jadi sesuatu yang biasa. Nak cuba? Kenapa umat Islam berpuasa dan apa sejarah di sebalik ibadah puasa? Kenapa hanya pada bulan Ramadan sahaja? Jom kita tengok jawapan kepada persoalan yang ada.
Apa itu puasa?
Puasa adalah satu ibadah di mana seorang Muslim yang biasanya sudah akil dan baligh, perlu mengelakkan makan dan minum dari waktu fajar sehinggalah terbenamnya matahari, pada waktu maghrib. Tujuan berpuasa ini ada banyak sebenarnya, boleh dikaitkan dengan sains dan spiritualiti.
Puasa dikatakan satu tabiat yang dapat melindungi sistem pencernaan kita, melalui waktu rehat yang diberikan. Selain daripada itu, puasa juga dapat menurunkan berat badan serta memberikan kesegaran pada badan. Bagi mereka yang jadi lebih besar pada bulan Ramadan ni, penulis tak nak komen apa-apalah. Mungkin dia banyak sangat makan masa berbuka.
Daripada segi rohaninya, puasa memperkuatkan jiwa kita menahan bermacam godaan, khasnya godaan air sejuk berais yang sangat menyegarkan. Bagi perokok ini lah waktu terbaik untuk berhenti, kerana ketika inilah mental perokok berada dalam keadaan terkuat untuk cuba berhenti. Insentifnya ada.
Kenapa dalam bulan Ramadan?
Bulan Ramadan adalah bulan ke sembilan dalam kalendar Hijrah dan tidak selari dengan kalendar Masihi yang kita gunakan - jadi tarikh bulan Ramadan ini akan berubah-ubah setiap tahun. Berikutan jumlah hari yang berbeza, kebiasaannya bulan Ramadan akan berganjak ke belakang sebanyak 11 hari setiap tahun berbanding kalendar Masihi.
Apa maknanya Ramadan? Ramadan bermakna cuaca panas atau suasana kepanasan. Jadi Ramadan bermakna bulan yang panas.
Perintah Allah swt. dalam mewajibkan umat Islam berpuasa ada disebutkan beberapa kali dalam Kitab al-Quran. Antaranya dalam surah al-Baqarah ayat 183 dan 185 yang secara jelas menyebut;
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa” (QS. Al Baqarah: 183)
“Bulan Ramadhan adalah bulan bulan diturunkannya Al Qur’an. Al Quran adalah petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)” (QS. Al Baqarah: 185)
Selain daripada itu, ada beberapa hadis yang menyokong kewajipan ibadah puasa dalam bulan Ramadan seperti hadis : Daripada Abu Hurairah RA lagi bahawa Rasulullah SAW bersabda : Apabila sampai bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga semua dibuka, pintu-pintu neraka pula ditutup dan diikat serta dibelenggu syaitan dan iblis. (Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sejarah ibadah puasa
Umat Islam percaya al-Quran diwahyukan buat kali pertama semasa bulan Ramadan, sehingga bulan Ramadan dianggap sebagai bulan paling mulia di sisi umat Islam. Peristiwa laila tul qadar yang menjadi titik tolak permulaan Islam menjadi salah satu hari dalam bulan Ramadan yang paling bersejarah.
Walaupun demikian, sebelum diangkat Nabi Muhammad saw. sebagai Rasul terakhir, orang Muslim sebenarnya sudahpun melaksanakan ibadah berpuasa ini cuma kaedahnya berbeza, merujuk kepada kitab Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru yang ada.
Kami sudahpun menulis sebuah artikel berkenaan sejarah ini pada tahun 2017, namun ringkasannya kaum Nasrani mengamalkan ibadah puasa selama 40 hari, bukan sebulan. Sementara orang Yahudi pula berpuasa dengan cara yang agak keras, berpuasa dengan berbaring atas pasir sambil memohon maaf ke atas segala kesalahan yang pernah berlaku.
Nabi Muhammad sendiri tidak mengamalkan ibadah puasa pada bulan Ramadan, sebelum turunnya wahyu yang mewajibkan ibadah tersebut. Puasa Nabi Muhammad hanya berlangsung setiap 10 Muharram (salah satu bulan kalendar Hijrah) sempena mengikuti ibadah serupa yang diamalkan Nabi Musa as. sebelum itu.
Selepas menerima wahyu, Nabi Muhammad saw. dan seluruh umat Islam memulakan ibadah puasa kali pertama dalam tempoh sebulan Ramadan pada tahun kedua kalendar Hijrah, menggantikan ibadah puasa yang diamalkan sebelum itu yang dikenali sebagai puasa Asyura.