Kemasukan pendatang luar ke sesebuah negara membawa reaksi berbeza-beza dikalangan individu dalam sesebuah masyarakat.

Ada pihak merasakan kedatangan masyarakat luar dalam jumlah tertentu sebagai sesuatu perkara yang normal, manakala ada yang melihat situasi itu sebagai sesuatu ancaman kepada masyarakat setempat - dari segi ekonomi, pekerjaan dan juga politik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adakah anda seorang yang menyokong atau membangkang kedatangan pendatang luar ke negara kita? Tahukah anda negara manakah penduduk asalnya senantiasa lebih rendah berbanding dengan kumpulan migran yang hadir ke negara mereka?

Peratusan populasi migran tertinggi di dunia

pekerja asing uae

Sekiranya anda semak statistik, negara yang mempunyai peratusan migran tertinggi di dunia adalah Vatican City. Kesemua penduduk di situ dianggap pendatang. Ini disebabkan oleh syarat kewarganegaraan unik negara tersebut yang hanya diberikan berdasarkan kepada kedatangan individu ke situ, bukan disebabkan oleh faktor negara kelahiran seperti negara-negara lain.

Oleh kerana itu, kami meletakkan Vatican City dalam kategori berbeza. Apakah status migran? Untuk melayakkan seseorang bergelar migran, secara teknikalnya dia perlulah menetap, tinggal dan bekerja sebagai individu bukan kelahirannya. Apabila seseorang mula menjadi seorang warganegara penuh negara angkatnya itu - secara automatik dia tidak lagi dikategorikan sebagai migran.

Negara paling tinggi di dunia menerima kemasukan migran ke negara mereka adalah Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di mana daripada keseluruhan 9.6 juta penduduk, hanya 1.6 juta penduduk adalah penduduk asal negara itu atau hanya 17% daripada keseluruhan populasi mereka.

Isu ini kerap kali dibangkitkan di kalangan pemimpin kerajaan UAE sendiri berikutan kebimbangan mereka, namun kebergantungan industri minyak negara itu kepada kemasukan pekerja luar, menyebabkan ketidak seimbangan ini semakin lama semakin meruncing - dibimbangi bakal menjadi ancaman kepada penduduk setempat serta kerajaan.

Kedatangan migran telah bermula di UAE sejak tahun 1973 apabila mereka membenarkan kemasukan besar-besar pekerja luar. Ketika ini, 90% daripada keseluruhan migran yang ada di UAE datang daripada negara Bangladesh, India dan Pakistan.

Lebih mudah jumpa warganegara luar di UAE berbanding warga UAE sendiri.

Negara lain yang mempunyai populasi migran tinggi

kumpulan migran di qatar

Jiran terdekat UAE, Qatar turut sama mengalami situasi serupa - mempunyai populasi migran yang jauh melebihi penduduk tempatan dengan kadar 73.8% keseluruhannya daripada 2.6 juta penduduk.

Kemasukan pekerja luar ke Qatar bermula pada dekad 1950-an namun mula menampakkan pola ketidak seimbangan sekitar tahun 1970-an. Pada era tersebut, jumlah migran di negara kecil itu mula merangkumi 58% daripada keseluruhan populasi 160,000 penduduk Qatar.

Bagi mengawal situasi ini, kerajaan Qatar memperkenalkan undang-undang kewarganegaraan yang sangat ketat bagi menganugerahkan kerakyatan pada tahun 2005.

Seorang individu yang mahu memohon kerakyatan perlu tinggal selama 25 tahun di Qatar dan hanya dibenarkan keluar tidak lebih 2 bulan setiap tahun, mempunyai pendapatan yang baik, direkodkan tidak pernah melakukan jenayah serta mampu bertutur bahasa Arab dengan baik - barulah melayakkan mereka mendapatkan kewarganegaraan negara tersebut.

Setiap tahun, hanya 50 orang luar sahaja diberikan status kewarganegaraan negara tersebut.

Selain UAE dan Qatar, 4 lagi negara yang mempunyai peratusan migran tertinggi dalam populasi mereka adalah Kuwait (70% daripada populasi), Monaco (64.2%), Andorra (56.9%) dan Bahrain (54.6%).

Kami memilih untuk tidak menyenaraikan wilayah-wilayah jajahan seperti American Samoa, Caribbean Netherlands, Macau atau Kepulauan Falklands - disebabkan oleh status negaranya yang berbeza serta tertakluk di bawah sistem jajahan yang unik.

Bagaimana dengan negara di benua Asia?

pekerja di singapura

Di Asia, negara yang mempunyai peratusan jumlah populasi migran tertinggi adalah jiran kita iaitu Singapura. Negara republik itu mengalami kenaikan kemasukan migran mendadak dalam tempoh 30 tahun sebelum ini, daripada 24% pada tahun 1990 kepada 37% pada tahun 2019.

Siapakah yang membentuk kumpulan pendatang paling ramai di Singapura?

Tak lain dan tak bukan adalah warganegara Malaysia yang membentuk anggaran hampir 1 juta orang daripada jumlah keseluruhan populasi migran di sana.

Rakyat kita merangkumi 44% jumlah kumpulan migran di sana, jauh melebihi warga China (18%) dan Indonesia (6.4%). Selebihnya adalah kumpulan pendatang dari India dan Pakistan. Majoriti migran Malaysia yang memilih Singapura sebagai tempat tinggal mereka dilaporkan datang daripada komuniti kaum Cina.

Negara kecil Brunei Darussalam juga mempunyai kumpulan populasi migran yang signifikan, merangkumi hampir 26.7% daripada keseluruhan populasi.

Kerajaan Brunei pada tahun 2018 melaporkan jumlah keseluruhan populasi mereka adalah 442,000 orang dengan pecahan 327,400 warganegara tempatan sementara selebihnya adalah kumpulan migran; 33,200 orang adalah penduduk tetap sementara 81,800 adalah penduduk sementara.

Bagaimana dengan Malaysia? Rekod rasmi peratusan migran di negara kita adalah 8.3% daripada keseluruhan populasi.

China pula merupakan antara negara paling kurang menerima kedatangan migran, hanya mempunyai 0.07% kemasukan migran ke negara besar itu - itupun selepas PBB mula mengambil kemasukan pekerja Hong Kong dan Macau ke negara itu sebagai sebahagian daripada kumpulan penduduk migran.




Hakcipta iluminasi.com (2017)