Isu-isu berkenaan hak-hak kemanusiaan sering kali menimbulkan polemik dalam masyarakat kita, apatah lagi apabila melibatkan undang-undang atau dasar berkaitan dengan agama.

Pengenalan undang-undang yang digubal masyarakat antarabangsa juga dilihat sebagai langkah mencabar kedaulatan undang-undang negara kita, sehingga mampu mempengaruhi segelintir individu dalam masyarakat agar turut sama terikut-ikut mahu melihat pengaruh barat diamalkan sepenuhnya di negara kita - atas tuntutan hak-hak kemanusiaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Undang-undang negara kita seringkali dikritik bersifat tidak toleran dan sempit, tetapi elemen manakah sebenarnya yang menjadi sasaran untuk dikenakan perubahan? Berikut adalah 5 isu masyarakat antarabangsa berkaitan undang-undang negara kita yang dikatakan tidak adil dari segi kebebasan beragama.

1. Kebebasan menukar agama dan kepercayaan

buang agama daripada kad pengenalan

Dalam artikel 18 Deklarasi Hak Universal Asasi Manusia atau UDHR, disebutkan bahawa setiap individu yang hidup patut mempunyai kebebasan dalam memilih kepercayaan beragama, tanpa sebarang syarat atau peraturan dikenakan ke atasnya. Undang-undang di negara kita pula, khasnya yang berkaitan dengan Islam melarang malahan menghukum mana-mana individu yang didapati ingin keluar daripada Islam.

Tindakan Jabatan Agama Islam melakukan langkah-langkah pemulihan dan rehabilitasi terhadap mana-mana individu yang ingin meninggalkan Islam, dikritik sebagai langkah yang bertentangan hak asasi manusia dalam piagama ICCPR dan ICERD.

2. Kebebasan mengamalkan mana-mana kepercayaan secara terbuka

kebebasan beragama iktiraf syiah

Disebutkan juga dalam artikel 18 (1) ICCPR, setiap individu perlu diberikan hak sama rata dalam mengamalkan sebarang jenis kepercayaan - tak kiralah dalam bentuk pemikiran atau amalan secara terbuka, dilakukan dalam bentuk individu atau komuniti tanpa sebarang halangan boleh dilakukan.

Deklarasi hak asasi manusia ICCPR menggariskan bahawa amalan, ritual, upacara dan ceramah-ceramah pengajaran sebarang bentuk agama atau kepercayaan - perlu dibenarkan. Pembinaan rumah-rumah ibadat juga tidak boleh disekat dengan pembinaan atau tayangan simbol-simbol yang mewakili kepercayaan berbeza ini juga perlu diberikan hak sama rata.

3. Menidakkan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi

masjid putrajaya simbol islam

Salah satu perkara yang kerap kali dipersoalkan berkenaan perlembagaan negara kita dalam artikel 3 (1) yang menyatakan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, dengan kebebasan beragama diberikan kepada seluruh persekutuan dalam cara aman dan harmoni.

Berdasarkan kepada deklarasi ICCPR, kewujudan undang-undang atau perlembagaan yang meletakkan satu agama sebagai agama rasmi tidak berlawanan dengan deklarasi tersebut - namun isu yang sering dibangkitkan adalah; adakah dengan wujudnya agama rasmi iaitu Islam, akan menyebabkan wujudnya segregasi antara hak penganut Islam dan yang bukan Islam?

4. Hak ibu bapa/mahkamah syariah ke atas perkahwinan bawah umur

kanak kanak kahwin selatan thai

Dianggap sebagai salah satu masalah paling penting yang perlu diperbetulkan di negara kita, masyarakat antarabangsa melihat kewujudan sistem mahkamah syariah yang mempunyai kuasa dalam membenarkan perkahwinan bawah umur berlangsung, sebagai satu perkara yang tidak wajar.

Di negara kita, undang-undang sivil meletakkan larangan ke atas sebarang perkahwinan melibatkan individu di bawah usia 18 tahun. Bagaimanapun, sistem syariah yang turut sama diamalkan membolehkan perkahwinan berlaku walaupun usia pengantin belum mencecah 16 tahun bagi perempuan asalkan mendapat kelulusan hakim mahkamah syariah, selepas pertimbangan diteliti dan diperiksa situasinya.

5. Pertukaran agama atas persetujuan satu pihak

kes indira malaysia murtad islam

Isu ini kerap menimbulkan kontroversi kerana selalunya melibatkan ibu bapa dan hubungan mereka dengan anak-anak yang belum berusia 18 tahun. Setakat ini undang-undang negara kita masih membenarkan ibu atau bapa menukarkan agama anak mereka kepada Islam, tanpa perlu mendapatkan persetujuan secara bersama.

Perkara ini dikatakan tidak bersifat adil kerana gagal mengambil kira pandangan kedua-dua pihak yang hak, sama ada ibu atau bapa. Situasi di negara kita dilihat agak kompleks berikutan undang-undang yang seringkali dikritik 'memenangkan Islam', di mana seorang ibu atau bapa sekiranya memeluk Islam; dibenarkan untuk menukarkan agama anak mereka turut sama Islam secara rasmi. Pengkritik menyifatkan ketidak adilan berlaku kerana jika perkara sebaliknya pula berlaku, kes seperti itu tidak dinilai daripada perspektif serupa.

6. Paksaan amalan agama pada anak-anak

paksaan ibu bapa isu agama anak

Konvensyen Hak Kanak-Kanak 1995 dipersetujui oleh negara kita pada tahun 1995, namun sehingga ke hari ini desakan supaya kita bersetuju sepenuhnya dengan kandungan konvensyen tersebut terus didengari. Ini kerana Malaysia dilihat masih bersikap tradisional, tidak membenarkan kanak-kanak memilih sendiri agama kepercayaan mereka secara bebas - tanpa campur tangan ibu bapa.

Berikutan beberapa pindaan yang diletakkan oleh kerajaan kita dalam memelihara kedudukan perlembagaan serta polisi negara sebagai usaha memelihara kedudukan Islam, tindakan ini dianggap bercanggah sepenuhnya dengan konvensyen yang sudah dipersetujui. Jadi ibu bapa Malaysia sepatutnya tidak memaksa anak menuruti agama anutan mereka, sebaliknya hanya bertindak sebagai pendorong supaya anak mahu memeluk dan mewarisi agama ibu ayahnya.

7. Kebebasan untuk menyebarkan agama pada sesiapa saja

penyebaran bible pelajar sekolah pulau pinang

Berikutan daripada kewujudan artikel-artikel yang memberikan kebebasan beragama pada setiap individu - kebebasan untuk menyebarkan agama juga diletakkan sebagai satu hak yang tidak boleh dihalang di negara kita; sama ada melalui usaha meyakinkan orang lain tentang agama tertentu atau melalui ceramah-ceramah yang dianjurkan tanpa ada perlindungan atau keistimewaan diletak pada mana-mana kategori agama.

Oleh sebab itulah undang-undang Malaysia yang menjadikan penyebaran agama lain kepada individu Muslim sebagai satu kesalahan, dikatakan perlu dimansuhkan. Antara negeri yang dikritik agak ketat melaksanakan undang-undang ini adalah Selangor dan Terengganu. Undang-undang jenayah syariah Akta 1997 juga mewartakan bahawa mana-mana individu yang didapati menyebarkan ajaran mereka kepada seorang Muslim, boleh didenda RM3,000 atau hukuman 2 tahun penjara.

Berikutan kewujudan syarat ini, negara kita terus menjadi sasaran kerana terus berkeras, tidak meletakkan kebebasan beragama dalam bentuk sama rata terhadap semua dengan banyak keistimewaan dan perlindungan diberikan pada penganut agama Islam, mewakili masyarakat Muslim.

Rujukan

Challenges to Freedom of Religion or Belief in Malaysia (fail PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)