Ukraine ketika artikel ini ditulis, sedang berhadapan pencerobohan tentera Russia disebabkan tindak balas kerajaan Russia mahu menangkis ancaman kemungkinan penyertaan Ukraine ke dalam pakatan NATO.
Dalam aspek hubungan negara itu dengan kita, Ukraine bukanlah nama yang kerap meniti di bibir ramai ahli masyarakat kita.
Hanya ketika tragedi penjatuhan kapal terbang milik Syarikat Penerbangan Malaysia MH17, nama Ukraine mula menjadi sebutan kita.
BESARKAN TEKS A- A+
Dari segi kepentingan ekonomi, Ukraine juga bukanlah salah satu negara rakan dagang utama kita. Tetapi tidak ramai menyedari, untuk tempoh beberapa tahun kebelakangan jumlah eksport Ukraine ke negara kita dan sebaliknya mengalami peningkatan konsisten.
Pentingkah Ukraine kepada sistem ekonomi masyarakat kita dan adakah konflik yang sedang melanda mereka, bakal memberikan kesan kepada kita?
Ukraine dan Malaysia - rakan dagang yang mesra
Berdasarkan rekod sehingga tahun 2019, Ukraine dan Malaysia telah mempunyai hubungan yang baik dalam aspek ekonomi.
Kita secara diplomatik mengiktiraf kewujudan negara Ukraine pada tanggal 3 Mac tahun 1992, selepas kemerdekaan negara itu yang dicapai pada 24 Ogos 1991 ekoran peristiwa kejatuhan Kesatuan Soviet.
Kepentingan kerjasama ekonomi kedua-dua buah negara berada dalam landasan positif, berikutan peningkatan nilai import dan eksport yang berlaku di antara kedua-duanya.
Secara purata dalam tempoh 24 tahun, nilai eksport Ukraine ke negara kita meningkat pada kadar 8.57%, daripada USD30.5 juta pada tahun 1995 naik ke USD220 juta pada tahun 2019.
Perkembangan positif ini turut dirasai pengeluar tempatan kita. Nilai eksport produk Malaysia ke Ukraine berkembang daripada USD5.5 juta pada tahun 1995 kepada USD118 juta pada tahun 2019.
Statistik ini menunjukkan walaupun angkanya kecil, kita dan Ukraine sebenarnya sedang berkembang kerjasamanya.
Apakah produk keluaran Ukraine yang diimport ke Malaysia?
Tahukah anda apakah kekuatan utama ekonomi Ukraine?
Ukraine (sebelum diceroboh) adalah negara yang menguasai 70% penghasilan gandum, kekacang, bertih dan jagung untuk pasaran dunia.
Hubungan ekonomi di antara Ukraine dan Malaysia mencerminkan situasi serupa.
Eksport utama Ukraine ke negara kita adalah gandum dan minyak berasaskan biji benih seperti minyak jagung dan bunga matahari. 47% daripada minyak bunga matahari yang ada dalam pasaran kita datangnya dari Ukraine.
Selain itu Ukraine juga menjadi antara pengeksport utama bahan besi pelbagai bentuk ke Malaysia.
Di sebelah Malaysia, kita yang kaya dengan hasil sawit dan getah menjadikan pasaran Ukraine sebagai sasaran jualan minyak sawit, barangan berasaskan getah serta minyak sayuran.
Selain itu, Ukraine juga menjadi antara rakan dagang penting industri pembuatan elektrik dan elektronik kita, menjadi antara pembeli terbesar peralatan seperti pemanas udara dan mesin pembentukan kaca.
Bagaimana pencerobohan Russia ke atas Ukraine menjejaskan Malaysia?
Berdasarkan hubungan positif antara kedua-dua negara yang terjalin, sudah pastilah apa yang berlaku di Ukraine ketika ini akan memberikan kesan ke atas kita.
Duta Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechytaylo telah pun melakukan gesaan agar kerajaan kita 'memperjelaskan' pandangan Malaysia berkenaan isu pencerobohan Russia pada 25 Februari 2022.
Namun Malaysia kekal dengan pandangan sama seperti selalu - tetap mengambil kedudukan neutral, tidak menyatakan kecaman atau sokongan kepada mana-mana pihak; menggesa agar pertikaian yang berlaku di antara Ukraine dan Russia diselesaikan secara baik melalui meja rundingan.
Pandangan kita berbeza dengan pandangan jiran-jiran kita seperti Indonesia dan Singapura, yang terbuka mengecam tindakan didalangi Presiden Russia, Vladimir Putin.
Tetapi apa yang berlaku tidak mengejutkan jika dinilai dari aspek ekonomi.
Hubungan ekonomi antara kita dan Russia jauh lebih besar nilai keseluruhannya jika dibandingkan dengan Ukraine - melibatkan USD1.16 billion nilai jumlah eksport Malaysia ke negara terbesar dunia itu.
Russia juga antara antara negara pembekal bahan petroliam ke negara kita, yang dieksport dalam bentuk petroliam bertapis, tidak bertapis dan dalam bentuk minyak tar.
Beberapa pihak meramalkan akibat peperangan yang sedang berlaku, kita di Malaysia akan berdepan kenaikan harga ayam dalam tempoh beberapa bulan, ekoran kekurangan bekalan bahan makanan ayam yang diramal terjejas pengeluarannya.
Nasihat kami, selagi mana Russia terus mengganas di Ukraine, carilah alternatif lain sekiranya anda penggemar ayam goreng tepung macam penulis.
Rujukan
OEC Malaysia Ukraine Statistics
Ukraine maintains momentum of its bilateral trade with Malaysia despite COVID-19