Apabila dikatakan bandar tinggalan, pastinya kita akan membayangkan keadaan bangunan yang usang, tingkap yang pecah, lantai kayu yang mereput, kawasan yang bersepah dan sebagainya. Namun, situasi berlainan yang dapat dilihat di Kitsault, sebuah bandar kecil di bahagian pantai utara British Columbia, Kanada.

Apabila anda menjejakkan kaki ke sini, keadaannya begitu aman sekali dan kawasan sekelilingnya kelihatan kemas seperti dijaga begitu rapi. Bukan sahaja rumah, tetapi semua bangunan yang ada disini termasuklah kedai, restoran, pusat beli-belah, bank, kelab malam dan panggung wayang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada waktu malam pula, lampu-lampu jalan juga masih dihidupkan. Selain itu, pokok-pokok bunga di tepi-tepi jalan juga digaga rapi dan rumput di kawasan ini juga akan dipotong. Persoalannya, apakah yang membuatkan bandar ini ditinggalkan?

Sejarah kewujudan bandar Kitsault

bandar sunyi 837

Mengikut rekod, bandar ini mula kosong sejak tahun 1982 lagi. Bandar Kitsault terletak berhampiran dengan sempadan Alaska dan terletak kira-kira 115 km daripada bandar terdekat iaitu Terrace.

Kawasan penempatan ini wujud pada tahun 1979 yang terdiri daripada komuniti pekerja yang bekerja sebagai pelombong. Pada ketika itu, perlombongan molybdenum begitu pesat sehingga mendorong orang daripada luar untuk datang bekerja disini.

Molybdenum merupakan bahan galian yang berfungsi untuk memberi kekuatan dan menghalang hakisan pada besi. Malangnya, langit tidak selalu cerah. Tidak lama selepas itu, pasaran dan permintaan terhadap molybdenum jatuh dengan mendadak sehingga memaksa 1200 penduduk yang tinggal disini berpindah keluar mencari kehidupan baru.

Tanah di kawasan British Columbia sememangnya kaya dengan pelbagai hasil galian. Selain molybdenum, antara bahan galian lain yang terdapat disini adalah perak, zink, plumbum dan tembaga. Aktiviti perlombongan ini turut membawa kepada kelahiran bandar-bandar baru yang lain seperti Alice Arm dan Anyox.

Kemelesetan ekonomi dan kesannya pada Kitsault

pasar raya

Molybdenum mulanya dilombong disini pada penghujung 60-an hingga awal 70-an. Namun, ianya dihentikan seketika bila keuntungannya semakin berkurangan. Namun, apabila rizab molybdenum semakin berkurangan di Alaska dan British Columbia, aktiviti perlombongan molybdenum kembali rancak memandangkan harganya kembali naik.

Pembinaan kawasan penempatan yang diberi nama Kitsault ini juga merupakan satu projek besar pada ketika itu. Tanah dengan keluasan ratusan hektar telah digazetkan untuk pembinaan Kitsault. Kapal-kapal besar telah datang menghantar bahan-bahan membina bangunan melalui kawasan perairan laut dalam berdekatan kawasan ini.

Bagi memudahkan akses penduduk, jalan berbatu telah dibina bagi menghubungkannya dengan bandar terdekatnya, Terrace. Pembinaan jalan juga tidak mudah memandangkan perlu merentasi kawasan gunung-ganang. Jurutera-jurutera dan pekerja buruh dibawa masuk untuk projek pembinaan ini dengan tawaran gaji yang lumayan.

Bagi membolehkan lebih ramai pekerja dibawa masuk, ratusan rumah bagi keluarga dan 7 blok apartmen dengan 7 ratus bilik telah dibina. Malah, hospital juga dibina dan segala kemudahan lain seperti pusat beli-belah, restoran, pejabat pos, kolam renang, perpustakaan dan pelbagai kemudahan lain turut dibina.

Kabel siaran televisyen dan telefon turut dipasang di bawah tanah. Malah, bandar ini turut mempunyai loji memproses sisa kumbahan dan sumber air yang sangat bersih. Dalam kata lain, ianya adalah bandar serba lengkap yang dibina untuk menarik lebih ramai pekerja datang bagi bekerja di lombong.

Malangnya, 18 bulan selepas keluarga pertama berpindah masuk ke kawasan ini, pasaran molybdenum merudum kerana kemelesetan ekonomi. Akibatnya, aktiviti perlombongan ditutup dan para pekerja ini sedikit demi sedikit mula meninggalkan Kitsault untuk memulakan kehidupan di kawasan baru.

Cita-cita untuk membangunkan semula Kitsault

krishnan suthanthiran

Pada 2005, seorang usahawan dari India, Krishnan Suthanthiran telah membeli bandar ini pada harga $7 juta dan memulakan proses membaik pulih bandar ini. Harga tersebut dianggap murah memandangkan bandar ini sudah lengkap dengan pelbagai kemudahan dan sudah mempunyai akses ke bandar berdekatan.

Sejak itu, jutawan ini telah melaburkan lebih $25 juta bagi usaha membaik pulih dan menambah baik kemudahan yang sedia ada. Puluhan pekerja dibawa masuk bagi menjaga kawasan ini termasuklah membaiki kerosakan, memotong rumput dan sebagainya.

Menurut beliau, pembelian  Kitsault dianggap sebagai sebuah pelaburan memandangkan terdapat desas-desus industri Liquefied Natural Gas (LNG) akan mula dibangunkan di British Columbia. Oleh itu, pembangunan semula Kitsault sememangnya bergantung sepenuhnya kepada kejayaan projek LNG itu kelak.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Global News
  3. National Post



Hakcipta iluminasi.com (2017)