Beberapa bulan lepas, Malaysia tiba-tiba gempar dengan kes pembuangan sisa toksik di sungai di Pasir Gudang. Akibat daripada pembuangan ini, berpuluh individu telah dimasukkan ke hospital akibat pelbagai komplikasi yang berpunca daripada sisa toksik yang dibuang oleh syarikat yang tidak bertanggungjawab ini.

Akibat daripada kes ini, sekolah-sekolah yang berdekatan dengan sungai-sungai yang terlibat terpaksa ditutup selama beberapa hari. Malah, kerajaan juga terpaksa membelanjakan jutaan ringgit bagi menguruskan sisa-sisa buangan kimia tersebut dan membersihkan kembali sungai-sungai yang terlibat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kes ini seharusnya menjadi pengajaran kepada kerajaan betapa pentingnya mempunyai penguatkuasaan yang berterusan dan jujur dalam menguruskan sisa buangan kimia dan sisa bahan terjadual ini.

Pembuangan sisa kimia secara tidak bertanggungjawab seperti ini pernah berlaku di kawasan lain, contohnya di sebuah bandar bernama Times Beach yang terletak di Missouri, Amerika Syarikat. Akibatnya, keseluruhan penduduk terpaksa mengosongkan rumah mereka dan berpindah keluar daripada bandar Times Beach.

Sejarah kelahiran bandar Times Beach

bandar times beach

Bandar Times Beach terletak di Missouri, Amerika Syarikat dan wujud daripada sebuah program pemasaran yang sangat pelik. Pada tahun 1925, sebuah akhbar bernama St. Louis Star-Times telah membeli tanah disini dan mula menjualnya dalam bentuk lot sebesar 20 kaki darab 100 kaki bagi setiap lot tanah.

Dengan hanya bayaran sebanyak $67.50 pada ketika itu yang bersamaan dengan $900 pada masa kini, pembeli boleh mendapat sebuah lot tanah dan langganan akhbar syarikat tersebut selama 6 bulan. Kesemua lot habis dijual namun kawasan ini tidak dibangunkan seperti yang diharapkan oleh syarikat ini.

Peristiwa Great Depression dan kekurangan minyak petrol ketika Perang Dunia Kedua menjadikan kawasan ini pilihan bagi keluarga daripada golongan rendah dan pertengahan untuk membina rumah. Sebanyak kira-kira 2000 orang tinggal di sini sehinggalah mereka dipaksa keluar pada tahun 1985 akibat kes pembuangan sisa kimia secara haram disini.

Masalah jalan yang terlalu berdebu

polis times beach

Masalah bermula akibat debu yang terlalu banyak dikawasan ini akibat jalan raya yang tidak berturap. Apabila lori dan kereka lalu, debu-debu ini akan berterbangan ke rumah-rumah dan kenderaan penduduk disini. Perkara ini amat mengganggu kehidupan penduduk tempatan tapi malangnya mereka tidak mempunyai kewangan untuk menurap.

Oleh itu, mereka telah mengambil keputusan mengupah Russell Martin Bliss bagi mengatasi masalah ini. Beliau memiliki sebuah bisnes menguruskan sisa-sisa minyak dan mendakawa mempunyai solusinya sendiri bagi mengurangkan jumlah debu yang berterbangan di kawasan itu.

Pengurusan sisa kimia dioxin secara tidak bertanggungjawab

bahaya dioxin

Beliau akan menyembur sisa-sisa minyak terpakai di jalan-jalan di bandar ini untuk memerangkap debu-debu ini daripada berterbangan. Setiap semburan dikatakan mampu bertahan selama beberapa bulan. Penduduk tempatan kagum dengan solusinya ini dan mula mendapatkan khidmatnya untuk mengurangkan habuk dan debu di jalan berdekatan dengan rumah mereka.

Pada masa yang sama, Russell Martin Bliss baru sahaja mendapat kontrak daripada sebuah syarikat pembekal bahan kimia yang mahukannya menguruskan proses pembuangan sisa-sisa industri dan sisa terjadual daripada syarikat itu. Tanpa pengetahuannya, sisa kimia itu mengandungi sejenis bahan kimia yang sangat bertoksik dikenali sebagai dioxin.

Bagi memudahkannya melupuskan sisa-sisa kimia tersebut, beliau telah bertindak mencampurkan sisa minyak terpakai dan sisa kimia yang diterimanya itu. Campuran kedua bahan ini kemudian telah digunakan untuk menyembur jalan-jalan di sekitar Missouri termasuklah Times Beach bagi mengurangkan debu-debu di jalan.

Malangnya, suatu perkara pelik telah terjadi. Di ladang dimana beliau telah diupah untuk menyembur jalan, kuda, burung dan beberapa haiwan ternakan lain telah mati tidak lama selepas itu. Di sebuah lagi ladang di Moscow Mills, 62 ekor kuda mati. Ramai kanak-kanak mula jatuh sakit, sakit perut, cirit-birit dan sebagainya.

Kes-kes kematian yang mengejutkan ini telah mendapat perhatian kerajaan dan  pihak Centers for Disease Control (CDC) telah diarahkan untuk membuat kajian tanah di kawasan tersebut. Kajian yang dibuat menunjukkan kepekatan dioksin dalam tanah yang 100 kali ganda lebih tinggi daripada kadar yang dibenarkan untuk pendedahan kepada manusia.

Organisasi Environmental Protection Agency (EPA) dan CDC telah dapat mengenalpasti syarikat yang menghasilkan dioxin tersebut dan mengharamkannya serta merta. 10 tahun berikutnya, kerajaan terpaksa bekerja keras mengenalpasti lokasi-lokasi dimana bahan kimia ini telah dilupuskan secara haram dan mengkaji bahaya bahan kimia ini terhadap haiwan.

Arahan mengurangkan Times Beach

pencemaran kimia

Pada tahun 1982, sebuah dokumen sulit daripada EPA berkaitan pencemaran dioxin ini telah terbocor keluar kepada penduduk bandar Times Beach. Barulah penduduk sedar akan bahaya dioxin dan perkara ini telah menimbulkan kegusaran dan kemarahan penduduk tempatan.

Akibat tekanan menggunung daripada penduduk tempatan, akhirnya pada tahun 1983 pihak EPA mengumumkan bahawa bandar Times Beach tidak lagi sesuai didiami. Dua tahun kemudian, bandar ini berjaya dikosongkan sepenuhnya. Kerajaan telah membayar $33 juta sebagai pampasan kepada penduduk dan $200 juta untuk proses pembersihan yang hanya selesai pada tahun 1997.

Kini, kawasan Times Beach telah dijadikan sebagai sebuah taman sebesar 419 ekar. Terdapat sebuah jambatan bersejarah yang menyeberangi Sungai Meramec dan terdapat sebuah pusat pengunjung disini yang merupakan satu-satunya bangunan yang masih kekal berdiri di kawasan ini.

Kredit:

  1. Kosmo
  2. St. Louis Magazine
  3. Wikipedia
  4. Atlas Obscura



Hakcipta iluminasi.com (2017)