Di dalam media kita, kesan pandemik Covid-19 ke atas beban kewangan masyarakat - seringkali dibincangkan secara am.

Tahap pengangguran yang meningkat serta penutupan operasi perniagaan akibat ketiadaan urus niaga menyumbang kepada kemerosoton ekonomi di peringkat bawahan, yang akhirnya turut memberi kesan kepada ekonomi negara dalam skala besar.

Tetapi bagaimana pula kesannya pandemik ini kepada golongan miskin bandar? Inilah yang cuba dijawab Unicef dalam kajian yang dijalankan mereka, ke atas 500 keluarga yang tinggal di serta kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa yang mampu kita ketahui?

penduduk ppr terbeban pkp covid

Tempoh kawalan pergerakan diperketatkan yang berlaku selama beberapa bulan, memberikan kesan besar kepada sebahagian besar ahli masyarakat kita - walaupun hanya sebentar jangka hayatnya.

Impak kepada kemampuan kewangan keluarga-keluarga yang mendiami kawasan PPR sebenarnya sangat dirasai, selepas sebahagian besar antara mereka terjejas teruk akibat ketiadaan sumber kewangan - yang dilaporkan oleh Unicef hanya mula pulih sekitar bulan September 2020.

Beberapa statistik yang dikongsikan Unicef mampu membuka mata kita, kepada realiti hidup yang dilalui warga PPR.

Secara purata, setiap unit PPR yang ditemuramah mempunyai purata 5.7 penghuni, 2.3 daripadanya adalah kanak-kanak dan 28% daripada 500 keluarga, menempatkan tiga generasi anak beranak dalam satu unit.

74% daripada keluarga adalah berbangsa Melayu, 23% India dan 3% melibatkan kaum Cina.

Apa yang menyukarkan situasi penduduk PPR, 60% daripada keluarga yang ada mempunyai sekurang-kurangnya seorang individu yang mengalami masalah kecacatan atau pun penyakit kronik.

Ini merangkumi 16% daripada keseluruhan jumlah peserta dalam kajian. Secara langsung menyebabkan beban kewangan yang mereka hadapi bertambah, dalam memastikan kos rawatan dapat disediakan setiap bulan.

Apa kesan PKP kepada warga PPR?

ppr di tengah kota kuala lumpur

Sekiranya unjuran satu tahun diambil kira, impak berlangsungnya peraturan PKP kepada PPR sangat-sangat terasa.

Pendapatan purata isi rumah penduduk PPR menurun daripada RM2,777 kepada RM2,144 semasa PKP berlangsung, sebelum meningkat kembali kepada RM2,587 pada September 2020.

Majoritinya disebabkan oleh kehilangan pekerjaan, terpaksa menerima pemotongan gaji, pengurangan jam kerja atau bagi yang bekerja sendiri - tidak mampu menjalankan perniagaan seperti biasa.

Situasi ini menjadi lebih buruk kerana secara puratanya, majoriti warga PPR mempunyai pendapatan purata yang sedia rendah pada tahun 2019, dengan 36% mempunyai pendapatan bawah RM2,000 dan 25% pula di bawah paras RM3,000.

Kelompok penduduk PPR yang mempunyai pendapatan isi rumah purata di bawah RM4,999 ke bawah, merupakan kumpulan paling terjejas teruk disebabkan PKP.

Sementara itu bagi kumpulan penduduk PPR yang mempunyai purata pendapatan isi rumah RM5,000 ke atas, pengaruh pelaksanaan PKP ke atas mereka nyata kurang memberikan impak kerana jelas, pendapatan mereka kekal stabil.

Kumpulan ini hanya merangkumi 5% daripada keseluruhan isi rumah yang dijadikan kajian.

Kini anda sudah tahu di kalangan warga PPR ada sebenarnya keluarga yang berpendapatan tinggi, namun seperti kami nyatakan di bahagian sebelum ini, pasti ada kekangan yang menyukarkan kemampuan kewangan mereka.

Menjadi mangsa keadaan

lawatan pm kerumah ppr

Disebabkan oleh kemampuan kewangan yang nyata sempit, majoriti penduduk PPR langsung tidak mempunyai sebarang bentuk simpanan kewangan.

68% keluarga PPR langsung tiada simpanan untuk bekalan dan angka ini melonjak ke tahap 93% apabila melibatkan keluarga PPR yang mempunyai masalah kesihatan atau kurang upaya.

Kesempitan ini bagaimanapun seolah tiada jalan keluar bagi mereka, disebabkan oleh beberapa faktor luaran yang seakan mahu terus menghimpit.

45% daripada ketua isi rumah keluarga PPR bekerja dalam syarikat yang tidak menyediakan perlindungan SOCSO atau ketiadaan caruman KWSP, sementara 46% pula tidak mempunyai kedua-duanya.

Purata simpanan warga PPR juga sangat rendah. Mana-mana keluarga yang berjaya menyimpan hanya mampu menyimpan purata RM1,124 bagi tujuan kecemasan. Seandainya ada individu berpenyakit kritikal atau hilang upaya, angka itu menurun kepada RM435.

Agak jelas bagaimana tertekannya hidup mereka kan?

Bagaimana warga miskin bandar bertahan?

penduduk ppr hadapi perintah kawalan pergerakan

Apabila sudah diletakkan dalam situasi di mana tiada jalan keluar, satu-satunya cara untuk memperbaiki situasi buruk yang sedang melanda - adalah dengan mengadaptasi cara hidup.

Antara kaedah yang diamalkan warga PPR Lembah Klang adalah dengan menjual sendiri barangan peribadi untuk digadaikan selain meminjam daripada kawan atau sanak saudara. Bagi sesetengah keluarga, kaedah menangguhkan pembayaran sewa rumah dan bil-bil utiliti terpaksa dilakukan.

Bagaimanapun majoriti antara mereka mengamalkan amalan berjimat cermat dalam perihal perbelanjaan harian bagi menampung pengurangan pendapatan yang terjadi.

Walau demikian apa yang mengarukan hati penulis hasil laporan ini, adalah bagaimana majoriti penduduk PPR sedar kepentingan pendidikan anak-anak mereka sebagai usaha utama memperbaiki kedudukan kewangan keluarga.

76% penduduk PPR Lembah Klang mahu anak mereka kembali meneruskan persekolahan seperti biasa, kerana bagi mereka - persekolahan berformat digital agak sukar untuk direalisasikan.

28% tidak mempunyai sebarang bentuk peranti komputer, 33% tidak mempunyai capaian internet dan 47% isi rumah mengakui keadaan rumah yang sempit, menyukarkan anak-anak mereka belajar dengan kondusif.

Hasil kajian ini secara jelas berjaya membuktikan kesan buruk pelaksanaan PKP khasnya pada peringkat PKPD di seluruh negara, memberikan impak yang agak ekstrim kepada majoriti penduduk PPR.

Oleh sebab itulah penulis kadangkala agak terkecil hati juga apabila melihat banyak pihak sewenang-wenangnya bangkit mendesak kerajaan untuk melangsungkan kembali PKPD seluruh negara dalam menangani wabak Covid-19.

Kesannya mungkin tidak dirasai anda, tetapi bagi warga kawasan PPR di Lembah Klang yang berdepan bermacam masalah; sudah tentulah lain pula kisahnya.

Rujukan

Families on the Edge (Part 2) Unicef (pautan PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)