Wuhan telah terkandas akibat koronavirus dan berada dalam status "lockdown" sejak 23 Januari untuk cuba melawan jangkitan. Kebanyakan kedai dan perniagaan ditutup, pengangkutan awam dihentikan dan orang dinasihatkan untuk tinggal di dalam rumah.

Seorang warga Wuhan, Jing berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pekerja sosial dan aktivis hak tinggal bersendirian. Untuk beberapa minggu, dia menulis diari yang kemudiannya dikongsikan dengan BBC.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Khamis, 23 Januari 2020 - Hari lockdown

lockdown di wuhan 2

Saya tak tahu apa saya perlu lakukan apabila saya bangun pagi dan tahu berkenaan dengan lockdown ini. Saya tak tahu apa maknanya, berapa lama dan apa persediaan yang perlu saya buat.

Terdapat banyak komen marah di media sosial di mana ramai pesakit yang tidak dapat dimasukkan ke hospital setelah didiagnosis disebabkan kekurangan tempat dan pesakit demam tidak dirawat dengan betul.

Semakin ramai yang memakai topeng muka. Rakan-rakan memberitahu saya untuk membeli dan menyimpan bekalan. Beras dan mi semuanya telah habis dijual.

Seorang lelaki sedang membeli garam dalam jumlah yang tersangat banyak dan seseorang bertanyakan kepadanya mengapa dia berbuat demikian. Lelaki itu menjawab, "Bagaimana jika lockdown ini berlangsung selama setahun?".

Saya pergi ke farmasi dan jumlah pembeli dihadkan. Topeng muka dan juga pembersih tangan beralkohol juga telah habis dijual.

Setelah menyimpan bekalan makanan, saya masih berada dalam keadaan terkejut. Kereta dan pejalan kaki semakin berkurangan, dan bandar di sini kelihatan seperti terhenti secara tiba-tiba.

Bilakah bandar ini akan kembali seperti biasa?

Jumaat, 24 Januari 2020 - Petang Tahun Baru yang sangat sepi

seorang lelaki melihat ke luar tingkap dari kediamannya di wuhan

Dunia sangat sepi dan senyap itu sangat menakutkan. Saya tinggal bersendirian, jadi saya hanya tahu ada orang lain di sekeliling saya daripada bunyi bising di koridor.

Saya ada banyak masa untuk fikirkan bagaimana untuk terus hidup. 

Saya tak ada sebarang sumber atau hubungan.

Salah satu sasaran saya adalah untuk tidak jatuh sakit, jadi saya terpaksa bersenam. Makanan juga sangat penting untuk terus hidup, jadi saya perlu tahu sama ada saya ada bekalan yang mencukupi.

Kerajaan tidak memberitahu berapa lama lockdown ini akan berlangsung dan apa yang kami perlu lakukan untuk terus hidup.

Orang ramai berkata bahawa ia mungkin berterusan sehingga bulan Mei.

presiden china xi jinping 865

Farmasi dan kedai runcit di bawah ditutup hari ini, tetapi masih agak lega kerana dapat melihat kurier menghantar makanan.

Mi di pasar raya telah habis dijual tetapi beras masih ada. Saya juga ke pasar hari ini dan membeli sayur saderi, telur dan beberapa yang lain.

Selepas pulang ke rumah, saya basuh semua pakaian saya dan mandi. Kebersihan diri sangat penting dan saya rasa saya basuh tangan 20 hingga 30 kali sehari.

Keluar dari rumah membuatkan saya berasa saya masih berhubung dengan dunia. Sangat sukar untuk saya bayangkan bagaimana warga emas tinggal bersendirian dan orang kurang upaya untuk menjalani semua ini.

Saya tak mahu masak kurang daripada bias akerana ia adalah malam terakhir tahun khinzir, yang mana sepatutnya menjadi hidangan perayaan. 

orang ramai membeli bekalan makanan

Ketika makan malam, saya membuat panggilan video dengan rakan-rakan saya dan apa yang kami bualkan hanyalah berkenaan dengan virus ini.

Sesetengah orang berada di bandar berdekatan Wuhan, ada yang tak mahu pulang kerana penyakit ini dan ada yang masih mahu berkumpul walaupun wabak sedang menular.

Seorang daripada rakan saya batuk ketika bercakap, dan yang lain bergurau menyuruh dia untuk meletakkan telefon.

Kami berbual selama 3 jam dan saya ingat saya dapat tidur dengan perasaan gembira. Tetapi apabila saya buka mata, saya terimbas ingatan dari beberapa hari lepas. Air mata mengalir. Saya rasa tidak berdaya, marah dan sedih.

Saya juga terfikir tentang kematian. Saya tak ada banyak penyesalan, kerana kerja saya sangat bermakna. Tetapi saya tak mahu hidup saya tamat.

Sabtu, 25 Januari 2020 - Tahun Baru Cina bersendirian

tahun baru cina yang suram di china

Hari ini adalah Tahun Baru Cina. Saya tak pernah minat untuk meraikan perayaan, tetapi kini tahun baru menjadi semakin tidak relevan.

Pagi ini saya terlihat seseorang bersin berdarah dan saya sangat takut. Otak saya dipenuhi dengan kebimbangan tentang penyakit. Saya tertanya-tanya sama ada saya perlu keluar atau tidak. Tapi saya tak demam dan selera makan juga agak baik, jadi saya keluar.

Saya memakai dua lapis topeng muka walaupun orang kata ia tidak perlu dan tak ada guna. Saya bimbang tentang topeng muka palsu yang berkualiti rendah, jadi dengan memakai dua lapis saya berasa lebih selamat.

Bandar masih sangat senyap. Sebuah kedai bunga masih dibuka dan pemiliknya meletakan beberapa bunga kekwa yang biasanya digunakan sebagai bunga pengebumian, di hadapan pintu. Tetapi saya tak tahu jika ia mempunyai maksud.

Di pasar raya, sayur habis dijual dan hampir semua mi serta dumpling juga habis. Hanya ada beberapa orang sahaja yang beratur.

Setiap kali saya ke pasar raya, saya mempunyai rasa untuk membeli dengan banyak. Jadi saya beli 2.5 kilogram beras walaupun masih ada 7 kilogram di rumah. Saya juga tak dapat untuk menahan diri daripada membeli ubi keledek, dumpling, sosej, kacang merah, kacang hijau dan telur masin.

simpan bekalan makanan kerana lockdown di wuhan

Saya langsung tak suka telur masin, tetapi saya akan berikan kepada rakan saya apabila lockdown ini berakhir.

Bekalan makanan saya cukup untuk sebulan dan cara saya membeli ini sangat gila. Tetapi dalam keadaan begini, saya tak boleh salahkah diri sendiri.

Saya berjalan-jalan di tepi sungai. 2 buah kedai snek masih dibukan dan orang berjalan-jalan bersama anjing mereka. Mungkin mereka juga tak mahu rasa terperangkap. 

Saya tak pernah berjalan di jalan tersebut sebelum ini dan dunia saya berasa seperti berkembang sedikit.

Ahad, 26 Januari 2020 - Menyuarakan pendapat anda

china tapis media sosial

Pada hari pertama lockdown, saya tak dapat menulis apa-apa tentangnya di media sosial kerana ditapis. Malah saya juga tak dapat tulis di WeChat. Penapisan Internet telah wujud lama dahulu di China, tetapi ia lebih kejam ketika ini.

Apabila hidup anda tunggang terbalik, membina semula kehidupan harian adalah sangat mencabar. Saya terus bersenam pada waktu pagi menggunakan aplikasi, tetapi saya tak dapat tumpukan perhatian kerana otak saya terganggu.

Saya keluar rumah lagi hari ini dan cuba mengira berapa orang yang saya jumpa. Dari rumah saya ke kedai mi berjarak 500 meter, saya bertembung dengan 8 orang.

Saya tak mahu balik rumah. Saya mahu mengembara lagi. Baru 2 bulan saya pindah ke Wuhan. Saya tak ada ramai kawan di sini dan saya tak begitu tahu tentang bandar ini.

Saya rasa saya jumpa 100 orang hari ini. Saya harus menyuarakan pendapat saya. Saya harap semua orang masih mempunyai harapan. Kawan-kawan, saya harap kita akan berjumpa dan berbual di masa akan datang.

Sekitar jam 8 malam saya terdengar seseorang menjerit, "Go Wuhan!" dari tingkap. Laungan beramai-ramai ini adalah satu bentuk untuk memperkasakan diri.

Selasa, 28 Januari 2020 - Akhirnya ada cahaya matahari

periksa suhu badan

Panik telah memisahkan orang ramai. Di kebanyakan bandar, orang ramai diwajibkan memakai topeng muka di tempat awam untuk mengawal wabak pneumonia. Tetapi ia sebenarnya boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa.

Sesetengah orang awam yang tidak memakai topeng muka dihalau dari pengangkutan awam. Kami tak tahu mengapa mereka tidak memakai topeng muka. Mungkin mereka tak mampu untuk membelinya atau mereka tidak tahu tentang notis yang dikeluarkan.

Tak kisahlah apa pun, hak mereka untuk keluar tak sepatutnya ditarik.

Dalam beberapa video online, pintu-pintu rumah orang yang mengkuarantin diri sendiri dimeterai. Orang dari wilayah Hubei di mana terletaknya Wuhan dihalau dari rumah mereka dan tiada tempat tinggal.

Tapi pada masa yang sama, sesetengah orang menawarkan tempat tinggal untuk penduduk Hubei.

topeng muka

Terdapat banyak cara kerajaan cuba bagi menggalakkan orang ramai untuk duduk di rumah. Ia perlu memastikan bahawa setiap orang awam mempunyai topeng muka yang mencukupi atau memberikan ganjaran wang tunai kepada mereka yang kekal di rumah.

Hari ini, akhirnya ada cahaya matahari, sama seperti mood saya. Saya nampak lebih ramai orang di kompleks saya dan terdapat beberapa pekerja komuniti.

Mereka melakukan pemeriksaan suhu kepada orang yang tidak tinggal di sini. Bukan mudah untuk percayakan orang atau bina hubungan dalam situasi lockdown. Bandar ini menjadi semakin teruk.

Di tengah-tengah kekalutan ini, saya terpaksa lebih berhati-hati. Kebimbangan saya tentang meneruskan hidup hilang secara perlahan-lahan. Berjalan jauh ke seluruh bandar hanyalah sia-sia jika saya tidak berhubungan dengan orang di sini.

Mengambil bahagian secara sosial adalah satu keperluan yang sangat penting. Semua orang perlu mencari peranan dalam masyarakat dan ia menjadikan kehidupan seseorang itu bermakna.

Di bandar yang sunyi sepi ini, saya harus mencari peranan saya.

Guo Jing juga menerbitkan sebahagian daripada diarinya di WeChat, dan berhubung dengan Grace Tsoi dari BBC. 

Rujukan:

1. Diari Koronavirus Wuhan: Tinggal Bersendirian Di Bandar Yang Semakin Sepi

2. The Guardian

3. Bangkok Post




Hakcipta iluminasi.com (2017)