richard verone berpakaian penjara

Richard James Verone merupakan seorang lelaki biasa yang berumur 59 tahun pada tahun 2011. Selepas kehilangan pekerjaannya sebagai seorang penghantar minuman Coca-Cola yang telah dilakukannya selama 17 tahun, kehidupan Richard berubah teruk ekoran hilang sumber pendapatan.

Dia cuba menampung kehidupan dengan bekerja sebagai seorang pemandu trak serta pekerja di kedai serbaneka, namun tahap kesihatannya yang semakin merudum membuatkan dia sukar mendapatkan pekerjaan tetap. Dia meneruskan hidupnya menggunakan wang simpanan yang semakin berkurang dan makan minumnya datang daripada bantuan setem makanan kelolaan kerajaan Amerika Syarikat.

Sebenarnya, sudah hampir 3 tahun Richard hidup menanggung seksa kesakitan bengkak tulang belakang pada 2 tempat. Kakinya yang sakit membuatkan dia tempang apabila berjalan. Dia tidak pernah cuba mendapatkan rawatan ekoran ketiadaan insurans perubatan dan kemampuan kewangan.

Sehinggalah wujud benjolan bengkak pada dadanya memaksa Richard mengambil tindakan mendapatkan rawatan. Sakit pada dadanya jauh lebih kuat berbanding kesakitan-kesakitan yang sedang dialami ketika itu, memerlukan Richard memikirkan apa cara yang boleh diambil.

Akhirnya dia memilih satu jalan yang dapat membantu dia mendapatkan rawatan - melakukan jenayah.

MERANCANG 'JENAYAH' TERANCANG

richard verone ditemubual

Beberapa hari sebelum melaksanakan rancangannya, Richard membayar sewa rumah terakhir beliau, mendermakan semua perabotnya dan berpindah ke sebuah hotel bajet. Pada 9 Jun 2011, Richard menghantar sepucuk surat kepada sebuah akhbar tempatan bernama Gaston Gazette, menjelaskan tindakan yang akan dia lakukan pada hari itu. Selesai urusan pos, Richard menahan sebuah teksi dan bergerak ke sebuah bank berdekatan.

Sampai di bank pada jam 1 tengahari, Richard mendekati salah sebuah kaunter yang dikawal oleh seorang wanita lalu menyerahkan sehelai kertas yang tertulis "ini adalah satu rompakan, tolong berikan saya 1 dollar." Selepas dihulurkan $1, Richard kemudiannya menjelaskan kepada pegawai wanita itu yang dia akan duduk di sofa dengan tenang, sementara menunggu ketibaan pihak polis.

Pegawai bank yang menerima mesej tersebut melakukan panggilan kepada pasukan keselamatan dalam keadaan cemas, sambil melihat Richard duduk di atas sofa. Sehinggakan selepas insiden itu selesai dan Richard ditangkap, wanita itu terpaksa dimasukkan ke dalam hospital akibat tekanan darah yang tinggi.

Hasil siasatan membuktikan jenayah yang dilakukan oleh Richard, dilakukan dengan terancang disokong dengan surat kepada pihak akhbar yang dihantar lebih awal. Rancangannya memang sejak dari mula adalah untuk melakukan rompakan di bank, meminta $1 dan kemudian duduk menunggu ketibaan polis.

Sakit jantung yang dihadapi oleh pegawai yang menerima nota itu berlaku di luar perancangan Richard. Dengan ikhlas hati, Richard memohon maaf atas perbuatannya.

KELEMAHAN SISTEM PERUBATAN AMERIKA SYARIKAT

banduan mendapatkan rawatan medicaid

Semasa perbicaraannya, Richard mengkritik sistem perubatan Amerika Syarikat yang meminggirkan golongan seperti dia, sehinggakan dia terpaksa memilih jalan untuk melakukan jenayah bagi mendapatkan rawatan yang sempurna.

Bagaimanapun, tindakan Richard ini juga mendapat kritikan beberapa pihak yang mendakwa apa yang dilakukan Richard, sebenarnya mengambil kesempatan ke atas sistem sedia ada - dengan wang pembayar cukai akan digunakan bagi membiayai kos rawatan beliau.

Peguambela Richard, Michael Neece berhujah tindakan Richard itu menunjukkan berlakunya krisis besar dalam sistem perubatan negara itu, kerana Richard adalah seorang yang baik dan bertanggungjawab tanpa ada sebarang rekod jenayah. Apabila ditanya kenapa tidak meminta bantuan kewangan daripada anak-anak, Richard menjawab yang dia tidak mahu menyusahkan anak-anaknya.

Selepas kisah Richard James Verone didedahkan pada orang ramai, baharulah kesedaran tentang taktik menggunakan kelemahan pada sistem undang-undang yang tidak diketahui ramai ini terbongkar. Sistem perubatan bagi banduan memang diakui lengkap dan semua banduan yang tidak mampu dirawat dalam penjara oleh doktor yang ditugaskan, akan dibawa keluar sebagai pesakit ke hospital-hospital yang ada.

Seorang banduan yang menjadi pesakit hanya perlu membayar $5 ke $7 untuk setiap kali rawatan atau perubatan kecemasan.

Bagaimanapun, bagi mana-mana banduan yang tidak mempunyai wang untuk pembayaran, mereka berhak untuk mendapatkan rawatan secara percuma apabila rawatan yang diperlukan berkaitan dengan nyawa, seperti penyakit tibi, HIV, tekanan darah tinggi, diabetes dan juga sebarang penyakit berkaitan abnormaliti pada anggota badan, seperti yang dialami oleh Richard.

RICHARD DIDAPATI BERSALAH TETAPI...

mugshot richard jame verone

Kisah Richard tidak berakhir dengan gembira.

Menurut pengakuan dalam mahkamah, rancangan awal Richard adalah untuk mendapatkan hukuman penjara selama 3 tahun bagi dia mempunyai masa yang cukup mendapatkan rawatan. Selepas tamat tempoh hukuman, Richard mengaku merancang berpindah ke Florida dan menggunakan wang persaraan beliau bagi membeli sebuah pangsapuri di sana.

Bagaimanapun, amaun wang yang diminta oleh Richard hanyalah $1 menyebabkan hukuman yang disabitkan pada Richard hanyalah hukuman kecurian daripada individu dan bukannya rompakan bank, yang menjatuhkan hukuman penjara pada kadar tempoh yang singkat.

Bagaimana pandangan anda? Anda rasa negara kita teruk? Kini anda tahu di Amerika Syarikat, ada individu yang sanggup mengorbankan kebebasan mereka, semata-mata kerana tidak mampu membayar kos perubatan sendiri.

Rujukan

LA TImes


tags : , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)