bilik kebal bank england dirompak

Bank of England merupakan salah satu institusi kewangan yang tertua di dunia dan bertanggungjawab mengekalkan kestabilan kewangan di United Kingdom. Pada tahun 1734, bangunan baru Bank of England telah dibina di Threadneedle Street, London, dengan kawasan keseluruhannya seluas 3.4 ekar.

Bangunan ikonik ini mempunyai lapan bilik bawah tanah yang tersembunyi dan dipenuhi dengan bongkah-bongkah emas dalam jumlah yang begitu banyak sekali. Menurut The Spectator, bank itu dibina dengan keselamatan tinggi di mana dindingnya adalah 8 kaki tebal.

Bilik kebal di bank itu mempunyai kunci yang direka khas sepanjang lebih daripada satu kaki dan kini ia dilengkapi pula dengan teknologi pengecaman suara sebagai sistem keselamatan tambahan yang moden.

bank of england 2

Credit photo : bankofengland

Menurut akhbar The Independent pula, Bank of England dikatakan menyimpan emas bernilai sebanyak £100 billion (RM 538 billion). Ini menjadikan Bank of England sebagai penyimpan emas kedua terbesar dunia selepas Rizab Persekutuan New York di Amerika Syarikat.

Nilai yang besar ini merangkumi 400,000 bongkah emas yang beratnya adalah lebih kurang 12kg setiap satu. Berat keseluruhan simpanan emas ini ialah 5,134 tan. Kesemua bongkah emas itu perlu dibahagikan dengan betul ke seluruh lapan bilik kebal, agar beratnya itu tidak membuatkan bongkah emas itu tenggelam ke dalam tanah.

Bank itu amat berbangga kerana tidak pernah dirompak walaupun sekali selama 325 tahun sejarahnya beroperasi. Walau bagaimanapun, dikhabarkan bahawa pertahanan dan kekebalan bank itu sebenarnya telahpun dipecahkan pada kurun ke-19 apabila seorang pekerja pembentungan berjaya memasuki bilik kebal emas utamanya.

pintu utama bank of england

Pintu utama Bank of England. Credit : Bloomberg

Menurut laman web Bank of England, kejadian luar biasa ini adalah perkara yang amat memalukan para pengarah institusi kewangan terbesar dan amat dihormati semasa era Victoria.

Pada tahun 1836, pengarah Bank of England ketika itu telah menerima sepucuk surat tanpa nama pengirim, di mana penulis mendakwa dia mempunyai akses terus kepada emas yang disimpan dengan ketat di dalam bank itu.

Para pengarah ketika itu menganggap perkara ini adalah satu gurauan dan terus mengabaikannya begitu sahaja. Walau bagaimanapun, tidak lama selepas itu mereka menerima sepucuk lagi surat misteri tanpa nama pengirim.

Penulis surat itu dengan berani menawarkan untuk bertemu dengan para pengarah bank dalam masa satu jam di dalam mana-mana bilik kebal utama pilihan mereka.

bilik kebal bank of england

Bilik kebal Bank of England. Credit Photo : standard.co.uk

Menurut laman web bank itu lagi, para pengarah agak terkejut tetapi menganggapnya mustahil bagi seseorang untuk memecah masuk ke bilik kebal tanpa diketahui mereka.

Mereka kemudian bersetuju dengan tawaran pertemuan itu dan pada satu petang, semua para pengarah telah berkumpul di dalam salah sebuah bilik kebal utama seperti yang dipersetujui.

Para pengarah begitu terkejut apabila tiba waktu pertemuan yang ditetapkan, terdengar bunyi ketukan di bawah lantai bilik kebal dan seorang lelaki muncul tidak lama selepas itu. Dia adalah seorang pekerja pembentungan yang sedang melakukan kerja membaik pulih tapak Bank of England yang terletak di Threadneedle Street itu.

pembentungan 133

Semasa melakukan pemeriksaan rutinnya, dia secara tidak sengaja telah menemui satu longkang lama yang menghubungkan terus kepada bahagian bawah bilik kebal utama Bank of England yang menyimpan jongkong emas itu.

Saluran longkang itu telah menyediakan titik akses yang ideal untuk memecah masuk bilik kebal utama dan ia merupakan pelanggaran keselamatan yang besar. Para pengarah bank terkejut apabila mengetahui terdapat kelemahan besar dalam rekaan keselamatan yang mereka bina dengan teliti selama ini.

Setelah mengira stok emas mereka, pihak bank menyedari bahawa pekerja pembentungan itu tidak mengambil apa-apa dari bilik kebal itu walaupun mempunyai banyak peluang untuk berbuat demikian.

ratu melawat bilik simpanan emas

Sebagai penghargaan untuk kejujurannya, para pengarah bank telah memberikan hadiah £800 kepadanya (jumlah itu bersamaan dengan nilai £80,000 atau RM 430,000 pada hari ini). Hadiah itu sudah tentu mengubah kehidupan lelaki itu.

Kisah ini tetap menjadi khabar angin yang terkenal dan dipaparkan dalam laman web Bank of England kerana tiada rekod dalam arkib bank yang membuktikan cerita itu benar-benar sahih. Nama pekerja pembentungan yang jujur itu juga tidak dicatatkan.

muzium bank of england

Muzium Bank of England

Namun, terdapat laporan rasmi bahawa kerja-kerja pembaikan telah dijalankan oleh pihak berkuasa bandar di Threadneedle Street, berhampiran tapak Bank of England pada tahun 1836. Kenyataan ini membuatkan kisah 'kekebalan' bank itu telah diceroboh kedengaran masuk akal.

Mungkin para pengarah bank ketika itu terlalu malu untuk menyimpan rekod rasmi mengenai kejadian itu. Kisah ini menjadi peringatan kepada bank-bank lain di seluruh dunia bahawa dinding yang tebal tidak menjamin kekebalan sesebuah bilik kebal itu.

Rujukan:

1. The Spectator

2. Bloomberg

3. Interesly



Hakcipta iluminasi.com (2017)