Pada tahun 1954, kes pertama telah dicatat dalam sejarah mengenai pertembungan antara meteorit dan manusia dan menjadi satu-satunya kes yang diketahui sepanjang zaman.

Menurut Michael Reynolds, seorang pakar astronomi yang juga penulis buku "Falling Stars: A Guide to Meteors and Meteorites," mangsa yang bernama Ann Hodges mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk terperangkap di tengah-tengah puting beliung sambil disambar petir serta dihanyutkan oleh taufan (kesemuanya berlaku pada masa yang sama) berbanding dengan peluang untuk dihentam sebuah meteorit.

ann hodges memegang batu meteorit yang membedil tubuhnya

Ini disebabkan meteorit atau tahi bintang ini kebiasaannya jatuh ke dalam laut atau menghentam tanah bumi yang lapang, jauh dan tidak berpenghuni. Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Ann pada ketika itu.

Pertama kali dalam sejarah manusia

Pada tengah hari 30 November 1954, Ann sedang tidur seketika di sofa di rumahnya yang terletak di Sylacauga, Alabama, Amerika Syarikat apabila dia dikejutkan oleh seketul batu bersaiz seperti sebiji limau gedang yang tiba-tiba menghentam sebelah kiri tubuhnya. Batu seberat 4.08kg tersebut telah gugur menembusi bumbung rumahnya sebelum terpelanting dari radio konsol kayu yang besar dan menuju tepat ke arahnya.

radio yang menerima hentaman pertama meteorit sebelum terpelanting ke arah ann hodges

Ketika itu, Ann tidak mengetahui yang batu itu merupakan objek dari luar angkasa dan buat pertama kalinya dalam sejarah, ia bertembung dengan manusia di bumi.

Walaupun Ann sedang nyenyak tidur semasa kejadian, ramai penduduk tempatan yang mengesahkan mereka melihat "cahaya merah terang" merentasi langit dengan laju seperti "mercun api yang mengeluarkan asap." Ada juga yang melaporkannya sebagai "bola api yang besar menyerupai percikan kimpalan arka" yang diikuti dengan bunyi letupan dan kepulan asap berwarna perang.

Disebabkan kejadian meteorit gugur ke bumi merupakan sesuatu yang amat jarang berlaku, penduduk tempatan tidak tahu mengenainya dan menyangka yang sebuah kapal terbang telah terhempas. Malah, ada yang ketakutan kerana menyangka ia adalah serangan tentera Soviet.

Batu yang menyebabkan keadaan kacau-bilau

Kemudian, seorang ahli geologi yang bekerja dengan pihak kerajaan AS di sebuah kuari berhampiran telah dipanggil untuk memeriksa batu hitam tersebut dan membuat penyiasatan. Walaupun ahli geologi tersebut telah mengesahkan yang ia hanyalah seketul batu meteorit, ia tidak menghentikan berita mengenainya tersebar sehingga orang ramai mula mengerumuni rumah Ann untuk menyaksikan sendiri batu itu dan berjumpa dengan Ann.

Walaupun bedilan yang terkena tubuhnya agak kuat dan meninggalkan kesan lebam yang agak besar, Ann masih sihat dan boleh bergerak seperti biasa. Namun begitu, dia akhirnya terpaksa juga dikejarkan ke hospital kerana tidak tahan dengan perhatian tanpa henti daripada pihak media dan penduduk bandar itu.

kesan lebam ann hodges akibat hentaman meteorit tahi bintang

Disebabkan paranoia Perang Dingin masih berleluasa, Ketua Polis Sylacauga telah membuat rampasan ke atas batu tersebut dan menyerahkannya kepada pihak Tentera Udara. Pihak Tentera Udara juga mengesahkan yang ia benar-benar hanyalah seketul batu meteorit dan memulangkannya kembali kepada pihak polis. Setelah itu, timbul persoalan baru : "Hendak buat apa dengan batu ini?"

Orang awam menggesa agar pihak polis menyerahkan batu meteorit itu kepada Ann dan dia juga turut bersetuju. Menurut Ann, Tuhan telah menjadikan dirinya seorang insan terpilih. Selain itu, batu itu juga membedil tubuhnya, maka difikirkan tiada siapa lagi yang lebih berhak untuk menyimpan batu istimewa itu.

keratan akhbar new york daily post berkaitan ann hodges

Batu 'istimewa' menjadi rebutan

Akan tetapi, terdapat satu bantahan daripada individu lain iaitu tuan rumah kediaman pasangan Hodges itu yang merupakan seorang janda bernama Birdie Guy. Birdie merasakan dia adalah lebih layak menyimpan batu meteorit tersebut dan telah mengupah seorang peguam untuk menyaman Ann dan suaminya. Dia membuat dakwaan bahawa batu itu gugur di atas tanah hak miliknya. Undang-undang yang termaktub sememangnya berpihak kepada Birdie, namun orang awam tidak bersetuju dengannya.

Birdie kemudian telah bersetuju untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah dan membatalkan samannya untuk memiliki meteorit tersebut dengan syarat menerima bayaran $500 sebagai ganti daripada pasangan Hodges. Suami Ann, Eugene, begitu yakin bahawa mereka boleh memperolehi ganjaran yang lebih besar dengan batu unik itu sehingga sanggup menolak tawaran yang dianggap 'sederhana' daripada Smithsonian yang merupakan satu-satunya institusi yang berminat dengan batu itu.

Setelah menunggu beberapa lama, akhirnya Ann dan Hodges mendermakan sahaja meteorit 'bertuah' itu kepada muzium sejarah semula jadi pada tahun 1956. Ia telah menjadi salah satu bahan pameran di sana sehingga ke hari ini.

batu meteorit yang dipamerkan di muzium sejarah semula jadi 771

Walaupun kesihatan Ann tidak menerima sebarang impak daripada hentaman meteorit itu, kesihatan mentalnya terus-menerus terjejas kesan daripada kejadian yang menimpa. Menurut Eugene, Ann tidak mampu mengawal diri daripada segala perhatian dan populariti yang diberikan pihak media serta orang awam sehingga mengalami gangguan jiwa.

Disebabkan tidak mampu 'diubati' lagi, pada tahun 1964, kedua-dua Ann dan Eugene telah mengambil keputusan untuk berpisah. Ann kemudian tinggal di sebuah rumah jagaan di mana dia menghembuskan nafasnya yang terakhir semasa berusia 52 tahun akibat kegagalan buah pinggang pada tahun 1972.

Ann Hodges sehingga ke hari ini masih kekal menjadi satu-satunya manusia yang pernah dibedil meteorit yang gugur ke bumi. 

Rujukan:

1. Alabama Museum of Natural History

2. Smithsonian



Hakcipta iluminasi.com (2017)