Pemain sukan bridge dari Indonesia iaitu Michael Bambang Hartono tewas dan gagal meraih ganjaran pingat emas Sukan Asia 2018 sebanyak 1.5 bilion rupiah (RM438,000). Bagi atlet biasa yang lain, kehilangan wang lumayan sebegitu mungkin sesuatu yang mengecewakan. Namun, bagi Bambang, beliau masih gembira dengan pingat gangsa yang dimenangi kerana beliau tidaklah begitu memerlukan wang tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ini disebabkan menurut Forbes, beliau sendiri mempunyai harta dengan nilai bersih sekitar USD11.6 bilion (RM48 bilion).

Hartawan paling kaya di Indonesia yang berusia 78 tahun itu bergabung tenaga dengan rakan sepasukannya iaitu Bert Toar Polii, Frangky Karwur, Jemmy Bojoh, Conny Sumampauw dan Rury Andhani dalam permainan tersebut.

Tidak perlukan sebarang wang ganjaran kemenangan

Dalam satu temu ramah dengan media tempatan, Bambang memberitahu yang sekiranya berjaya memenangi emas, wang tersebut akan dipulangkan kembali untuk disumbangkan kepada bayaran bonus kerajaan bagi program latihan atlet. Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pasukan yang Bambang hanya berjaya mendapat tempat ketiga di belakang Singapura dan Hong Kong dalam acara berpasukan supermixed di Jakarta. 

michael bambang hartono jutawan yang menjadi atlet 514

Kerajaan Indonesia bukan sahaja menyediakan ganjaran wang tunai bagi pemenang pingat emas semasa temasya sukan tersebut, malah atlet juga berpeluang untuk bekerja sebagai anggota kerajaan seperti pegawai polis dan tentera yang menawarkan pelbagai faedah istimewa seperti skim perumahan dan lain-lain lagi.

Kebanyakan atlet Indonesia yang mewakili negara itu datang daripada keluarga yang susah. Pada bulan Julai 2018, seorang atlet acara pecut 100 meter iaitu Muhammad Zohri telah memenangi Kejohanan Dunia Bawah 20 Tahun. Selepas kemenangannya, Presiden Jokowi telah mengeluarkan arahan agar rumah kediamannya yang diperbuat daripada buluh dinaik taraf dan diubah suai agar menjadi sebuah rumah moden.

rumah michael bambang di australia

Salah sebuah kediaman Michael Bambang di Australia Barat

Bagaimanapun, rumah Michael Bambang pula tidak memerlukan sebarang pengubahsuaian. Sebagai pemilik bersama syarikat pengeluar rokok paling besar di Indonesia, beliau merupakan hartawan paling kaya di negara tersebut merangkap ke-75 terkaya di dunia. Duit pendapatan yang diperolehi daripada jualan rokok jenama Djarum yang kini diusahakan bersama adiknya itu sudah membolehkan mereka memiliki mana-mana kediaman terbaik di seluruh dunia.

Syarikat Djarum yang mengeluarkan rokok kretek yang memberikan aroma unik itu diasaskan oleh bapa Hartono, Oei Wie Gwan. Bapanya telah membeli sebuah syarikat rokok tempatan yang telah muflis pada tahun 1950, memberi ia jenama baru dan terus berjaya mengembangkan sayap perniagaan ke seluruh Indonesia.

kilang rokok kretek djarum milik michael bambang hartono

Selain itu, Michael Bambang juga memiliki pegangan saham melebihi 25% saham dalam Bank Central Asia yang mempunyai permodalan pasaran sehingga USD40.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir Jun 2018.

Bermain bridge sejak kecil

Hartono menggambarkan permainan bridge sebagai sebuah sukan untuk minda. Beliau mula terjebak dengan bridge sejak berusia enam tahun lagi ketika melihat bapa saudaranya bermain. Ketika itu, beliau menjadi lebih tertarik dengan permainan tersebut kerana variasi kad yang tidak terhingga. Dari situlah beliau mula belajar bermain sehinggalah ke tahap berjaya meyakinkan penganjur Sukan Asia supaya menyenaraikan bridge sebagai salah satu sukan yang bertanding.

permainan bridge sukan asia

Michael Bambang telah menyertai terlalu banyak acara pertandingan tempatan dan antarabangsa. Pada tahun 2012 misalnya, beliau dan pasukannya telah memenangi pingat perak dalam kejohanan dunia dalam kategori senior. Di tanah air sendiri juga beliau tidak kurang hebatnya apabila memenangi gangsa dalam pertandingan domestik pada Minggu Sukan Kebangsaan.

Sepanjang tempoh penglibatannya dengan permainan bridge, Michael Bambang telah mengalami terlalu banyak kegagalan namun beliau sentiasa mengingati moto kehidupannya iaitu "jangan pernah berputus asa." Jadi, beliau tidak pernah mengalah dan tetap meneruskan minatnya bermain bridge. 

jutawan terkaya indonesia menjadi atlet bermain kad sukan asia

Menurut beliau, permainan itu adalah sama seperti kehidupan dan juga sebuah perniagaan. Pada mulanya anda perlu mengumpulkan data dan maklumat. Kemudian data-data tersebut perlu dianalisis sebelum membuat sebarang keputusan. Begitu jugalah dengan membuat keputusan dalam kehidupan mahupun perniagaan. 

Rahsia kejayaannya dalam kehidupan serta permainan bridge adalah sikap berdisiplin dan suka membaca. Bagi Michael Bambang, perkara paling utama dalam kehidupan adalah disiplin. Beliau akan meluangkan masa selama tiga jam sehari untuk membaca sekurang-kurangnya 200 muka surat bahan bacaan serta menghabiskan sebanyak lima buah buku setiap minggu.

michael bambang hartono jutawan yang menjadi atlet sukan asia

"Sekiranya seseorang tidak boleh berpegang pada disiplin, dia tidak akan dapat mencapai kejayaan dalam apa jua bidang sekalipun."-Michael Bambang Hartono




Hakcipta iluminasi.com (2017)