korea selatan delivery death

Hari itu Encik Kim menghantar mesej kepada rakannya, memberitahu dirinya sudah tidak lagi mampu terus bekerja.

Dia tidak henti-henti ke sana ke mari menghantar bungkusan melebih 400 pakej kesemuanya tanpa henti, bekerja selama 21 jam hari itu. Empat hari kemudian, Encik Kim ditemui mati disebabkan oleh kepenatan melampau, yang mengakibatkan strok akibat kegagalan jantung berlaku.

Dia ditemui terkulai atas tangga di kawasan kediamannya selepas selesai syif kerja.

Sepanjang pandemik Covid-19 yang melanda, kumpulan penghantar barangan di Korea Selatan sudah menyaksikan 14 orang pekerja meninggal dunia akibat tekanan kerja yang terlalu mendesak.

Fenomena kematian yang dikenali sebagai 'kwarosa' di negara itu semakin kerap berlaku, diburukkan lagi dengan keperluan penghantaran bungkusan yang semakin bertambah bilangannya.

Mati sendirian selepas pulang kerja

bapa merayu pada kongres korea selatan

Tidak ada keringanan khas diberikan kepada pekerja yang dipertanggungjawabkan menghantarnya, dalam musim pandemik.

Beban kerja yang semakin bertambah tidak mendorong syarikat penghantaran untuk menggajikan lebih ramai pekerja, sebaliknya penghantar-penghantar yang ada dikerah untuk bekerja lebih masa sehingga mengabaikan kesihatan sendiri.

Kes kematian seorang pekerja berusia 27 tahun bernama Jang Deok-Jin menjadi antara kes paling diperkatakan, selepas bapa mendiang bertindak merayu di hadapan ahli kongres negara bagi membantu kumpulan pekerja seperti anaknya.

Deok-Jin sudah berkhidmat dalam kumpulan syif penghantaran waktu malam selama 18 bulan, sebelum pandemik menambah beban kerjanya. Dia yang sudah kehilangan lebih 15 kg akibat kerja tidak menentu, pulang ke rumahnya pada awal pagi bulan November tahun 2020.

Deok-Jin masuk mandi, membersihkan diri sebelum ayahnya menemui anaknya terlantar dalam kamar mandi - tidak lagi bernyawa.

Permintaan ayahnya mudah; kerajaan Korea Selatan perlu mengemaskini peraturan yang dikenakan syarikat-syarikat penghantaran barangan bagi membantu golongan pekerja seperti anaknya.

Kebergantungan masyarakat Korea Selatan kepada perkhidmatan penghantaran sangat menggalakkan, sehinggakan wujud permintaan-permintaan tidak munasabah diwujudkan syarikat bagi memenuhi kehendak pelanggan.

Yang menjadi mangsa demi kegembiraan pelanggan, adalah golongan pekerja.

Usaha menambahbaik kebajikan pekerja

sistem penghantaran korea selatan tekanan sakit lebih masa

Pada bulan Ogos, kementerian sumber manusia Korea Selatan cuba campur tangan, mewajibkan kesemua syarikat pengurusan logistik di sana untuk menjaga kebajikan pekerja selepas beberapa kes kematian.

Langkah ini menyebabkan tiga syarikat terbesar Korea Selatan melakukan permohonan maaf secara terbuka atas apa yang berlaku.

Kesemua syarikat mula berikrar akan menggajikan lebih ramai pekerja bagi mengurangkan beban pekerja sedia ada serta memastikan pekerja dilindungi di bawah skim insurans.

Malangnya perubahan ini tidak membawa kepada apa-apa perubahan, disebabkan oleh sistem pengambilan pekerja di negara itu yang masih mengamalkan peranan agensi pekerjaan.

Disebabkan oleh kontrak pekerja yang terikat dengan agensi dan bukan terus dengan syarikat, perubahan yang cuba diperkenalkan syarikat tidak terpakai kepada mereka.

Semakan kesatuan pekerja ke atas depot dan gudang syarikat juga mendapati tiada penambahan pekerja dilakukan, berlawanan dengan ikrar syarikat logistik sebelum itu.

Perubahan yang diharapkan berlaku akibat campur tangan, hanyalah janji-janji manis yang tidak berasas walaupun masa yang cukup sudah diberikan kepada pengendali-pengendali syarikat ini.

Tunjuk perasaan namun tiada jalan keluar

tunjuk perasaan tuntut perubahan dasar akta

Bagi golongan pekerja, tunjuk perasaan merupakan satu-satunya cara mereka mampu menyuarakan pandangan mereka namun bukan semua berani bertindak sedemikian rupa.

Ada di kalangan mereka takut hilang sumber pendapatan seterusnya menjejaskan kemampuan untuk menampung kehidupan keluarga - walaupun beban kerja mereka nyata meningkat dengan mendadak dalam tahun 2020 tanpa sebarang imbuhan tambahan diberikan.

Seorang pekerja perlu hadir ke depot setiap hari pada jam 6.30 pagi, menyusun sendiri pakej dan bungkusan yang telah ditetapkan kepada mereka ke dalam van. Tidak ada satu pun boleh ditinggalkan.

Untuk setiap penghantaran yang berjaya, penghantar akan menerima RM2.95 (KRW800).

Setiap hari, seorang penghantar diberikan sekitar 350 pesanan penghantaran dan jumlah bayaran yang akan mereka terima belum mengambil kira penalti yang akan dikenakan, sekiranya penghantaran gagal disempurnakan dalam tempoh masa ditetapkan.

Masyarakat sendiri yang terlalu mendesak

kumpulan rider penghantar pesanan korea selatan

Keutamaan ke atas permintaan pelanggan menjadikan kumpulan pekerja penghantar di Korea Selatan berdepan tekanan setiap masa sepanjang tempoh kerja.

Pelanggan juga dilihat tidak mahu memahami situasi yang dihadapi penghantar, ramai yang bertindak menghubungi syarikat bagi membuat aduan sekiranya barang yang dijanjikan tiba lewat sedikit sehingga mengganggu rancangan mereka.

Sudah menjadi satu lumrah biasa pekerja penghantaran terpaksa di Korea Selatan menahan telinga mendengar rungutan pelanggan yang berang dengan kelewatan.

Walaupun ada segelintir komuniti masyarakat Korea Selatan yang mula menggerakkan kempen kesedaran bagi mengubah budaya ini, suara mereka masih lemah berbanding permintaan orang ramai yang mahukan janji penghantaran untuk mereka dipenuhi.

Budaya kerja di Korea Selatan yang masih mengamalkan sistem hirarki mutlak dilihat sebagai penghalang utama kepada pembaharuan untuk berjaya dilakukan.

Golongan pekerja tidak bebas untuk menyuarakan pandangan serta dimestikan perlu akur atas apa saja ketetapan yang telah dipersetujui.

Tidak jelas adakah gesaan terbaru kerajaan Korea Selatan menerusi Presiden Moon Jae-in pada 20 Oktober, akan membawa perubahan kepada budaya kerja mereka yang nyata tidak mementingkan keselamatan pekerja.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel 'I thought maybe I would die': S Korea's delivery drivers demand change' yang diterbitkan oleh BBC pada 3 November 2020.



Hakcipta iluminasi.com (2017)