Pada bulan Ogos tahun 1988, seorang remaja wanita berusia 15 tahun terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mempunyai tanda-tanda hendak bersalinkan anak.

Mungkin bagi masyarakat di negara Lesotho, gadis semuda itu mahu bersalin merupakan satu perkara biasa tetapi kes ini sangat-sangat istimewa dan agak luar biasa berbanding kes-kes kelahiran yang pernah hospital itu uruskan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Gambae gadis lesotho sebagai hiasan

Ini kerana selepas memeriksa gadis tersebut, pihak hospital mendapati gadis tersebut tidak mempunyai organ faraj yang diperlukan wanita bagi membolehkan dia mengandung.

Apa yang lebih membingungkan - berikutan keadaan itu, amat jelaslah gadis itu tidak pernah melakukan hubungan seks dengan mana-mana lelaki, jadi persoalannya bagaimana bayi yang ada dalam perutnya terhasil?

Sindrom mullerian agenesis

mullerian agenesis

Dari segi luarannya, gadis itu yang tidak boleh dinamakan kerana bawah umur - sama saja seperti wanita-wanita lain. Namun demikian, gadis malang itu mengalami satu kecacatan yang dinamakan sebagai 'sindrom mullerian egenesis' menyebabkan dia tidak mempunyai organ faraj yang sempurna.

Penyakit ini tidaklah sejarang yang disangkakan, berlaku pada 1 nisbah 5,000 orang wanita setiap tahun. Turut digelarkan sebagai mullerian aplasia, sindrom Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser atau vaginal agenesis - penyakit ini berpunca daripada kecacatan semasa proses pembentukan organ ketika peringkat janin.

Gadis itu mengalami kecacatan pada bahagian faraj, namun mullerian agenesis boleh juga menyebabkan kecacatan pada bahagian uterus seorang wanita.

Bagi majoriti pesakit yang mengalami sindrom ini, majoritinya tidak ada jalan lain untuk mengandung melainkan dengan mengambil anak angkat atau menggunakan ibu tumpangan bagi mengandungkan anak mereka. Pembedahan bagi membuka saluran faraj juga merupakan satu opsyen namun kos yang tinggi merupakan penghalang terbesar orang ramai, apatah lagi di Lesotho pada tahun 1988.

Kita sudah tahu bagaimana keadaan gadis ini dan penyakit yang dia hadapi - tetapi kita masih belum menjawab bagaimana dia boleh mengandung.

Mari kita teruskan kisah menakjubkan ini.

Insiden 278 hari yang lalu

Merasa takjub melihat apa yang sedang berlaku di hadapan mereka, pihak hospital menyemak semula rekod perubatan gadis tersebut.

Mereka mendapati pada satu tarikh 278 hari sebelum itu, gadis tersebut telah pun datang ke hospital kerana ditikam dengan pisau dalam satu pergaduhan. Purata hari mengandung bagi wanita kebiasaannya sekitar 280 hari, jadi pihak hospital mengandaikan insiden pergaduhan itu dan kandungannya pasti berkait antara satu sama lain.

Gadis itu diajukan soalan tentang apa yang berlaku semasa insiden pergaduhan tersebut. Dia yang pada mulanya malu-malu, terpaksalah membuka cerita sebenar apa yang berlaku pada hari itu.

ratu cantik lesotho

Ratu cantik Lesotho sebagai hiasan

Selepas memutuskan hubungan dengan seorang lelaki, gadis itu menemui cinta baru dengan seorang lelaki lain. Gadis itu adalah seorang yang agak aktif seksualitinya walaupun keadaannya tiada faraj. Bagi memenuhi tuntutan nafsu teman lelaki barunya, gadis tersebut membenarkan hubungan seks di antara mereka dilakukan secara oral. Rasanya anda faham kan?

Sedang dia melakukan kaedah itu dengan teman lelaki barunya, bekas teman lelakinya ternampak mereka berdua - menyebabkan keadaan menjadi tegang. Bekas teman lelakinya menyerang mereka berdua dengan pisau dan gadis itu ditikam sebanyak sekali di bahagian perut. Teman lelakinya turut sama mengalami kecederaan namun terselamat.

Perut mula membesar

Mereka bertiga termasuklah bekas teman lelakinya dikejarkan ke hospital, dengan gadis itu mengalami kesan kelaran pada tangan serta tikaman pada perut. Pemeriksaan yang dilakukan mendapati berlaku dua lubang pada organ perut gadis itu. Dua lubang itu dijahit dan gadis itu dibenarkan pulang selepas 10 hari di hospital.

Gadis itu meneruskan hidup seperti biasa, namun hari demi hari perutnya semakin membesar. Berikutan keadaannya organ seksnya, dia tidak langsung terfikir kemungkinan dia mengandung. Hidup tanpa faraj, dia tidak boleh menjalani proses menstruasi jadi sakit perut sudah jadi perkara biasa pada dirinya. Sakit perut yang luar biasa hari itu memaksa dia ke hospital dan pemeriksaan mendapati dia mengandung, sedang menunggu sahaja masa untuk bersalin.

Bagaimana dia mengandung tetap menjadi satu misteri. Namun pihak doktor merumuskan kesan tikaman yang ada pada perutnya telah menyebabkan air mani teman lelakinya yang berada dalam perut dan ditelannya, berjaya masuk ke ruang uterus gadis tersebut.

Apa yang mengagumkan, sperma lelaki itu tetap dapat bertahan dalam keadaan perut yang berasid serta mampu berenang masuk ke dalam kawasan uterus gadis itu yang berfungsi sepenuhnya. Semua andaian itu terbukti benar apabila bayi lelaki seberat 2.8 kg selamat dilahirkan melalui pembedahan, mempunyai wajah yang sangat mirip dengan teman lelaki barunya.

Itulah kisah bagaimana seorang gadis yang tidak mempunyai faraj mampu mengandung dan melahirkan anak dengan selamat, tanpa pernah sekali pun melakukan hubungan seks.

Rujukan

Impregnantion via the proximal gastrointestinal tract case report (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)