Siapa sangka produk atau penemuan yang dilakukan seseorang individu itu boleh membunuh dirinya sendiri? Inilah yang dipanggil 'produk makan tuan'. Enam kisah di bawah akan menceritakan secara ringkas bagaimana ciptaan mereka-mereka ini bakal menyebabkan kematian tanpa mereka sendiri sedari. 

1. Karel Soucek

kematian karel soucek

BESARKAN TEKS     A-  A+

Karel Soucek adalah seorang stuntman profesional yang berjaya membuat penerjunan di Niagara Falls dengan berada di dalam sebuah tong yang telah diubah suai, yang dikenali sebagai 'Capsule'. Kejayaannya itu berjaya memberi pulangan kewangan yang lumayan kepada beliau. Optimistik dengan kejayaan lalu, Karel berhasrat untuk melakukan sebuah lagi terjunan.

Beliau berhasrat dengan terjunan ini, beliau akan memperolehi keuntungan kewangan bagi membina sebuah muzium di Niagara Falls untuk mempamerkan segala kejayaan berkaitan dirinya. Beliau berjaya meyakinkan sebuah syarikat besar untuk melabur bagi projek terjunan daripada ketinggian 55 meter daripada Houston Astrodome ke dalam sebuah tangki air. 

Pada 19 Januari 1985, beliau melakukan terjunan kedua dengan berada di dalam Capsule. Malangnya, aksi terjunan itu gagal kerana tong tersebut gagal mengenai sasaran iaitu tangki air. Akibatnya, beliau telah mengalami kecederaan parah, dan meninggal dunia keesokan harinya. Bagi menghormati beliau, Capsule ciptaan beliau kini dipamerkan di New York State Museum. 

2. Cowper Phipps Coles

kematian cowper phipps coles

Cowper Phipps Coles adalah seorang kaptain Tentera Laut Diraja yang sangat dihormati ketika Perang Crimean (1853-1856). Beliau adalah individu yang bertanggungjawab mencipta sebuah komponen kapal yang dikenali sebagai 'rotating turret'. Setelah perang tamat, beliau telah mempatenkan produknya itu dan mula membina kapal menggunakan revolusi reka bentuk tersebut. 

Beliau telah membina sebuah kapal yang dinamakan HMS Captain, dengan pengubahsuaian yang sangat berbahaya berbanding kapal biasa. Antara modifikasi yang dilakukan beliau adalah penambahan sebuah dek, 'Hurricane Deck' yang menyebabkan pusat graviti kapal ditinggikan. Akibatnya, kapal tersebut akhirnya karam pada 6 September 1870, membunuh Cowper sendiri dan lebih 500 anak kapal yang lain. 

3. Marie Curie

kematian marie curie

Marie Curie adalah seorang ahli kimia dan fizik berbangsa Perancis yang terkenal dengan penemuan elemen baru iaitu radium dan polonium, seperti yang terdapat di dalam Periodic Table. Antara sumbangan besar beliau yang lain adalah dalam mengembangkan radioactiviti teori dan memperkenalkan teknik pengasingan isotop radiaktif. Marie Curie juga adalah wanita pertama yang berjaya memenangi Nobel Prize, dan satu-satunya kaum hawa yang memenangi dua buah anugerah itu untuk dua bidang sains yang berbeza. 

Marie Curie meninggal dunia pada tahun 1934, ketika berusia 64 tahun di sebuah hospital di Sancellemoz, Perancis. Kematiannya adalah disebabkan oleh pendedahan terhadap radiasi yang terlalu lama sepanjang kariernya melakukan kajian saintifik. Radiasi tersebut adalah berpunca daripada kedua elemen radium dan polonium yang ditemui beliau.  Kematian beliau bukanlah sebenarnya disebabkan oleh ciptaannya sendiri, namun lebih kepada hasil penemuannya. 

4. Henry Winstanley

kematian henry winstanley

Henry Winstanley adalah seorang jurutera terkenal yang berasal daripada England. Beliau juga adalah pedagang, melaburkan sebahagian pendapatannya yang diperolehi daripada perniagaan komersial melibatkan lima buah kapal miliknya. Dua buah kapalnya telah rosak di Eddystone Rocks berhampiran Plymouth, dan beliau berasa sangat marah kerana tiada apa yang dilakukan oleh pemerintah untuk mengelakkan kejadian itu daripada berulang. 

Akhirnya beliau membuat keputusan untuk membina sendiri sebuah rumah api Eddystone Rocks. Selesai pembinaannya, Henry berasa sangat optimistik dengan rumpah api tersebut, dan ingin menguji kekuatan binaan tersebut dalam apa jua bencana ribut petir. Ketika ribut petir 'the Great Storm' melanda pada 27 November 1703, beliau bersama lima orang pembantu telah berada di dalam rumah api itu, sebelum ianya runtuh dan menyebabkan kematian kesemua mereka. 

5. William Bullock

kematian william bullock

William Bullock adalah seorang pencipta yang berasal dari Amerika Syarikat. Antara sumbangan terbesar beliau adalah penambahbaikan yang dilakukan pada tahun 1963 terhadap sebuah mesin percetakan akhbar ciptaan Richard March. Penambahbaikan tersebut berjaya merevolusikan industri percetakan kerana mesin itu kini lebih pantas dan efisyen. 

Pada 3 April 1867, ketika sedang melaraskan salah sebuah mesin percetakan yang baru sahaja dipasang untuk syarikat akhbar Philadelphia Public Ledger, William telah cuba menendang tali belt masuk ke dalam sebuah takal mesin. Kakinya telah tersepit dan akhirnya hancur dimamah mesin itu. Beberapa hari kemudian, beliau mengalami gangrene, keadaan di mana tisu mati akibat kekurangan bekalan darah. Pada 12 April 1867, William akhirnya meninggal dunia ketika dalam pembedahan bagi memotong kakinya yang hancur. 

6. Otto Lilienthal

kematian otto lilienthal

Otto Lilienthal yang berbangsa Yahudi dari Jerman adalah seorang perintis industri penerbangan, lebih awal daripada adik beradik Wright yang mencipta kapal terbang pertama dunia. Otto yang turut dikenali sebagai 'The Flying Man' dan 'The Glider King' adalah manusia pertama yang membuat dokumentasi lengkap dan berulang kali tentang kejayaannya melakukan penerbangan dengan glider. 

Beliau sangat terkenal di seluruh dunia kerana kerapa kali gambarnya yang melakukan penerbangan diterbitkan di dalam akhbar dan majalah. Kejayaan beliau mempengaruhi pendapat awam dan saintifik tentang kebarangkalian penciptaan mesin terbang untuk digunakan secara praktikal.

Pada 9 Ogos 1896, ketika sedang melakukan rutin penerbangan, glider beliau secara tiba-tiba terhenti (stalled) dan beliau tidak dapat mengawalnya. Jatuh daripada ketinggian 15 meter, bersamaan dengan tingkat tiga bangunan, leher beliau telah patah dan akhirnya beliau mati keesokan harinya. 

Rujukan:

  1. niagarafallsinfo.com
  2. hundredparishes.org.uk



Hakcipta iluminasi.com (2017)