Sejak tahun 1990 lagi, kajian berkenaan kelajuan individu-individu berjalan telah dijalankan. Kajian yang konsisten mendapati bahawa tahun ke tahun, kelajuan purata kita berjalan dari satu destinasi ke satu destinasi telah pun meningkat.
Perkara ini juga seiring dengan kemajuan teknologi di mana semuanya kini seolah-olah perlu tersedia setiap masa, menyebabkan semakin ramai di antara kita yang mudah hilang sabar kerana beranggapan semuanya perlu laju dan sekelip mata.
BESARKAN TEKS A- A+
Dalam satu kajian rahsia yang dilakukan oleh penyelidik serta kolaborasi bersama British Council, mereka telah berjaya mengukur kelajuan purata ahli masyarakat di beberapa buah bandar besar yang dinamakan sebagai 'pace of life.'
Tiga faktor mempengaruhi 'pace of life'
Kajian berkenaan kelajuan jalan kaki masyarakat urban sebenarnya sudah dimulakan sejak tahun 1976 oleh pasangan Marc dan Helen Bornstein menerbitkan laporan mereka dalam jurnal terkenal 'Nature.'
Dengan mengambil 15 bandar berbeza di enam negara, mereka mengukur tempoh waktu yang diperlukan oleh individu-individu secara purata di bandar-bandar di Amerika Syarikat untuk menghabiskan jarak 50 kaki.
Wujud satu hubungan yang sangat ketara di antara kelajuan jalan kaki penduduk bandar serta jumlah populasi bandar, yang berjaya mereka temui dalam kajian itu. Majoriti kawasan kajian mereka menunjukkan bahawa semakin besar populasi sesuatu bandar, semakin cepat kelajuan penduduk bandar itu berjalan.
Kajian itu menjadi batu asas kepada kajian-kajian berikutnya, sebelum konsep 'pace of life' ini diperluaskan lagi supaya merangkumi 3 faktor pengimbang; kelajuan jalan kaki, kelajuan melakukan pekerjaan dan juga ketepatan masa.
Kajian-kajian berikutnya mula merangkumi benua-benua yang lebih besar dengan negara-negara yang sebelum ini tidak termasuk, mula dipilih sebagai negara kajian. Hasilnya, 10 bandar pertama di dunia yang dilaporkan mempunyai penduduk yang paling pantas berjalan dilaporkan pada tahun 1999 adalah Dublin, Amsterdam, Zurich, London, Frankfurt, New York, Tokyo, Paris, Nairobi dan Rom.
Lima yang terpantas setakat ini
Kajian-kajian yang dilakukan seterusnya mendapati kepantasan orang ramai berjalan kini, jauh berbeza dengan kelajuan kita jika dibandingkan dengan 10 tahun ke belakang. Dianggarkan setiap 10 tahun, kelajuan purata kita berjalan meningkat sebanyak 10 peratus.
Bagaimanapun pengiraannya sekarang sudah diubah. Penyelidik mula menggunakan jarak 60 kaki sebagai standard jarak yang perlu dipenuhi bagi membolehkan sesuatu kepantasan itu diambil kira.
Bandar yang mencatatkan purata kelajuan jalan kaki paling pantas di dunia adalah jiran kita, Singapura yang mencatatkan 10.55 saat untuk menghabiskan jarak 60 kaki. Di tempat kedua adalah bandar Copenhagen di Denmark, yang mencatatkan 10.82 saat dan Madris di Sepanyol mengekori rapat dengan 10.89 saat.Dua lagi tempat di isi oleh penduduk bandar Guangzhou di China yang merekodkan 10.94 saat dan Dublin, bekas juara dunia tahun 1999 yang mencatatkan 11.03 saat.
Di mana Malaysia?
Lima bandar yang mengisi tempat ke 6 hingga ke 10 adalah Curitiba (Brazil), Berlin (Jerman), New York (USA), Uthrecht (Belanda) dan Vienna (Austria).Sekiranya dibandingkan dengan keputusan-keputusan yang pernah diperolehi sebelum itu, dapat dilihat bagaimana masyarakat Singapura, China dan Brazil semakin lama semakin pantas kelajuan mereka - sedikit sebanyak mencerminkan refleksi kekuatan ekonomi mereka yang semakin membesar semasa kajian ini dilakukan.
Berapakah kelajuan penduduk kita pula? Malaysia tidak disenaraikan dalam kajian yang dilakukan tetapi penyelidik daripada beberapa kajian merekodkan kelajuan kelajuan pejalan kaki di negara kita. Hasilnya? Secara purata kelajuan pejalan kaki di negara berada memerlukan 16.08 saat untuk menghabiskan jarak 60 kaki bagi kaum lelaki dan 17.09 saat bagi wanita.
Rujukan