Disebabkan berasal daripada rumpun yang sama, penulis kerap kali merasakan Indonesia dan kita tidak banyak jauh bezanya. Dikenali sebagai negara Muslim terbesar dunia, bandar Jakarta sangat terkenal sebagai ibu negara Indonesia, dinobatkan bandar terbesar Indonesia.

Bandar tersebut mempunyai sejarah panjang, bermula sejak tahun 4 Sebelum Masihi (BCE) di mana Jakarta terkenal sebagai sebuah bandar pelabuhan yang dipenuhi masyarakat beragama Hindu. Pernah dikenali dengan beberapa nama seperti Sunda Kelapa, Jayakarta dan Djajakarta sebelum digelarkan Jakarta, bandar ini pernah melalui penjajahan Belanda dan Jepun sebelum Indonesia mencapai kemerdekaan mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kerajaan Indonesia di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo yang baru dilantik semula selepas memenangi pilihanraya tempohari, perlu menguruskan sesuatu yang sangat sukar - usaha memindahkan ibu negara Indonesia kerana Jakarta dikhuatiri semakin tenggelam sikit demi sedikit.

Jakarta yang sedang tenggelam

banjir di jakarta

Kajian yang telah dijalankan mendapati 95 peratus daripada keseluruhan bahagian utara Jakarta, bakal ditenggelami air pada tahun 2050. Setiap tahun, tanah Jakarta didapati mendap sehingga 10 inci. Bahagian utara Jakarta yang berisiko tinggi, telah pun mendap sedalam 2.5 meter dalam tempoh 10 tahun, dengan purata 1 ke 15 cm semenjak 2008.

Dikhabarkan, bandar Jakarta mengalami situasi sedemikian rupa disebabkan oleh bentuk muka bumi asalnya yang sebenarnya kawasan paya. Struktur bandar tersebut yang sangat bergantung dengan kekukuhan tanahnya, diburukkan oleh kegagalan kerajaan Indonesia membekalkan sistem air yang sempurna.

Disebabkan oleh itu, ramai penduduk Jakarta terpaksa membina sendiri sistem telaga yang akan digunakan sebagai sumber air utama mereka, memerlukan air disedut daripada dalam tanah menggunakan pam akuifer. Apabila air yang berada di dalam tanah dipam keluar, tanah yang sebelum itu disokong oleh air mula mendap ke bawah menyebabkan mendapan tanah berlaku.

pam sedut air bawah tanah

Malangnya, kerajaan Indonesia sendiri sekali lagi gagal menyediakan garis panduan dan peraturan sepatutnya - membenarkan mana-mana individu membina sendiri pam sehingga aktiviti pengepaman air berlaku secara berleluasa. Rakyat Indonesia sendiri dikhabarkan lebih mempercayai air yang dipam mereka, berbanding bekalan air yang disediakan kerajaan.

Ini menyebabkan aktiviti pengepaman air berlaku tanpa kebenaran, bukan saja melibatkan rumah di atas tanah malahan juga dilakukan tanpa kebenaran di dalam bangunan-bangunan tinggi pencakar langit.

Usaha memindahkan Jakarta

presiden jokowi raikan kemenangan

Cadangan untuk memindahkan ibu negara Indonesia ke satu kawasan lain sebenarnya sudah kedengaran sebelum ini. Bagaimanapun, kerajaan Indonesia merasakan sekarang adalah waktu yang sesuai untuk gerak kerja ini dilakukan dengan lebih serius.

Jabatan Pembangunan dan Perancangan Negara Indonesia atau BAPPENAS telah pun mempersembahkan tiga cadangan kepada Presiden Jokowi untuk dinilai, bagi menyelesaikan masalah berkaitan Jakarta ini. Cadangan pertama adalah dengan mengekalkan Jakarta sebagai ibu negara tetapi menggerakkan pusat pentadbiran kerajaan ke tempat lain. Yang kedua pula menukarkan kedudukan ibu negara Indonesia tidak jauh dari Jakarta.

Walau bagaimanapun, Presiden Jokowi memilih untuk menukarkan ibu negara Indonesia ke sebuah sebuah bandar baru, dengan beberapa lokasi dijadikan cadangan seperti di Bukit Suharto, Balikpapan atau Panagkaraya, Kalimantan Tengah. Beberapa cadangan yang dikemukakan dipilih atas faktor kedudukannya yang bebas daripada bencana alam serta terletak betul-betul di bahagian tengah negara tersebut.

Selain daripada menyelamatkan ibu negara daripada ditenggelami air, kerajaan Indonesia juga sedang berusaha meredakan kesesakan trafik yang perlu dihadapi setiap hari penduduk ibu negara tersebut yang menyebabkan kerugian hampir 100 trillion rupiah atau sekitar RM28.26 billion setahun.

Nasib penduduk Jakarta

bangunan tingkat bawah air naik

Bagi penduduk di beberapa kawasan di sekitar utara Jakarta, kehidupan mereka semakin hari semakin diselubungi rasa kebimbangan disebabkan perubahan yang berlaku.

Ramai penduduk di situ sudah mula mengalami retakan-retakan di bahagian dinding disebabkan mendapan yang berlaku. Banjir juga sudah menjadi satu kebiasaan disebabkan oleh paras air yang semakin meningkat.

Banyak bangunan yang telah digunakan sekian lama terpaksa ditinggalkan, disebabkan oleh takungan-takungan air yang telah wujud di bahagian bawah bangunan. Bagi yang mampu, mereka boleh berpindah terus meninggalkan premis itu tetapi ada juga golongan yang terpaksa terus menggunakan fasiliti yang ada dan menutup bahagian tingkat bawah bangunan tersebut.

sungai citarum tercemar

Pengunjung beberapa kawasan awam seperti pasar di Muara Baru mendapati lorong pejalan kaki yang disediakan, mempunyai permukaan yang beralun disebabkan mendapan yang berlaku. Ada bahagian lorong yang sudah mulai retak dan membahayakan orang ramai.

Usaha kerajaan Indonesia mengawal aktiviti pengepaman air memang giat dijalankan, namun orang ramai tidak mempunyai alternatif lain. Menurut penyelidik, satu-satunya cara untuk menghentikan mendapan bandar Jakarta adalah dengan menukarkan sumber air mereka kepada air sungai atau air hujan. Malangnya sumber air utama di Jakarta iaitu Sungai Citarum mengalami tahap pencemaran yang sangat teruk - jadi apa lagi pilihan yang mereka ada?

Rujukan

BBC

Jakarta Post




Hakcipta iluminasi.com (2017)