Pada tahun 1902, seorang penulis berusia 37 tahun dari Scotland, J.M Barrie, telah memperkenalkan watak seorang kanak-kanak lelaki yang tidak mahu membesar menjadi dewasa bernama Peter Pan di dalam novelnya bertajuk The Little White Bird. 

Novel itu merupakan satu kejayaan besar baginya dan telah diadaptasikan ke lakonan pentas sejurus sahaja selepas novel itu diterbitkan. Akan tetapi, dari manakah Barrie mendapat ilham untuk menulis kisah yang begitu popular dan telah diadaptasi dalam banyak filem dan animasi sehingga hari ini?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Inspirasi penghasilan watak Peter Pan

j m barrie

J.M. Barrie

Segalanya bermula pada tahun 1897 apabila Barrie sedang membawa anjingnya berjalan-jalan di sekitar Kensington Gardens di London. Ketika itu dia telah bertemu dengan dua orang kanak-kanak lelaki, George dan Jack Llewelyn Davies yang berusia lima dan empat tahun.

Kanak-kanak itu ditemani oleh pengasuh mereka yang juga membawa adik lelaki mereka yang baru dilahirkan, Peter. Barrie mendapati bahawa kedua-dua beradik itu mempunyai perwatakan yang menarik lalu berkenalan dengan mereka.

Tidak lama selepas itu, Barrie menjadi kawan rapat dengan semua ahli keluarga Llewelyn Davies. Dia banyak menghabiskan masa dengan anak-anak keluarga itu yang menjadi inspirasinya untuk menulis kisah Peter Pan.

arthur llewelyn davies dan anak anaknya

Arthur Llewelyn Davies dan anak-anaknya

Pada tahun 1900 dan 1903, pasangan Arthur dan Sylvia Llewelyn Davies dikurniakan lagi dua orang cahaya mata lelaki iaitu Michael dan Nico. Sylvia adalah anak perempuan kepada penulis dan kartunis George du Maurier dan kakak kepada pelakon Gerald du Maurier.

Walaupun Barrie telah berkahwin sebanyak dua kali, tetapi dia tidak dikurniakan cahaya mata. Barrie mencurahkan kasih sayangnya kepada kelima-lima anak lelaki keluarga Llewelyn Davis yang memanggilnya dengan nama Uncle Jim.

Barrie sering menghiburkan mereka dengan cerita-cerita rekaannya yang digunakannya untuk menghasilkan kisah Peter Pan. Penulis itu mendakwa watak itu merupakan gabungan daripada kelima-lima orang adik-beradik itu.

Menjadi penjaga adik-beradik Llewelyn Davies

peter and wendy

Walau bagaimanapun, terdapat teori mengatakan bahawa watak Peter Pan itu sebenarnya diinspirasikan semasa zaman kanak-kanak Barrie sendiri. Abangnya, David, telah meninggal dunia dalam kemalangan luncur salji ketika berusia 13 tahun. Dalam memori Barrie, abangnya itu kekal sebagai seorang kanak-kanak yang tidak pernah membesar.

Pada tahun 1911, selepas lebih daripada satu dekad bersahabat dengan keluarga Llewelyn Davies, Barrie menghasilkan sebuah novel penuh berjudul Peter and Wendy.

Malangnya, satu tragedi telah menimpa menimpa keluarga Llewelyn Davies. Arthur yang merupakan bapa kepada lima orang kanak-kanak lelaki itu telah meninggal dunia pada tahun 1907 akibat kanser tulang.

sylvia llewelyn davies

Sylvia Llewelyn Davies

Hanya tiga tahun selepas kematian bapa mereka, ibu mereka iaitu Sylvia juga meninggal dunia akibat kanser. Ketika itu, Barrie tampil menjadi penjaga kelima-lima orang adik beradik Llewelyn Davies dan memberi sokongan kewangan kepada mereka.

Walaupun keluarga itu menjadi inspirasi kepada penghasilan watak Peter Pan yang menjadi kegemaran umum sepanjang masa, namun tragedi yang menimpa keluarga itu seolah-olah sebuah sumpahan.

Sumpahan Peter Pan

george john dan peter llewelyn davies

Dari kiri : John, George dan Peter Llewelyn Davies

Anak sulung keluarga Llewelyn Davies iaitu George, telah memilih untuk menjadi sukarelawan dan berkhidmat sebagai seorang pegawai tentera British semasa Perang Dunia Pertama. Malangnya dia telah terkorban pada tahun 1915 ketika hanya berusia 21 tahun.

Manakala John Llewelyn Davies, anak kedua keluarga itu pula tidak seperti abang dan adiknya. Dia sering meremehkan Barrie dan menganggap penulis itu cuba mengambil tempat bapa mereka setelah kematiannya.

John meninggal dunia pada usia 65 tahun akibat penyakit paru-paru, setengah tahun sebelum adiknya Peter yang merupakan anak ketiga pasangan Arthur dan Sylvia membunuh diri.

peter llewelyn davies

Peter Llewelyn Davies

Peter yang meminjamkan namanya untuk watak terkenal itu tidak pernah dikaitkan sepenuhnya dengan kemahsyuran Peter Pan. Malah, dia tidak dapat melupakan perasaan kecewanya apabila merupakan satu-satunya adik-beradik Llewelyn Davies yang tidak dimasukkan namanya ke dalam wasiat Barrie.

Pada tahun 1960, Peter yang berusia 63 tahun ketika itu adalah seorang pemabuk dan sering mempunyai masalah kesihatan. Dia kemudian mengetahui bahawa isteri dan tiga orang anak lelakinya telah menghidap penyakit Huntington yang membawa maut. Akibat tertekan, dia telah membunuh diri dengan terjun di hadapan sebuah kereta api bawah tanah London.

Michael Llewelyn Davies pula adalah anak keempat keluarga itu merupakan seorang pelajar di University of Oxford. Pada tahun 1921, dia telah dilaporkan mati lemas ketika berenang di Sungai Thames, London. Rakan baiknya Rupert Buxton juga mati lemas bersama-sama dengan Michael.

michael llyewelyn davies 343

Michael Llewelyn Davies

Michael digambarkan sebagai seorang budak yang cemerlang dan ditakdirkan untuk menjadi seorang yang hebat. Dia juga dianggap sebagai pengaruh besar dalam penciptaan watak Peter Pan. Barrie itu begitu sedih dengan kematian Michael kerana mereka berdua amat rapat.

Akhir sekali ialah Nico, anak bongsu dalam keluarga Llewelyn Davies. Dia hidup lebih lama berbanding abang-abangnya dan meninggal dunia pada tahun 1980 ketika berusia 76 tahun. Pada tahun 1978, dia berkhidmat sebagai perunding kepada penulis Andrew Birkin dalam penghasilan siri mini Peter Pan : The Lost Boys untuk BBC.

Rujukan:

1. Early Bird Books

2. Telegraph

3. The Vintage News




Hakcipta iluminasi.com (2017)