Pengaruh media khasnya dalam bentuk filem dan drama mampu membantu seseorang mendapat idea inspirasi kepada individu-individu.

Malangnya, bukan semua inspirasi akan membawa seseorang ke arah niat yang baik - ada kalanya inspirasi yang diperolehi mampu mengakibatkan seseorang itu bertindak di luar batasan; sehingga berlaku kes-kes pembunuhan dahsyat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sudah beberapa kali kes pembunuhan yang diinspirasikan daripada filem berlaku dan berikut, adalah lima kes jenayah yang berpunca daripada lima filem; yang pasti kedengaran aneh tetapi tidak bagi pihak pelakunya.

1. The Dark Knight

taksub sangat dengan joker

Filem yang mengangkat mendiang Heath Ledger sebagai pelakon aksi watak 'Joker' berkesan, turut sama mengakibatkan satu kes aneh berlaku pada 29 Januari 2009 -  melibatkan seorang pesalah juvana perempuan di Indiana, Amerika Syarikat.

Gadis bawah umur itu yang tidak jelas motifnya, memohon untuk ke tandas sebelum menyolekkan wajahnya agar kelihatan seperti watak penjahat tersebut. Lebih teruk, dengan menggunakan pisau yang dibawa - dia menoreh wajah sendiri agar mirip dengan watak kegemarannya.

Selesai 'bersiap', gadis itu kemudiannya bertindak menyerang gurunya sendiri di kelas dengan menggunakan pisau bersaiz 5 inci; memaksa guru itu melindungi dirinya dengan troli yang ada dalam kelas.

Beberapa hari sebelum itu pada 23 Januari 2009, satu serangan berlaku di Dendermonde, Belgium selepas seorang lelaki berusia 20 tahun (ketika itu) bertindak menyerang sebuah pusat asuhan kanak-kanak dengan berpakaian ala Joker.

Dua orang bayi berusia 8 bulan dan 9 bulan terkorban dalam serangan itu, bersama seorang pengasuh berusia 54 tahun. 6 orang kanak-kanak berusia 1 hingga 3 tahun cedera teruk dan 4 lagi cedera ringan.

Pelaku jenayah itu seorang lelaki bernama Kim de Gelder, dilaporkan mempunyai kecelaruan identiti yang teruk serta sangat obses dengan filem 'The Dark Knight.'

Semasa ditahan, Gelder menyimpan dokumen yang menyenaraikan beberapa buah lagi pusat asuhan yang 'perlu' diserang.

2. Fight Club

jenayah kerana terpengaruh filem fight club

Filem ikonik yang sering diungkapkan skripnya, 'Fight Club' merupakan antara filem 90-an yang diingati peminat filem aksi berikutan jalan ceritanya yang berbeza berbanding filem-filem aksi lain sezamannya.

Dalam filem tersebut, dua watak utamanya mempunyai obsesi untuk keluar daripada dunia dikuasai kapitalis dan wang, cuba menjalankan rancangan yang dikenali sebagai 'Project Mayhem'; titik tolak baru dunia serba bebas dengan rancangan untuk melakukan kemusnahan ke atas lokasi penting dunia korporat Amerika Syarikat.

Idea fiksyen ini malangnya menjadi sumber inspirasi kepada seorang remaja berusia 17 tahun bernama Kyle Shaw untuk memulakan siri-siri serangan ke atas premis yang dia rasakan membawa ideologi kapitalis.

Sasaran pertama Shaw - kafe Starbucks, sama seperti skrip filem tersebut.

Bertindak sendirian, Shaw membina sendiri bahan letupan untuk digunakan yang akhirnya berjaya diletupkan sehingga merosakkan tingkap kafe tersebut. Tidak ada pihak cedera dalam insiden tersebut.

Hasil siasatan mendapati Shaw mempunyai rancangan untuk meletupkan beberapa buah kafe Starbucks lagi.

3. Taxi Driver

jenayah kerana terinspirasi filem taxi

Filem klasik arahan Martin Scorsese (The Departed, The Irishman) ini menampilkan aktor legenda Robert De Niro bersama pelakon Jodie Foster - ketika itu baru berusia 13 tahun yang memainkan watak seorang pelacur bawah umur.

Salah seorang peminat fanatik filem ini adalah lelaki bernama John Hinckley Jr, yang mempunyai obsesi tahap melampau terhadap Foster akibat pengaruh filem tersebut - yang  menyamakan dirinya sama seperti watak pemandu teksi yang dimainkan De Niro.

Hinckley Jr. mula meniru idea yang dipaparkan dalam filem tersebut, tidak lagi mampu membezakan realiti dengan fantasi. Dia yang obse, mula mengekori dan mengganggu kehidupan peribadi Foster; sehinggakan sanggup berpindah agar lebih dekat dengan pelakon pujannya.

Hinckley Jr. bertindak mengganggu Foster di kampus tempat dia belajar serta asrama yang didiami, melakukan panggilan telefon serta meninggalkan pelbagai jenis pesanan.

Menyedari cintanya tidak berbalas, demi membuktikan cintanya kepada Foster - Hinckley Jr. merancang untuk melakukan pembunuhan ke atas Presiden Amerika Syarikat.

Selepas meneliti beberapa calon Presiden, akhirnya Hinckley Jr. memutuskan untuk menyerang Presiden Ronald Reagan.

Pada tahun 1981, Reagan diserang Hinckley Jr. dengan enam das tembakan di depan sebuah hotel, mengakibatkan kecederaan parah pada paru-parunya. Semua kerana obsesi cintanya terhadap Jodie Foster tidak berbalas.

4. The Matrix

jenayah kerana taksub filem the matrix

Pernahkah anda terfikir apa akan berlaku pada seseorang yang benar-benar percaya dirinya hidup dalam dunia yang dipaparkan dalam filem The Matrix?

Itulah yang berlaku kepada dua individu bernama Lee Boyd Malvo dan John Allen Muhammad.

Malvo meyakini dirinya adalah jelmaan dunia nyata watak 'Neo' yang dibawa Keanu Reeves. Sementara Muhammad pula adalah mentornya, 'Morpheus.'

Dalam siri serangan jangka masa panjang menggunakan senapang jarak jauh bermula daripada 16 Februari 2002, Malvo yang ketika itu baru berusia 17 tahun dan Muhammad yang berusia 41 tahun melakukan beberapa siri serangan dan rompakan, mengorbankan 17 nyawa dan 10 lagi tercedera.

Tidak jelas apa motif pembunuhan dan bagaimana kaedah pemilihan mangsa dilakukan kedua-duanya.

Siri keganasan mereka berdua berakhir setelah kedua-duanya ditangkap semasa tertidur dalam kereta pada 24 Oktober 2002 di sebuah kawasan rehat dan rawat.

Dalam perbicaraan yang dijalankan, Malvo secara yakin menyamakan dirinya adalah Neo yang terpilih sebagai utusan penyelamat manusia; akan memulakan revolusi bagi membebaskan manusia daripada cengkaman rejim mesin-mesin yang mengemudi hidup kita.

Pihak pendakwaan mendakwa alasan untuk menyalahkan filem The Matrix sebagai punca anak muda itu berkelakukan sedemikian seperti hujah pihak pembelaan, adalah tidak munasabah.

Malvo ketika ini masih menjalani hukuman penjara seumur hidup, sementara Muhammad pula telah dihukum mati pada tahun 2009 menerusi suntikan beracun.

5. Natural Born Killers

jenayah kerana terpengaruh filem natural born killer

'Natural Born Killers' merupakan antara filem yang sangat kontroversi semasa mula ditayangkan.

Didakwa menyanjung cara hidup negatif, amalan jenayah serta memuliakan penjenayah, filem ini mendapat reaksi negatif masyarakat dunia yang bimbang akan pengaruhnya.

Malangnya pendapat itu benar-benar berasas selepas beberapa kes jenayah dan pembunuhan yang diinspirasikan lakonan filem tersebut, cuba diterjemahkan ke dunia nyata dalam beberapa kes berbeza.

Antara kes paling menyayat hati, adalah kes melibatkan pasangan muda bernama Sarah Edmondson dan James Darras yang bertindak melakukan siri-siri jenayah selepas selesai menonton filem ini bersama-sama dan mendapat idea melakukan keganasan.

Dua mangsa diserang dalam dua insiden berbeza oleh pasangan tersebut, mengakibatkan seorang meninggal dunia sementara seorang lagi lumpuh seumur hidup.

Dalam insiden tembakan Sekolah Tinggi Columbine yang berlaku pada April 1999, kedua-dua pelaku serangan bawah umur juga didapati terpengaruh dengan filem tersebut sehinggakan menjadikan ideologi yang dibawa kedua-dua watak penjahat dalam filem tersebut sebagai pegangan hidup mereka.

Kedua-duanya disahkan mengalami gangguan mental yang agak teruk serta sering meyakinkan diri mereka bahawa matlamat hidup mereka adalah untuk menjadikan pembunuhan sesuatu yang normal dalam kehidupan.

Wujud banyak lagi kes jenayah yang diinspirasikan filem ini dan kami hanya mampu senaraikan dua saja.

Nasihat kami, jangan benarkan individu belum matang untuk menonton filem ini kerana kami bimbang akan ada pula yang mula mendapat ilham bertindak bukan-bukan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)