kisah inspirasi kelab antigua barracuda yang tak pernah menang perlawanan 5rs73

Bola sepak, seperti kata orang ramai, adalah permainan yang berasaskan keputusan dan setiap pasukan memang bersedia untuk melakukan apa saja cara, untuk mendapat keputusan yang baik. Kekalahan, andainya dialami, mampu menghilangkan keyakinan pasukan daripada mana-mana pasukan walau sehandal manapun. Bagaimanapun yang pasti, situasi menjunam itu akan berakhir bagi kebanyakan pasukan.

Pada tahun 2013, Antigua Barracuda bermain 26 perlawanan dalam United Soccer League (USL), pertandingan divisyen tiga bagi liga bola sepak Amerika Syarikat - dan tewas kesemua perlawanan.

Musim itu merupakan musim terakhir bagi kelab tersebut selepas 3 musim mencuba nasib, dalam tempoh waktu yang boleh dikatakan singkat. Kelab itu merupakan antara kelab professional di dunia yang menamatkan musim tanpa sebarang mata namun apa yang menyedihkan, potensi pasukan mereka dipersiakan begitu sahaja.

Ditubuhkan untuk memajukan pasukan kebangsaan

kisah inspirasi kelab antigua barracuda yang tak pernah menang perlawanan 5rs63

Juga dikenali dengan nama gelaran "Cudas", Antigua Barracuda adalah pasukan bola sepak professional pertama bagi negara kecil Antigua and Barbuda, sebuah negara kecil di kepulauan Caribbean, ditubuhkan dengan tujuan mahu membangunkan pasukan kebangsaan sendiri dengan menyertai liga di Amerika Syarikat.

Pada musim pertama mereka, Cudas menang 9 perlawanan sebelum projek mereka mula berdepan kepayahan pada musim kedua. Pasukan lawan tidak lagu mahu melakukan perjalanan jauh ke sana hanya untuk bermain di depan stadium kosong. USL mencadangkan satu idea drastik kepada Cudas - kelab itu berpindah ke Amerika Syarikat secara sementara dan bermain kesemua perlawanan dalam stadium sebagai pasukan pelawat.

Lantikan pengurus baru tidak mengubah nasib

kisah inspirasi kelab antigua barracuda yang tak pernah menang perlawanan 5rs5

Ketika Adrian Whitbread mengambil alih kelab tersebut sebagai pengurus bermula pada bulan Jun 2013 semasa pertengahan musim, Cudas tidak mempunyai sebarang mata, tiada peruntukan kewangan serta bergolok gadai hanya untuk menyempurnakan perlawanan selebihnya.

Pemain-pemain menurut Adrian, tiada tempat tinggal tetap dan terpaksa menetap di dalam hotel bajet di Tampa, Florida. Adrian terpaksa menggunakan kenalannya untuk mendapatkan tempat latihan. Sekiranya terpaksa, Adrian dan pemainnya melakukan sesi latihan di perkarangan tempat letak kereta hotel.

Sebelum perlawanan pertamanya sebagai pengurus berlangsung menentang kelab Richmond Kickers, Adrian mendapati pemainnya tak mampu terbang ke Virginia. Perjalanan mereka ke sana perlu dilakukan dalam sebuah van yang terpaksa memuatkan 18 orang pemain dan 4 orang pegawai mengharungi perjalanan 10 jam.

Mereka tewas perlawanan tersebut 3-1. Tiba pada pertengahan musim, mereka masih belum memungut sebarang mata.

Bersemangat berjalan kaki ke stadium

kisah inspirasi kelab antigua barracuda yang tak pernah menang perlawanan 5rs68

Pemain-pemain Cudas pada ketika itu, sudah beberapa bulan tidak dibayar gaji. Ada yang terpaksa meninggalkan pasukan bagi mencari rezeki. Beberapa orang pemain yang cuba dibawa masuk, menarik diri selepas melihat 'fasiliti' yang mereka tawarkan. Pegawai fisioterapi kelab itu pun terpaksa cabut lari.

Dalam satu insiden yang memalukan, seluruh pemain dan pegawai Cudas terpaksa berjalan kaki dari hotel yang mereka diami ke stadium di Los Angeles, kerana mereka tiada dana untuk menyewa teksi.

Adrian sendiri terpaksa menggunakan wang saku beliau untuk menampung beberapa perbelanjaan penting, tanpa jaminan akan dibayar semula. Walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan, pemain-pemain Cudas tetap serius menghadapi perlawanan seterusnya. George Dublin, kapten pasukan memberitahu komitmen pemain yang ada tidak pernah luntur setiap kali mereka berada di padang.

Bagaimanapun, George tetap mengakui masalah di luar padang memberikan pengaruh besar pada mentaliti pemain. Terpaksa menghadapi perjalanan jauh dalam keadaan tidak selesa, tidur di hotel dan terpaksa berhempas-pulas membuatkan mereka sedar tanggungjawab mereka terhadap keluarga - tetapi selepas tewas 17 kali berturut-turut, pemain-pemain sedar yang ada kalanya situasi sukar untuk berubah lebih baik.

Perlawanan terakhir sebelum dibubarkan

kisah inspirasi kelab antigua barracuda yang tak pernah menang perlawanan 5rs42

Dua minggu sebelum perlawanan terakhir Cudas, pemain-pemain akhirnya berjaya mendapat bayaran gaji yang sepatutnya diterima namun semangat yang ditemui tetap tidak menghadirkan sekurang-kurangnya keputusan seri pada Cudas. Dalam perlawanan terakhir mereka, Cudas tewas 1-0 namun semangat yang ditunjukkan di atas padang, membuktikan susah payah mereka sebenarnya sedang menyatukan mereka semua.

Setelah mengetahui kisah yang berlaku kepada Antigua Barracuda, peminat-peminat kepada kelab Phoenix FC yang memenangi perlawanan terakhir Cudas, menjemput semua pemain Cudas ke pub untuk minum. Kisah pengorbanan Cudas mempertaruhkan segala-galanya hanya untuk bola sepak, menghadirkan rasa hormat pada penyokong Phoenix FC.

Bagi George Dublin, dia melihat pengalaman yang dilalui sebagai satu perkara yang mendewasakan dia. Walaupun kecewa tidak ada pihak sudi menaja Cudas untuk maju lebih jauh, mungkin itu hakikat yang pemain-pemain Cudas perlu mereka terima.

Tewas 26 perlawanan, rekod Antigua Barracuda pada musim itu adalah main 26 kali, tidak pernah menang, tidak pernah seri, menjaringkan 11 gol dan bolos 91 kali. Statistik lebih penting; mata yang dipungut musim itu - kosong.

Pencapaian terbaik pasukan kebangsaan kedudukan ke 83 dunia

kisah inspirasi kelab antigua barracuda yang tak pernah menang perlawanan

Bagaimanapun, bagi warga Antigua and Barbuda, tujuan utama penubuhan kelab Antigua Barracuda sekurang-kurangnya menampakkan kesan positif walaupun kelab itu mencatatkan rekod memalukan bagi sebuah pasukan professional.

Pencapaian pasukan kebangsaan Antigua and Barbuda berjaya melayakkan diri ke pusingan ketiga pusingan kelayakan zon Concacaf, sebelum tewas kepada Amerika Syarikat ketika itu dianggap pencapaian terbaik mereka. Kejayaan yang lebih manis bagi mereka - mereka berjaya menjadi antara 100 pasukan kebangsaan terbaik senarai FIFA pada tahun 2011 buat pertama kali, mencapai kedudukan ke 87 dunia ketika itu. Untuk sebuah negara yang mempunyai populasi hanya seramai 100 ribu orang, itu adalah kejayaan besar bagi negara mereka.

Kejayaan pasukan kebangsaan mereka seiring dengan kewujudan kelab Antigua Barracuda, yang menjadi kelab bola sepak professional pertama negara tersebut bermain dalam liga yang lebih tinggi tarafnya, Ini membuktikan sebuah pasukan bertaraf professional sebenarnya mampu memberikan pengaruh besar kepada prestasi pasukan kebangsaan sesebuah negara.

Pemain-pemain kelab Antigua Barracuda menjadi tulang belakang pasukan kebangsaan mereka, namun selepas musim terburuk tersebut - kelab Barracuda dibubarkan. Pemain-pemain membawa diri, ada yang kekal dalam liga amatur tempatan dan ada juga yang berjaya menjadi pemain di kelab-kelab bawahan di Britain.

Ketika ini, pasukan kebangsaan Antigua and Barbuda berada pada kedudukan ke 139 dunia, 39 kedudukan lebih baik berbanding pasukan kebangsaan negara kita dan pernah mencapai kedudukan ke 83, pencapaian terbaik mereka.

Mereka masih lagi bermain semua perlawanan kelayakan antarabangsa dalam sebuah stadium kriket, yang akan diubah suai sekiranya ada perlawanan bola sepak melibatkan negara mereka dalam stadium yang hanya mampu memuatkan 10 ribu orang penonton. Untuk sebuah negara berpopulasi 100 ribu orang, mungkin itu sudah memadai.

Asalkan setiap pemain ingat dan mewarisi kegigihan pemain Antigua Barracuda bersusah payah walaupun tewas kesemua perlawanan, untuk memajukan kualiti sukan bola sepak negara mereka.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel asal Played 26, lost 26 : The story of Antigua Barracuda's record breaking season tulisan Niall McVeigh dalam akhbar dalam talian UK, The Guardian.


tags : , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)