Filem 'Taken' merupakan salah satu filem yang paling mendebarkan berikutan jalan ceritanya yang boleh dikatakan segar semasa filem itu keluar pada tahun 2008.

Liam Neeson (Star Wars, Schindler's List) memegang watak utama bernama Bryan Mills, sebagai seorang bekas pegawai risikan kerajaan yang terpaksa mencari anaknya yang diculik oleh sindiket pemerdagangan manusia di Perancis.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apabila filem itu meletup, seorang individu bernama William G. Hillar , seorang Kolonel bersara dalam pasukan tentera Amerika Syarikat mengakui filem tersebut adalah berdasarkan pengalamannya sendiri. Anak perempuannya telah diculik oleh sindiket pemerdagangan manusia, dipaksa bekerja dengan sindiket pelacuran dan akhirnya mati dibunuh di Asia Tenggara.

Latar belakangnya yang hebat juga turut memperkuatkan hujah beliau, atas pengalaman beliau dalam tentera. Beliau banyak terlibat dengan operasi risikan dan anti keganasan di Asia, Timur Tengah dan Amerika Selatan. Kisah Hillar nampak ada benarnya. Semua kemahiran yang dimiliki Hillar ada pada watak Bryan Mills dalam filem itu.

Tapi Hillar bukanlah seorang bekas tentera. Dia hanyalah seorang cikgu biasa yang cukup hebat mereka-reka cerita.

Sangat mahir gebang orang lain

william hillar mendapat anugerah di elon university

Kredibiliti yang direka oleh Hillar membantu beliau menjawat jawatan sebagai salah seorang tenaga pengajar di Monterey Institute of International Studies serta beberapa sekolah lain. Selain itu, Hillar juga dilantik sebagai jurucakap kepada beberapa gabungan NGO, di antaranya Federal Executive Board of Greater Los Angeles yang menguruskan koordinasi andai berlakunya bencana dan juga menjadi penasihat kepada Ketua Unit Bomba California.

Hillar diberikan tanggungjawab mengawal selia 12 siri bengkel selama 15 jam setiap satu selama 5 tahun beliau mengajar di Monterey Institute.

Jawatan yang disandang sebagai kontraktor sambilan tidak memerlukan latar belakang Hillar diselidik terlebih dahulu, yang membolehkan Hillar yang sebenarnya tidak mempunyai kelulusan akademik yang disebutkan berkenaan bidang yang diajarnya, mendapat jawatan sebagai pengajar. Subjek yang diajar oleh Hillar pula lebih kepada subjek penyeludupan manusia dan anti keganasan.

Yang membuatkan kisah ini lebih menarik, Hillar mengaku filem 'Taken' dibuat berdasarkan kisah sebenar hidup beliau dengan apa yang dilalui oleh watak Bryan Mills dalam filem tersebut, telah pun dilalui beliau cuma penamatnya berbeza.

Filem 'Taken' menamatkan kisahnya dengan penamat gembira, Hillar kehilangan anaknya dalam tragedi itu.

Kantoi berbohong

william hillar biografi rekaannya

Helah Hillar mula terbongkar selepas beberapa orang pelajar mula meragui perkara yang diajar oleh Hillar, lalu membuat laporan berkenaan kredbiliti sebenar Hillar. Beberapa orang bekas pegawai tentera yang turut sama berkhidmat di institusi sama juga melaporkan perkara serupa.

Mereka mula meragui Hillar ekoran tabiat Hillar banyak mengambil informasi daripada pihak lain, yang kemudiannya diakui sebagai hasil penyelidikannya selama ini.

Hasil siasatan pihak Monterey Institute of International Studies mendapati Hillar berbohong berkenaan pengalamannya dalam unit tentera sebagai seorang berstatus Green Beret dan semua pengalamannya dalam unit anti keganasan.

Hillar mengaku dalam resumenya, beliau mempunyai Ijazah dalam Psikologi, Sarjana dalam Pendidikan dan Ijazah Kedoktoran dalam Pendidikan Kesihatan serta mendapat penganugerahan ijazah kehormat dalam Hubungan Awam, ekoran pengalaman yang beliau timba selama ini.

Hanya Ijazah dan Sarjana beliau benar-benar wujud. Pihak tentera mengecam kuat tindakan Hillar mengakui dirinya salah seorang askar bertaraf Green Beret, kerana mencemarkan imej pasukan berprestij tentera Amerika Syarikat.

Fantasi yang terlalu tinggi

william hillar bersama peminat

Kisah Hillar berkenaan anaknya lebih hebat penipuannya.

Menurut kisah Hillar - pada tahun 1988, anaknya yang bercuti dengan rakan di sekitar Asia Tenggara diculik daripada sebuah keretapi dan anaknya dipaksa menjadi pelacur.

Hillar menjelajah ke beberapa negara di sekitar Asia Tenggara, menjejak sindiket pelacuran dan pemerdagangan manusia demi mencari anaknya namun dia gagal menyelamatkan anaknya, selepas anaknya ditemui mati dipercayai dibunuh atau membunuh diri. Sama macam filem 'Taken' namun penamatnya tragis.

Menurut pihak pendakwa, siasatan mendapati William G.Hillar adalah seorang 'con artist' yang cukup cekap. Dia memang pernah berkhidmat sebagai salah seorang US Coast Guard Reserve pada tahun 1962 hingga 1970, namun itu sajalah pengalaman pasukan keselamatan yang dimilikinya. Sehari pun dia tidak pernah berkhidmat dengan tentera dan segala pengalaman yang disebutkannya berlaku, hanya datang daripada imaginasi beliau yang aktif.

Hasil siasatan latar belakang mendapati Hillar mula melabelkan dirinya sebagai pakar bidang keselamatan selepas tragedi 11 September 2001, ekoran ketika itu banyak agensi keselamatan memerlukan latihan dalam bidang anti keganasan dan keselamatan. Hillar mula mencipta kelulusan-kelulusan dan pengalaman-pengalaman palsu bagi meletakkan dirinya sebagai pakar yang menjadi rujukan bidang anti terrorisme itu.

Akhirnya dihukum penjara

wajah william hillar

William G.Hillar didapati bersalah dan dihukum penjara 21 bulan dengan 3 tahun pengawasan selepas dibebaskan. Dia juga diwajibkan membayar semula sejumlah $171,415 yang telah dibayar kepadanya hasil 'khidmat' beliau sebagai pakar keselamatan selama 12 tahun serta perlu menghabiskan 500 jam dalam khidmat komuniti di kawasan perkuburan askar Maryland.

Pihak pendakwa menerima baik hukuman yang dijatuhkan ke atas Hillar berikutan penipuannya itu, kerana taindakannya mampu memberikan risiko besar pada pihak tentera, penguatkuasa undang-undang dan pasukan keselamatan yang pernah menjalani latihan bersama beliau, atas nasihat tidak berasas yang diberikan beliau.

Seperti biasa, semua pihak yang telah terlibat melantik Hillar sebagai penasihat dan juru rujuk menyalahkan pihak lain, bagi mengelakkan mereka dipersalahkan. Ini termasuklah pihak polis, tentera, CIA dan juga FBI yang banyak kali menghantar pegawai menyertai 'kursus keselamatan' yang dianjurkan Hillar.

Entah apa yang diajarnya, kami tak tahulah.

Berita gembiranya, anak perempuan Hillar masih lagi meneruskan hidup dengan selamat serta tidak pernah diculik atau dipaksa menjadi pelacur. Penerbit filem 'Taken' pula, sehingga kini menafikan dakwaan Hillar berkenaan inspirasi sebenar idea filem tersebut.

Rujukan

Federal Buerau of Investigation Baltimore Division




Hakcipta iluminasi.com (2017)