watak drakula

Sekiranya anda pernah menonton filem seram dari Barat, watak seorang drakula mungkin tidak asing. Drakula boleh digambarkan sebagai satu makhluk bergigi taring yang gemar mengisap darah manusia.

Seperti kebanyakan watak fiksyen lain, watak Drakula ini dikatakan diinspirasikan oleh seorang individu bernama Elizabeth Bathory. Dia berasal dari sebuah keluarga bangsawan di Hungary dan dikenali dengan gelaran Countess Elizabeth Bathory.

Hidup antara tahun 1560 - 1614, wanita ini dianggap sebagai salah seorang pembunuh terkenal dunia. Dia mempunyai amalan pelik itu membunuh wanita yang masih dara dan mandi di dalam darah mereka untuk kekal muda. Bagaimanakah perkara ini boleh terjadi?

Melihat kekejaman di usia mudanya

wanita paling kejam

Tidak banyak yang diketahui mengenai zaman remajanya. Namun, terdapat satu kisah bagaimana Elizabeth Bathory telah didedahkan dengan penyiksaan kejam terhadap manusia lain.

Ketika berusia antara 6 - 11 tahun, satu kumpulan "gypsy" datang ke istana keluarganya untuk membuat persembahan. Gypsy adalah satu kumpulan manusia yang tidak mempunyai penempatan tetap dan gemar berpindah-randah dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Salah seorang gypsy yang datang itu telah ditangkap setelah diketahui bahawa beliau telah menjual anaknya kepada orang Turki kerana kesempitan hidup. Akibat daripada berita ini, lelaki gypsy tersebut telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman mati.

Elizabeth Bathory yang ketika itu masih kecil terdengar tangisan lelaki gypsy ini sepanjang malam. Keesokan harinya, dia telah menyelinap keluar masuk daripada bilik tidurnya untuk melihat sendiri bentuk penyiksaan yang akan dikenakan terhadap lelaki gypsy tersebut.

Dia terlihat seekor kuda telah dibunuh dan dibelah perutnya. Kemudian, lelaki gypsy tersebut telah diletakkan di dalam perut kuda tersebut dimana bahagian kepalanya terletak di bahagian luar. Kemudian perut kuda tersebut dijahit semula dan bangkai kuda serta lelaki gypsy tersebut telah diletakkan di bawah cahaya matahari.

Bukan sahaja lelaki tersebut tersiksa dengan bahang daripada matahari yang cukup panas, dia turut akan mati dimakan oleh ulat-ulat yang memakan mayat kuda tersebut. Kaedah ini merupakan antara teknik penyiksaan popular yang digunakan di Hungary satu ketika dahulu.

Berkahwin dalam usia yang muda

ferenc n dasdy

Kisah Elizabeth Bathory yang ditayangkan dalam filem Bathory: Countess of Blood

Sewaktu abad ke 16, sudah menjadi kebiasaan bagi golongan bangsawan untuk mengahwinkan anak mereka pada usia yang begitu muda. Elizabeth Bathory juga tidak terkecuali. Sewaktu berumumr 10 atau 11 tahun, dia telah ditunangkan dengan Ferenc Nadasdy yang dikatakan 5 atau 15 tahun lebih tua daripadanya.

Setahun sebelum berkahwin, dia dikatakan telah mengandungkan anak Ferenc Nadasdy. Bagi menutup malu, dia telah diasingkan oleh keluarganya buat seketika dan setelah bersalin, anaknya itu telah diserahkan kepada orang lain untuk menjaga maruah keluarganya.

Selepas berkahwin, suaminya telah berjauhan dengannya kerana telah dikerah untuk berperang melawan Turki. Akibat ditinggal berseorang, dia dipercayai tertekan dan mula menghabiskan masanya hidup bebas dan mula melepaskan tekanan dengan melakukan penyiksaan terhadap orang-orang suruhannya.

Gemar melihat mangsanya menderita

elizabeth bathory

Elizabeth Bathory merupakan seorang yang unik. Dia dikatakan sebagai wanita terawal yang menjadi seorang pembunuh bersiri dan segalanya dilakukan atas keinginan seksual dan kepuasan semata-mata tanpa tekanan atau arahan daripada orang lain.

Kebiasaannya wanita bangsawan pada zaman tersebut membunuh orang lain kerana berebut kuasa atau mahu mengekalkan kuasa. Namun, tidak bagi wanita ini. Dia melakukan pembunuhan atas alasan keseronokan dan melakukannya tanpa rasa bersalah. Semakin terseksa mangsanya, semakin puaslah dirinya.

Terdapat banyak jenis penyiksaan terhadap mangsanya yang pernah dilakukan antaranya menggigit mangsa sehinga mati, membakar hidup-hidup dan meletakkan besi panas pada mereka. Terdapat banyak lagi bentuk penyiksaan yang terlalu ngeri untuk dibayangkan.

Merupakan seorang ibu yang baik

erzsebet bathory

Elizabeth Bathory merupakan individu yang mempunyai 2 watak berbeza. Dalam keluarganya, dia terkenal sebagai seorang ibu yang baik buat anak-anaknya dan penyayang terhadap suaminya. Dia dan suaminya mempunyai 4 orang anak yang dikenali sebagai Anna, Ursula, Katherina dan Paul.

Elizabeth Bathory boleh dikataka bijak untuk melindungi sifat jahatnya daripada anak-anaknya. Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa suaminya turut gemar menyiksa orang suruhan mereka. Cuma apa yang membezakan kedua-duanya adalah suaminya hanya akan menyiksa dan sesekali tidak akan membunuh mereka.

Pendedahan mengenai aktiviti jahatnya

istana

Istana Elizabeth Bathory

Pada awalnya, Elizabeth Bathory hanya menyiksa dan membunuh orang-orang suruhan dan hambanya. Namun, lama-kelamaan dia turut melakukannya terhadap individu daripada golongan bawahan. Ada diantara mangsanya adalah keluarga yang mempunnyai talian kekeluargaan dengan pihak istana namun hidup sederhana.

Kisah ini akhirnya sampai ke pengetahuan King Matthias. Beliau kemudiannya telah mengarahkan Count Thurzo, salah seorang orang besar kaya dan berpengaruh di untuk membuat pemeriksaan dan kunjungan ke istana Elizabeth Bathory. Apa yang ditemui sangat mengejutkan.

Di kawasan ruang utamanya, terdapat mayat seorang gadis. Terdapat seorang lagi gadis yang masih hidup namun hanya tinggal nyawa-nyawa ikan kerana badannya berlumuran darah. Malah, terdapat ramai lagi gadis yang ditemui diletakkan dalam penjara khas di istana tersebut.

Count Thurzo kemudian telah bertindak mengorek bahagian bawah tanah istana tersebut dan menemui lebih 50 mayat yang sudah ditanam. Malah, beliau turut menjumpai senarai nama gadis-gadis yang dipercayai telah dibunuh oleh Elizabeth Bathory yang jika dihitung jumlahnya kira-kira 650 orang.

Elizabeth Bathory merupakan seorang penganut agama Kristian Protestant. Setelah membunuh mangsanya, dia pada awalnya telah menyerahkan mayat-mayat mangsanya kepada paderi gareja berdekatan untuk dikebumikan di tanah perkuburan. Lama-kelamaan, pihak gereja mulai curiga mengenai jumlah mayat terlalu banyak.

Akibatnya, Elizabeth Bathory mula mencari cara lain untuk melupuskan mayat-mayat mangsanya termasuklah menanamnya di bahagian bawah tanah istananya. Walaupun kegiatan pembunuhannya telah didedahkan, namun mengikut sejarah Elizabeth Bathory tidak pernah didakwa di mahkamah.

Dia telah diletakkan di bawah tahanan rumah dan keluarganya telah menggunakan segala kuasa dan pengaruh mereka untuk memastikannya tidak didakwa. Mengikut undang-undang, sekiranya dia didapati bersalah, maka segala harta dan tanahnya terpaksa diserahkan kepada pihak istana.

Kredit:

Britannica Encyclopaedia

Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)