filem 3 idiots

Kebanyakan daripada kita mungkin pernah menonton filem Bollywood, 3 Idiots yang agak popular tidak lama dahulu. Filem berunsur komedi yang dibintangi oleh Aamir Khan, Kareena Kapoor dan beberapa nama besar dalam industri Bollywood ini menarik minat ramai pihak daripada seluruh dunia kerana jalan ceritanya yang tidak cliche dan mesej yang disampaikan juga cukup bermakna.

Filem ini memaparkan kisah persahabatan tiga pelajar di sebuah kolej kejuruteraan India dan merupakan satira mengenai tekanan sosial di bawah sistem pendidikan semasa di India. 

Filem ini turut mendapat kejayaan yang meluas setelah ditayangkan pada 25 Disember 2009. Filem ini juga merupakan filem terlaris pada minggu pertama tayangannya di India, malah popular di negara-negara Asia Timur seperti China dan Jepun. 

Tayangan filem ini juga memperoleh kutipan kasar $90 juta daripada seluruh dunia, menjadikannya filem dari India yang mencatat kutipan tertinggi pada ketika itu. Filem arahan Rajkumar Hirani ini turut memenangi beberapa anugerah dan pengiktirafan antarabangsa antaranya "Best Outstanding Foreign Language Film" di Anugerah Akademi Jepun dan "Best Foreign Film" di Festival Filem Antarabangsa China di Beijing. 

Kerana keyaannya dan impaknya yang luar biasa, filem ini juga telah dilakonkan semula dan dialih bahasa antaranya  Nanban (Tamil - 2012), 3 idiotas (Mexico - 2017) dan 3 Idiotim (Israel- 2021). 

Impak besar filem 3 Idiots 

3 idiots ladakh

Selain jalan ceritanya yang menarik dan lari daripada kebiasaan, filem ini harus dipuji kerana turut memberi impak kepada industri pelancongan di Ladakh dan kritikan terhadap sistem pendidikan di India yang dianggap terlalu mengongkong.

Walaupun penggambaran di Ladakh hanya dipaparkan dalam babak terakhir filem ini, ianya berjaya mempromosikan tempat ini ke seluruh dunia. Dalam sekelip mata, ramai pelancong dari seluruh pelusuk dunia datang ke sini untuk melihat dengan mata mereka sendiri keindahan kawasan ini.

Penggambaran yang berlatarbelakangkan Tasik Pangong dan keindahan kawasan gunung-gunung di Ladakh cukup memukau. Malangnya, kerana terlalu ramai pelancong kawasan ini mula dicemari oleh sampah sarap yang ditinggalkan oleh para pelancong. Kisah ini pernah kami tulis dahulu dalam artikel Kesan Pengaruh Filem Idiots Terhadap Pembangunan dan Kemusnahan Ladakh.

Filem ini juga menjadi satira bagi mengkritik sistem pendidikan di India yang "memaksa" para pelajarnya mengambil bulat-bulat daripada buku teks semata-mata, sekalipun mematikan pemikiran kritis dan kreatif para pelajar.

Sonam Wangchuk, insprasi watak Phunsukh Wangdu

sonam wangchuk

Dalam 3 Idiots, watak Ranchoddas (atau nama sebenarnya Phunsukh Wangdu) lakonan Aamir Khan digambarkan seabagai seorang saintis hebat yang mempunyai pelbagai paten hasil ciptaannya. Walaupun di kolej beliau bukanlah pelajar paling bijak, pemikirannya yang kreatif sentiasa menarik minat orang sekeliling.

Watak Phunsukh Wangdu ini dipercayai mendapat inspirasi daripada seoran]g individu bernama Sonam Wangchuk. Sonam Wangchuk merupakan seorang jurutera dan lebih menarik beliau sememangnya berasal dari Ladakh! Ketiadaan sekolah di kawasannya menyebabkan beliau hanya mendapat pendidikan ketika berusia 9 tahun.

Beliau kemudiannya berjaya menyambung pelajarannya di Perancis sebelum menjadi jurutera. Bukan hanya hebat mencipta, beliau juga merupakan antara individu yang bercita-cita untuk merevolusikan sistem pendidikan di India.

Dalam filem 3 Idiots, Phunsukh Wangdu digambarkan memiliki sebuah institusi pendidikan untuk melahirkan lebih ramai saintis sepertinya. Di dunia nyata, Sonam Wangchuk turut mengasaskan sekolah seumpanya yang diberi nama Student Educational and Cultural Movement (SECMOL) yang didaftarkan secara rasmi pada tahun 1998.

SECMOL adalah sekolah bukan tradisional yang membawa reformasi pendidikan di wilayah Ladakh, Jammu dan Kashmir dan meningkatkan jumlah pelajar yang berjaya menyelesaikan peperiksaan hingga ke peringkat pertengahan.

Bukan kisah sebenar atau filem autobiografi

Ice Stupa, sejenis glasier tiruan hasil inovasi dan ciptaan Sonam Wangchuk untuk mengatasi masalah air di tempat tinggalnya

Walau filem 3 Idiots begitu popular, Sonam Wangchuk sebenarnya tidaklah begitu teruja mengenainya walaupun dirinya dijadikan insprasi bagi watak Phunsukh Wangdu. Baginya, masyarakat seharusnya melihat realiti sebenar di sebalik filem tersebut.

Menurutnya lagi, sistem pendidikan di india seharusnya direvolusi kerana ianya tidak relevan dn tidak seiring dengan peredaran zaman. Ketika ditanya oleh orang ramai sekiranya kisah yang dipaparkan dalam filam tersebut adalah kisah dirinya, Sonam Wangchu tegas mengatakan ianya bukanlah kisah mengenai dirinya.

Kredit:

  1. Hindustan Times
  2. Financial Express
  3. Astro Awani


Hakcipta iluminasi.com (2017)