Penulis buku komik dari Amerika Syarikat, Stan Lee, merupakan lelaki pintar di sebalik watak-watak superhero yang kita kenali hari ini.

Beliaulah pencipta yang membuahkan idea berasaskan imaginasi dan memberikan kuasa luar biasa kepada the Hulk, Iron Man, Daredevil, the Fantastic Four dan ramai lagi adiwira buku komik.

Bermula dengan hanya pen dan dakwat, hasil imaginasinya berkembang dan berevolusi lebih daripada jangkaannya. Daripada novel grafik digital sehinggalah kepada penghasilan filem blokbuster Hollywood, syarikat milik Stan Lee iaitu Marvel Comics berubah daripada hanya sebuah syarikat penerbitan kecil menjadi organisasi multimedia gergasi di dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Stan Lee, atau nama sebenarnya Stan Lieberman dilahirkan pada tahun 1922 dan membesar dalam sebuah keluarga Yahudi imigran dari Romania yang miskin. Pada tahun 1939, beliau mendapat kerja di Timely Publications (yang telah ditukar nama menjadi Marvel Comics). Ia adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh seorang saudara terdekat Stan.

stan lee ketika muda

Ketika bekerja di situ, beliau ditugaskan di bawah bahagian komik dan disebabkan imaginasinya yang lain daripada orang kebiasaan, beliau telah diangkat menjadi editor hanya pada usia 18 tahun.

Selama lebih 20 tahun, Stan Lee berjaya mengadaptasikan kisah-kisah jenayah, seram dan pelbagai lagi genre ke dalam suntikan imaginasinya untuk memuaskan hati pembaca yang kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja.

Walau bagaimanapun, penulisan komik ketika itu tidak membenarkan sebarang ayat dan perkataan melebihi dua suku kata. Karakter pula hanya dibenarkan watak sama ada baik ataupun jahat sahaja - tiada karakter yang berada 'di tengah-tengah.'

stan lee di pejabatnya mencipta komik

Walaupun banyak menghasilkan komik, Stan amat malu dengan segala komik yang dihasilkan sehingga dia enggan meletakkan nama sebenar di kulit buku komik. Dia kemudian telah menggunakan nama samaran "Stan Lee" (yang akhirnya digunakan secara rasmi sebagai nama sebenar).

Menjelang usia 40 tahun, Stan merasakan yang beliau sudah terlalu tua untuk berada dalam industri komik. Isterinya, Joan, yang merupakan seorang warga British memberitahunya yang beliau kini tidak akan rugi apa-apa dan boleh menghasilkan watak yang benar-benar memenuhi citarasanya untuk kali terakhir.

stan lee dan isterinya joan lee

Selepas syarikat komik pesaing terhebat ketika itu, DC Comics, menghasilkan watak-watak hebat seperti Batman, Superman dan Wonder Woman, pihak penerbitan Timely juga bertungkus-lumus untuk menjadi lebih menyerlah. Stan kemudian menghasilkan Fantastic Four pada tahun 1961, iaitu karya berkaitan sekumpulan angkasawan yang memiliki kuasa ajaib selepas terkena sinaran radiasi kosmik.

Komik inilah yang telah mengubah kehidupan Stan Lee dan industri komik buat selamanya.

stan lee banyak memenangi anugerah hasil ciptaan komik

Stan memberikan setiap karakter komiknya identiti tersendiri dengan permasalahan remaja sehari-hari seperti masalah kelemumur, kuku cekam dan jerawat. Mereka juga sering berselisih faham dengan ibu bapa.

Pejabat Stan mula dibanjiri dengan lambakan surat peminat. Tanpa disedari, Stan Lee telah memulakan era kegemilangan komik. Alam semesta imaginasi "marvel" milik Stan Lee telah mencetuskan nama baru syarikat iaitu Marvel Comics.

Tidak lama selepas itu, watak Spider-Man pula dilahirkan. Para peminat amat gemarkan perjalanan karakter nerd Peter Parker yang bertukar menjadi seorang superhero yang boleh memanjat bangunan tinggi di New York selepas digigit seekor labah-labah.

stan lee bermain game spiderman atari

Watak yang lebih dikenali sebagai "Spidey" itu kemudian menjadi ikon budaya moden yang amat popular. Walaupun bergelar superhero, dia masih menghadapi pelbagai masalah biasa seperti orang lain di tempat kerja, di rumah dan juga dengan teman wanitanya.

Begitu juga dengan The Hulk, The Mighty Thor, Iron Man dan karakter superhero yang lain. Kesemuanya mempunyai masalah orang kebanyakan seperti penyalahgunaan dadah, ketaksuban dan ketidaksamarataan sosial.

Walaupun menjadi pengasas dan pencipta watak, Stan Lee memberikan segala kredit dan penghargaan kepada para artis yang bertanggungjawab dalam rekaan komik. Artis seperti Jack Kirby, Frank Miller, John Romita dan ramai lagi mula dikenali dengan hasil komik masing-masing.

stan lee bersama karakter komik ciptaannya

Selain menghasilkan watak superhero yang mempunyai masalah seperti orang kebanyakan, watak-watak yang berbeza juga mula dihasilkan. Daredevil adalah seorang superhero yang buta penglihatan, Black Panther merupakan warga kulit hitam manakala Silver Surfer pula sering merenung tentang keadaan kemanusiaan. Stan Lee mula menjadi seorang yang berpengaruh dalam industri.

Sepanjang zaman kegemilangannya, Marvel Comics telah berjaya menjual sebanyak 50 juta naskhah komik setiap tahun dan Stan Lee adalah insan yang bertanggungjawab menyiapkan kulit hadapan setiap naskhah sehingga beliau bersara pada tahun 1971.

Pada tahun 1999, Stan Lee menubuhkan Stan Lee Media dengan tujuan memasukkan komik ke dalam Internet. Walau bagaimanapun, usahanya itu menemui kegagalan sehingga beliau jatuh muflis dan rakan kongsinya pula dimasukkan ke penjara akibat kesalahan penipuan.

stan lee pencipta marvel comics meninggal dunia

Stan kembali bangkit pada tahun 2001 dengan menubuhkan sebuah syarikat baru iaitu POW! (Purveyors of Wonder) Entertainment yang membangunkan filem dan rancangan televisyen. Watak-watak komiknya yang berusia lebih separuh abad mula masuk ke alam Hollywood dan menemui peminat di kaca TV dan layar perak. X-Men, Fantastic Four, Hulk, Daredevil, Iron Man dan the Avengers semakin digilai ramai.

Filem Spider-Man yang dihasilkan pada tahun 2002 serta sekuelnya pada tahun 2004 telah berjaya menggegarkan dunia perfileman dan panggung wayang dengan kutipan jualan tiket mencecah $1.6 bilion dolar di seluruh dunia, diikuti dengan hasil kutipan lain daripada penjualan DVD dan juga pelbagai barang dagangan.

Lebih terbaru, tiga buah filem Captain America yang dibintangi pelakon terkenal Chris Evans telah menggondol box office di seluruh dunia dengan kutipan sebanyak $2.24 bilion manakala Iron Man yang dilakonkan Robert Downey Jr. pula mencecah $2.4 bilion. Tarikan dan kejayaan Marvel menjadi semakin jelas. Para peminat juga terhibur dengan penampilan kameo Stan Lee dalam hampir setiap filem Marvel.

stan lee dan captain america chris evans

Selain kejayaan pecah panggung, Stan Lee juga berjaya dalam penghasilan novel grafik. Pada tahun 2012, beliau telah bersama-sama menulis "Romeo and Juliet: The War" yang tersenarai dalam jualan buku paling laris The New York Times dan telah melancarkan saluran YouTubenya sendiri iaitu "Stan Lee's World of Heroes."

Stan juga memperkenalkan novel grafik digitalnya, "Stan Lee's God Woke" di Comic-Con pada tahun 2016. Versi cetakan novel grafik digital ini telah memenangi anugerah di Independent Publisher Book Awards pada tahun 2017.

Tidak lama selepas itu, Stan mula mengalami kemerosotan penglihatan. Keadaan ini membuatkan Stan berasa amat sedih kerana ia bermakna beliau sudah tidak boleh lagi membaca buku komik yang telah mencipta namanya. Dalam satu temu ramah dengan Radio Times pada tahun 2016, Stan memberitahu yang beliau "100% amat rindu membaca."

Dalam temu bual tersebut, beliau juga berbicara tentang kuasa luar biasa yang paling agung untuk dimiliki iaitu "nasib baik". Menurut Stan, setiap kali beliau ke konvensyen buku komik, peminat pasti akan bertanya apakah superpower paling hebat antara kesemuanya dan Stan akan menjawab "nasib yang baik" kerana jika seseorang mempunyai nasib yang baik, sudah tentu kesemua perkara akan menyebelahi dirinya.

Ketika berusia 95 tahun, Stan Lee telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Menurut peguam anak perempuan Stan iaitu Kirk Schneck, Stan telah dibawa menaiki ambulan dari rumahnya di Los Angeles menuju ke Pusat Perubatan Cedar Sinai sebelum meninggal dunia pada 12 November 2018.

Rujukan:

1. CNN

2. Radio Times




Hakcipta iluminasi.com (2017)